Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berkeyakinan dan berani buat penyesuaian serlahkan tekad masyarakat Melayu/Islam capai visi Masyarakat Gemilang, kata Masagos

'Mencari huraian-huraian yang unik untuk cabaran-cabaran yang dihadapi sudah sebati dengan jati diri masyarakat Melayu/Islam Singapura' - Menteri Masagos Zulkifli

Anggaran Waktu Membaca:
Berkeyakinan dan berani buat penyesuaian serlahkan tekad masyarakat Melayu/Islam capai visi Masyarakat Gemilang, kata Masagos

(Gambar fail: Mediacorp)

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam memperlihatkan semangat kenegaraan yang kuat bersama dengan rakyat Singapura yang lain sedang Singapura melawan penularan COVID-19.

Negara sudah dua bulan memasuki Fasa 3 dan keadaan ekonomi dijangka akan pulih dan bertambah baik.

Namun perjalanan untuk sampai ke tahap ini memerlukan banyak pengorbanan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen hari ini (8 Mac).

Perpaduan dan ketahanan sosial yang ditunjukkan warga Singapura, kata Encik Masagos, mesti dikekalkan untuk mengelakkan gelombang jangkitan kedua seperti yang dilihat di negara-negara lain.

Perkara yang sangat menonjol adalah kesediaan semua kumpulan agama untuk membuat penyesuaian kepada kegiatan sosial dan sosio agama mereka.

"Krisis COVID-19 turut membuka peluang bagi masyarakat kita. Ia telah memberi kita peluang mencari huraian yang inovatif supaya kita dapat terus menyediakan sokongan rohani bagi masyakarat. Malah, kita memahami bagaimana amalan agama pun dapat disesuaikan demi mengelak kemudaratan yang berpanjangan.

Jelasnya, masyarakat Melayu/Islam menurut Encik Masagos, boleh berbangga kerana berjaya membuat penyesuaian dengan pantas dan berkesan. MUIS pula memastikan bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura terus mendapat sokongan rohani yang diperlukan.

KEPIMPINAN AGAMA TEGAS DAN BERSATU

"Penyesuaian sukar yang dilakukan oleh masyarakat Melayu/Islam sebagai tindak balas terhadap COVID-19 dapat dilakukan kerana kepimpinan agama kita tegas dan bersatu."

"MUIS memainkan peranan penting dalam hal ini dengan mengeluarkan panduan agama lebih awal dan mengumpulkan pemimpin-pemimpin asatizah dan masjid untuk membimbing masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran."

Menurut Encik Masagos, ketika keputusan sukar dibuat, masyarakat bersatu dan menyokong keputusan-keputusan yang diambil.

"Semua orang memainkan peranan untuk mendorong dan membimbing satu sama lain - peguam, doktor, pemimpin masyarakat dan rakyat biasa, semuanya menyingsing lengan," tambah beliau.

SENTIASA CARI HURAIAN UNIK UNTUK ATASI CABARAN MASYARAKAT

Mencari huraian-huraian yang unik untuk cabaran-cabaran yang dihadapi sudah sebati dengan jati diri masyarakat Melayu/Islam Singapura, tegas Encik Masagos.

"Kita telah menubuhkan institusi penting seperti Skim Pengiktirafan Asatizah dan mengembangkan pemimpin agama sendiri di madrasah kita."

"Untuk memastikan kita hidup harmoni dalam masyarakat yang pelbagai dan beragama, kita juga telah membuat penyesuaian, sama seperti masyarakat lain, seperti perlahankan bunyi azan di masjid," ujar beliau.

Keupayaan dan keyakinan Masyarakat Melayu/Islam untuk melangkah ke arah hala tuju seterusnya dan membuat penyesuaian yang sewajarnya telah membolehkan masyarakat Melayu/Islam berkembang sebagai sebuah Masyarakat Gemilang yang menunjukkan penuh keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan.

Inilah sebabnya mengapa masyarakat Melayu/Islam mesti terus melabur dalam asatizah dan masyarakat dalam tiga bidang itu.

Pertama, melengkapi golongan asatizah dengan kecekapan yang diperlukan untuk menangani cabaran masa hadapan dan memimpin masyarakat.

Kedua, memperluaskan sokongan untuk keluarga dan yang ketiga pula, menggalak semangat kewarganegaraan yang aktif dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan