Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Berkat kahwin' sangat luar biasa - 250 lukisan asli Sarkasi Said jadi bunga telur untuk tetamu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ini semestinya 'berkat kahwin' atau bunga telur yang sangat luar biasa dan 'tak pernah dibuat orang'. Manakan tidak, dalam majlis perkahwinan ini, 'berkat' yang diberi ialah sebuah lukisan batik yang dilukis sendiri oleh tokoh batik tersohor tempatan Sarkasi Said!

Kesemuanya 250 lukisan batik Allahyarham Pak Sarkasi diberikan kepada setiap pasang tetamu sebagai 'berkat kahwin' di majlis persandingan cucunya, Muhammad Naqib Ika Zahari, semalam (29 Jan).

Setiap satu lukisan itu ditanda tangan sendiri oleh Allahyarham Sarkasi Said dengan nama 'Tzee', iaitu 'cap mohor' yang beliau tandakan di setiap hasil lukisannya.



Ini mungkin berkat kahwin paling 'mahal' pernah dihadiahkan kepada tetamu sesebuah majlis perkahwinan di sini. Manakan tidak. Ada dua sebab.

Pertama, umum tahu betapa masyhurnya Allahyarham Sarkasi Said sehingga lukisan beliau menjadi koleksi dan disimpan di istana-istana luar negara. Ia juga dipamerkan di Istana Presiden dan bangunan Parlimen Singapura. Nilai lukisan beliau lazimnya mencecah ribuan sehingga puluhan ribu dolar.

Kedua, berkat kahwin ini tidak boleh didapatkan dari mana-mana lagi kerana ia hasil kerja tangan seorang gergasi seni yang sudahpun berpulang.



Hakikatnya, sebuah sejarah yang unik tercipta semalam.

Baru empat bulan lalu, Singapura kehilangan Allahyarham Sarkasi Said - seorang permata seni dan pelukis batik generasi pelopor tempatan yang sukar dicari ganti - namun 'kehadirannya' begitu terasa dan seolah-olah beliau kembali membuat penampilan semalam.

Sama penting adalah makna intrinsik yang begitu mendalam di sebalik bunga telur berupa lukisan yang diberikan khas kepada para tetamu yang bertandang. Ini kisahnya...

SARKASI MELUKIS DARI KATIL HOSPITAL

Menurut pengantin lelaki, rancangan menghadiahkan lukisan batik kepada para tetamu dalam majlis pada Sabtu (29 Jan) adalah idea datuknya sendiri.

"Jadi atok (Sarkasi Said) sebenarnya mengatakan hasratnya ini sekitar satu setengah tahun lalu. Seperti yang atok selalu katakan kepada saya, dia ingin membuat orang ramai gembira dalam apa jua yang dia lakukan," cerita Naqib, 24 tahun.



Hakikatnya, ketika itu, Allahyarham Sarkasi Said sudah mula sakit-sakit tetapi semangatnya begitu kuat sehingga beliau sanggup mula melukis dari katil hospital.

"Atok mula membuat draf lukisan dari katil hospital. Saya sebenarnya pernah nampak atok melakukan itu. Saya bertanya kepadanya: Atok ada projek baru? Dia katakan: Oh tak, saja lukis-lukis. Akhirnya, itu untuk kita," tambah Naqib.

"Kami benar-benar terharu dan tidak menjangkakan ia akan menjadi kenyataan. Kami pastinya sedih kerana atok tidak ada di sini bersama kami untuk melalui detik-detik istimewa seperti ini."

BERITAmediacorp difahamkan, Allahyarham Sarkasi selesai menyiapkan kesemua 250 lukisan sekitar enam bulan lalu - pada bulan Julai - iaitu tiga bulan sebelum beliau meninggal dunia pada 14 Oktober.

"Saya masih terkejut, walaupun Atok dalam keadaan sebegitu, dia masih boleh bangun dan lakukan kerja ini buat kami. Ia benar-benar mengagumkan," kata Naqib yang ditemani sang isteri, Nur Afiqah Syazana Norman, sepanjang wawancara bersama BERITAmediacorp ini.

Anak Allahyarham Sarkasi Said, Encik Ika Zahari, turut mengenang ayahnya semasa memberi ucapan di majlis persandingan tersebut.



"Saya harap anda semua menghargai lukisan-lukisan ini. Beliau memberitahu saya supaya mengundang mereka yang beliau sangat hormati sehingga dipanggil 'sahabat sejati'. Terima kasih kepada semua sahabat sejati ayah saya kerana hadir di sini untuk meraikan saat bahagia keluarga saya," kata Encik Ika dengan suaranya disulami sebak.

"INGATAN BELIAU (SARKASI) MENJANGKAU MASA" - YATIMAN

Yang pasti, berkat kahwin 'surprise' majlis persandingan Naqib dan Syazana itu suatu kejutan besar buat para tetamu yang kesemuanya tidak menyangka diberi hadiah cukup bermakna itu. Memang kesemua tetamu tidak diberitahu tentang berkat kahwin berbentuk lukisan Sarkasi Said itu.

Hasrat Allahyarham untuk menggembirakan dan memberi kejutan manis, sekali gus mengangkat martabat majlis perkahwinan cucu lelakinya itu, memang begitu mencapai matlamatnya. Kanvas-kanvas batik itu berjaya membuat kesemua tetamu tersenyum cukup lebar.

Selain saudara mara kedua-dua belah mempelai, antara tetamu lain yang menghadiri majlis persandingan itu termasuklah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim.



Ini reaksi spontan Encik Masagos semasa mendapat berkat kahwin cukup luar biasa itu:

"Saya sangat terkesan kerana Almarhum Sarkasi telah membuat satu permintaan supaya lukisan-lukisan diberikan kepada para tetamu untuk cucunya meraikan perkahwinan. Sikap beliau yang selalu menghargai teman dan juga mereka yang dekat dan akrab dengan beliau sehingga beliau telah tiada dengan kita masih terasa."

Salah seorang rakan karib Allahyarham sejak dari usia remaja lagi, bekas ahli politik dan juga tokoh masyarakat, Yatiman Yusof, turut berasa teruja mendapat pemberian yang penuh simbolik itu.



"Tidak kita sangka bahawa ingatan beliau menjangkau masa seperti ini dan Allahyarham telah menyiapkan lukisan tadi untuk pemberian khas. Jadi majlis hari ini kita kenang, bukan sahaja kita meraikan perkahwinan cucu beliau, tetapi juga meraikan bahawa dalam kehidupan seni ini, jangkauannya itu melepasi masa dan tempat," katanya.

Encik Yatiman menambah, makna di sebalik lukisan-lukisan yang dijadikan berkat kahwin itu begitu mendalam.

"Nilai lukisan tadi itu tidak ditentukan oleh saiz lukisan, warnanya ataupun ideanya, tetapi ingatan tentang betapa mesej lukisan tadi itu begitu jelas (bahawa) beliau inginkan kehidupan berwarna-warni, kehidupan yang berharmoni dan kehidupan yang penuh kehijauan," ujar Encik Yatiman.



Bekas Setiausaha Parlimen Kanan Tenaga Manusia merangkap Pendidikan, Hawazi Daipi, tidak menyembunyikan rasa terkejut beliau.

"Ini satu kejutan yang saya hargai kerana memang saya mengikuti dan meminati beliau dan karya-karya beliau," kongsinya semasa menerima berkat kahwin itu dari Encik Ika.

TIDAK PERNAH BERLAKU 'BERKAT KAHWIN' SEDEMIKIAN

Hakikatnya, majlis persandingan Naqib dan Syazana besar kemungkinan satu-satunya majlis yang mengagihkan ratusan lukisan batik dari seniman tersohor sebagai berkat kahwin.

Ini diakui sendiri penganjur acara majlis persandingan mereka, The Iris.

"Kita nampak macam-macam jenis berkat yang unik. Ada kasi air zam-zam, ada kasi madu, ada kasi kurma, ada kasi susu kotak kecil. Lukisan batik ini adalah yang pertama dan saya rasa ia istimewa kerana ia daripada arwah Encik Sarkasi bukan?" kata wakil The Iris yang juga juruhebah majlis, Encik Rakeen.



"Ia bagaikan khazanah negara yang boleh dibawa pulang dan disimpan. Walaupun tetamu tidak minat seni tetapi saya pasti mereka mesti hargai karya seni yang telah diberikan kepada mereka."

Personaliti TV, Shahrizal Salleh atau lebih dikenali sebagai Cef Bob, pula secara terbuka berkata, 'hadiah' yang diterima itu pasti akan disimpannya dengan baik.



"Mestilah! Pasal ini adalah legasi daripada kita punya Allahyarham Sarkasi. Saya kagum jugalah, terpilih dapat bawa balik lukisan dari beliau. Ini lukisan pertama kali saya," kata Cef Bob merupakan rakan baik pengantin lelaki.

Allahyarham Pak Sarkasi semasa hayatnya pernah mencatat namanya dalam buku Rekod Dunia Guiness pada Mac 2003 kerana menghasilkan lukisan batik terpanjang dunia - sepanjang 103.9 meter yang dihasilkan dalam tempoh lima hari.

Kini, walaupun sudah dikandung tanah, Pak Sarkasi mencatat satu lagi rekod apabila 250 lukisan batiknya dijadikan bunga telur.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa