Skip to main content

Singapura

Berkali-kali rogol remaja 13 tahun, ketua samseng dipenjara 28 tahun & dirotan

Koh, yang merupakan ketua sebuah geng tempatan, juga mengarahkan seseorang untuk menyebarkan gambar-gambar remaja perempuan berkenaan dan seorang lagi rakannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Berkali-kali rogol remaja 13 tahun, ketua samseng dipenjara 28 tahun & dirotan

Koh Rong Guang. (Gambar: TODAY/Najeer Yusof)

Diterbitkan : 27 Apr 2018 12:02AM Dikemas Kini : 27 Apr 2018 12:04AM

SINGAPURA: Koh Rong Guan, 21 tahun dikenakan probesen kerana merusuh semasa dia merogol seorang remaja berusia 13 tahun sebanyak tiga kali, memetik gambar bogel remaja itu dan mengancamnya dengan menggunakan sepana dan batu bata.

Koh, yang merupakan ketua sebuah geng tempatan, juga mengarahkan seseorang untuk menyebarkan gambar-gambar remaja perempuan berkenaan dan seorang lagi rakannya.

Hari ini (26 Apr), dia dijatuhi hukuman penjara selama 28 tahun dan dikenakan 24 sebatan rotan atas 11 pertuduhan, termasuk merogol budak perempuan bawah umur, penderaan seksual terhadap seorang kanak-kanak dan membuat ancaman jenayah.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Koh, Pesuruhjaya Kehakiman Audrey Lim berkata hukuman keras diperlukan untuk mencerminkan kesalahannya dan supaya dijadikan pencegahan bagi mereka yang mahu melakukan jenayah sebegitu.

"Kesalahan-kesalahan tersebut dirancang dan jelas terdapat faktor-faktor yang memberatkan kesalahan. Pada pandangan saya, tiada perkara yang membolehkan hukuman dikurangkan," tegas beliau.

MANGSA KENAL KOH MENERUSI RAKAN LELAKI

Sebelum itu, mahkamah diberitahu bahawa mangsa mengenali Koh menerusi seorang rakan lelaki, Fu Yiming, pada lewat tahun 2013. Fu, yang ketika itu berusia 16 tahun, merupakan anggota kumpulan kongsi gelap Koh.

Kali pertama Koh merogol remaja perempuan itu, adalah di tangga sebuah pusat karaoke di Choa Chu Kang Centre.

Lagi dua kali, ia berlaku di tangga Blok 672A, Choa Chu Kang Crescent.

Semasa salah satu insiden, Koh mengancam remaja berkenaan dengan menghentak sepana pada tembok berhampiran muka beliau sebelum memaksa beliau melakukan seks oral kepadanya.

Koh kemudian merogol beliau, mengarahkan agar beliau menanggalkan pakaian dan memetik gambar beliau.

Pada 5 Januari 2014, kali terakhir Koh merogol mangsanya itu, dia meminta mangsa bertemu dengannya di tangga blok tersebut.

Mangsa mengajak Fu menemaninya sedang kedua-dua mengadakan perancangan, yang melibatkan Fu melindungi remaja perempuan itu. Namun apabila mereka bertemu, Koh menumbuk dan menendang Fu.

Koh juga menarik rambut remaja perempuan itu semasa dia cuba melarikan diri. Koh mengambil batu bata yang digunakan sebagai penahan pintu dan mengancam untuk menghentaknya pada wajah beliau dan Fu jika remaja perempuan itu enggan mengadakan hubungan seks dengannya.

Remaja perempuan itu mengalah. Koh kemudian memetik gambar yang mencabul kehormatan remaja perempuan itu dan juga Fu.

Remaja perempuan itu membuat aduan polis selepas gambar-gambar tersebut menjadi viral di media sosial.

Bagi setiap pertuduhan merogol individu bawah umur dan melakukan serangan seksual rogol, Koh boleh dijatuhi hukuman penjara antara lapan dengan 20 tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya 12 kali rotan.

Bagi setiap pertuduhan penderaan seksual terhadap seorang kanak-kanak, dia boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Koh berniat untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu. Buat masa ini, dia dibebaskan atas ikat jamin $100,000 sementara menunggu rayuannya dikemukakan.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita