Skip to main content

Singapura

Berkahwin dan punya 3 anak, tapi lelaki serang secara seksual penyewa lelaki di flatnya

Seorang lelaki yang sudah berkahwin yang menyerang secara seksual lelaki lain yang tinggal di flatnya, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan rotan pada Khamis (23 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Berkahwin dan punya 3 anak, tapi lelaki serang secara seksual penyewa lelaki di flatnya

(Gambar hiasan: Jeremy Long)

Diterbitkan : 23 Aug 2018 06:23PM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 06:25PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang sudah berkahwin yang menyerang secara seksual lelaki lain yang tinggal di flatnya, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan rotan pada Khamis (23 Ogos).

Tertuduh, Waduge Buddhika Upashantha Fernando, 38 tahun, warga Singapuran berketurunan Sri Lanka, sudah mempunyai tiga cahaya mata dan tinggal di sebuah flat di Kim Keat Avenue.

Mangsa terlibat adalah seorang warga Malaysia berusia 28 tahun yang bekerja di Singapura sebagai seorang tukang masak. Nama mangsa tidak didedahkan atas arahan mahkamah.

Ketika diserang November tahun lalu, mangsa sedang menyewa di flat itu sekitar empat bulan, menurut mahkamah.

Pada kira-kira 11.30 malam pada 10 November 2017, mangsa menutup pintu biliknya dan tidur pada kira-kira pukul 1.00 pagi.

Sekitar dua jam kemudian, Fernando pulang dari kerja, dan "merasakan keinginan untuk terlibat dalam kegiatan homoseksual", menurut dokumen mahkamah.

Tahu bahawa penyewanya sedang tidur, Fernando masuk ke bilik, menanggalkan seluar mangsa dan melakukan kelakuan seksual terhadap mangsa.

Mangsa terjaga selepas sekitar 10 minit lalu terpekik dan menendang Fernando, yang kemudian keluar dari bilik dan flat itu.

Dalam masa sejam, mangsa yang terkejut itu, menghantar mesej ke talian polis untuk meminta bantuan. Fernando mengaku bersalah atas satu pertuduhan serangan seksual.

MANGSA DICABULI DENGAN CARA PALING INTIM: PENDAKWA

Timbalan Pendakwa Raya Marshall Lim menyifatkan tingkah laku Fernando sebagai "mengejutkan" serta meminta hukuman sekurang-kurangnya enam tahun penjara dan tiga sebatan.

"Oleh sebab hubungan bersifat intim, pihak terlibat perlu bersetuju untuk mengadakan hubungan seksual. Dalam kes-kes di mana satu pihak tidak setuju, dia dicabuli dengan cara yang paling intim," kata pendakwa, sambil menambah ini diburukkan lagi apabila pencabulan berlaku di rumah, di mana seseorang sepatutnya berasa selamat.

Peguam bela Fernando meminta hukuman lima tahun penjara, yang disifatkan pihak pendakwa sebagai "tidak mencukupi langsung".

Hakim Daerah Kessler Soh menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tiga kali rotan. Dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, dikenakan denda atau dikenakan hukuman.

Sumber : CNA/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita