Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITAMediacorp sokong usaha NHB, calonkan kebaya ke UNESCO

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Sepanjang bulan Ramadan ini, para penyampai wanita BERITAmediacorp akan mengenakan busana kebaya apabila mereka muncul di kaca televisyen bagi menyampaikan buletin BERITA dan rancangan ehwal semasa Rahmat Ramadan.

Ini sebagai tanda sokongan kepada kempen oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pakaian tradisional itu.

Ini menjelang kerjasama lima negara iaitu Singapura, Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand bagi mencalonkan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

Pencalonan itu akan dihantar secara serentak kepada UNESCO pada akhir bulan Mac.

Ketua Editor BERITA dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo menekankan pentingnya untuk memartabatkan warisan ini.

"Sebagai media Melayu di Mediacorp, ini merupakan satu pengiktirafan yang luar biasa bagi warisan budaya kita. Jadi kami rasa kami harus membuat sesuatu untuk meraikannya. Pencalonan ini sahaja merupakan satu sejarah, apa lagi nanti kalau diterima oleh UNESCO. Jarang sekali kalau kita lihat warisan budaya ini dicalonkan bersama oleh negara-negara jiran di rantau ini dan ini satu lambang kebersamaan sebenarnya," kata Encik Sujadi.

"Jadi sebagai media di Singapura, kami rasa kami mempunyai tanggungjawab untuk meraikan dan juga untuk mendukung usaha nasional ini di Singapura dan juga untuk pencalonan serantau," tambah beliau.

Sehingga akhir Ramadan ini, penyampai wanita BERITA, Fariza Abdul Aziz dan Nursha Ismail akan mengenakan pakaian kebaya yang ditaja oleh butik Ratianah dan Sufyaa.

Kedua-dua pemilik butik itu juga melahirkan rasa gembira atas usaha BERITAMediacorp dalam mempamerkan busana tradisional itu.

"Saya rasa senang sekali sebab dengan BERITAMediacorp memakai kebaya dan mempromosikan kebaya di mata dunia, ia dapat memupuk jati diri dan memberi identiti kepada kita orang melayu Singapura. Saya harap kebaya dapat dilestarikan dengan lebih lagi oleh kalangan orang-orang muda dan menggunakan kebaya sebagai baju untuk identiti orang melayu kita," ujar pemilik Butik Sufyaa, Azrina Tahar.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Cik Azrina sudah 12 tahun menjalankan perniagaan membuat baju mengikut tempahan. Antara ciri khas yang beliau sematkan dalam rekaannya adalah dengan menggunakan kain songket.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Selain kebaya Melayu tradisional, beliau juga membuat busana gabungan budaya seperti sari, cheongsam dan hanbok yang diperbuat daripada kain songket buat para pelanggan yang berlainan kaum.

saa
Bagi pemilik butik Ratianah pula, usaha seperti ini akan dapat memartabatkan lagi pakaian tradisional itu.

"Saya amat berbesar hati dan teruja kerana kebaya sudah dipakai bukan hanya di rancangan-rancangan TV tetapi oleh para pembaca berita dan juga kebaya sudah dibawa ke parlimen. Ini adalah sangat digalakkan kerana ia membuktikan bahawa kami adalah satu rumpun, mencintai kebaya sebagai satu busana yang menyatukan kita," kata pemilik butik Ratianah, Ratianah Tahir.
Cik Ratianah sudah berkecimpung dalam rekaan kebaya jenis kartini, kota bharu dan pesak selama 15 tahun.

BUSANA KEBAYA JADI TARIKAN ORANG ASING DAN KAUM LAIN

Beliau juga menarik perhatian bahawa selain orang Melayu, orang Peranakan Cina, Peranakan India dan orang Serani juga mengenakan busana kebaya.

Gaya pakaian tradisional yang terkenal dengan motif dan sulaman unik itu turut menarik perhatian para pelancong.

"Memandangkan kedai saya terletak di Bussorah Street, ramai pelancong masuk dan menanya mengenai kebaya dan ia menjadi tarikan buat mereka. Jadi kami harus bangga dengan tradisi kebaya kita kerana ia sudah menjadi percakapan orang-orang dari luar negara," kata Cik Ratianah.

Kedua-dua mereka juga menanam harapan agar busana kebaya dapat kembali diperagakan dalam kehidupan sehari-hari.

Di samping itu, NHB turut memilih Penyampai BERITA dan Penerbit Kanan Unit Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Nursha Ismail, untuk menjadi antara wajah bagi menyemarakkan kempen kebaya ini.

"Penyampai kita ini sebenarnya telah menggunakan, memperagakan kebaya sekian lama. Jadi dengan pencalonan ini, NHB melihat sesuatu yang menarik bahawa kita sudah lama mengedepankan warisan, budaya kita sebelum pencalonan ini. Jadi bila pencalonan ini berlaku, diadakan, NHB memilih beliau sebagai salah satu wajah yang sekian lama untuk mempromosikan kebaya. Jadi ini suatu usaha sama yang saya rasa tidak diduga tapi kami terima baik dan apa yang sedang berlaku," kongsi Encik Sujadi.

Keputusan bagi pencalonan kebaya ke UNESCO akan diumumkan pada penghujung 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan