Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+:Bazar Geylang Serai sambut sekitar 300,000 pengunjung, dibuka hingga 1.00 pagi pada malam Raya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keadaan di Geylang Serai kembali meriah tahun ini pada bulan Ramadan dengan bazar diadakan semula sempena Lebaran.

Sehingga 1 Mei, sekitar 300,000 pengunjung sudahpun mengunjungi kawasan Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai (GSHRSE).

Ini melebihi jangkaan awal iaitu sebanyak 200,000 pengunjung sepanjang Ramadan.

Keadaan juga sesak di pusat beli-belah sekitar kawasan berkenaan.

Apabila BERITAmediacorp ke Joo Chiat Complex pada petang tadi (1 Mei), suasanaya begitu hiruk-pikuk dan bertenaga, dengan hampir setiap kedai tidak menang tangan untuk melayan para pelanggan yang singgah masuk.

Ada pengunjung yang datang ke Geylang Serai sekadar untuk mencuci mata dan menikmati kemeriahan menjelang Syawal manakala ada yang berbelanja sakan, seolah-olah membalas dendam setelah dua tahun menyambut Aidilfitri serba sederhana dek sekatan COVID-19.

"Memanglah kami hendak tengok suasana dekat sini. Kedua, kadangkala kalau barang yang kami perlu tidak ada, kami perlu, jadi dekat sini dapat," ujar Cik Hamizah Othman yang dilihat membimbit beberapa plastik berisi barangan keperluan untuk Lebaran.

Sesetengah kedai yang dikunjungi BERITAmediacorp pula sudah kehabisan stok bagi busana Hari Rayanya. Di kedai menjual hiasan rumah pula, hanya tinggal beberapa reka bentuk tertentu dalam kuantiti yang agak terhad.

"Belum dapat lagi pasal tiada saiz untuk saya dan cari (baju) untuk budak-budak pun belum dapat (jumpa) lagi. Jadi saya nak pusing-pusing dan cari lagi," kata seorang pengunjung di Joo Chiat Complex.

"Saya berbelanja pada saat-saat akhir sebab tiada pilihan. Tempat lain semua, yang ada sudah habis stok. Kami terpaksalah datang sini dan dapatkan apa yang kami mahukan. Sini pun memang banyak pilihan," kata seorang lagi pengunjung ke Geylang Serai, Zyela Husin.

Sesetengah pengunjung yang ditemui pula berkata sebelum pengumuman tentang pelonggaran langkah pengurusan selamat dibuat baru-baru ini, mereka sebenarnya tidak merancang untuk berbelanja banyak bagi menyambut Syawal kerana menyangka keadaannya akan sama seperti dua tahun lalu.

"Pada awalnya, kami tidak menjangkakan dapat beraya seperti biasa. Jadi saya pun rasa kami mengambil kesempatan ini untuk meraikan selepas dua tahun, dah lama tidak beraya. Jadi kami datang sini untuk beli baju raya baru," ujar Encik Muzammir Kamal yang pergi ke Joo Chiat Complex dengan harapan dapat mencari pakaian Hari Raya buat seisi keluarganya.

<p>Gambar: Izzah Hafsah</p>

PARA PENIAGA TAK MENANG TANGAN SAMBUT PELANGGAN
Hujung minggu terakhir menjelang Aidilfitri ini adalah waktu yang dinanti-nantikan para peniaga untuk menyaksikan penjualan mereka naik berlipat kali ganda.

Bahkan para peniaga menjangkakan lebih ramai pelanggan membeli-belah pada saat-saat akhir, sebagaimana tahun-tahun sebelum pandemik.

"Minggu ini lagi bagus pasal hari ini cuti umum. Lagi ramai orang (datang) semalam sampai pukul 12.00 tengah malam," kata pengurus kedai langsir Decotex, Encik Quek Lian Hin.

"Keadaan stok, kalau macam untuk kanak-kanak paling laju dekat sini - sudah berkurangan tetapi masih okey," kata pengurus kedai RH Fashion, Cik Bibiq.

Dengan waktu operasi Joo Chiat Complex dilanjutkan kepada pukul 11.00 malam hingga malam Raya esok (2 Mei), para peniaga berkata mereka akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh itu untuk mengaut semula keuntungan setelah perniagaan mereka suram sepanjang dua tahun lalu.

<p>Gambar: Izzah Hafsah</p>

BAZAR DIBUKA HINGGA 1 PAGI PADA MALAM RAYA
Sementara itu, orang ramai datang bertali arus sejak lewat petang tadi untuk mengunjungi bazar Hari Raya di Geylang Serai. Keadaan bertambah sesak selepas waktu berbuka puasa dengan para pengunjung dilihat berasak-asak ketika membeli-belah.

Berbeza daripada beberapa minggu lalu, tiada barisan beratur dilihat di luar kawasan menunggu dekat pekarangan Wisma Geylang Serai. Hal ini disaksikan sejak 26 April lalu apabila langkah pengurusan selamat dilonggarkan. Sedari itu, orang ramai tidak perlu lagi mengimbas TraceTogether mereka untuk memasuki kawasan bazar lantas menjadikan aliran pengunjung lebih licin serta lancar dan tidak lagi tersekat-sekat.

Namun, mereka perlu tetap memakai pelitup sepanjang berada di dalam bazar. Para pengawal keselamatan dikerahkan untuk meronda-ronda kawasan bagi memastikan semua orang - baik peniaga mahupun pengunjung - mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Khusus pada malam Raya, kawasan Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai akan dibuka sehingga pukul 1.00 pagi berbanding 11 malam sebelum ini

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan