Skip to main content

Singapura

BERITA+: Zine, terbitan kecil bebas kian mendapat tempat di SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wujud dalam pelbagai format, tidak kira kecil atau besar, berlipat mahupun berjilid.

Ada yang berupa risalah, suratkhabar, buku atau album gambar.

Hakikatnya, tiada definisi tetap mahupun "peraturan" dalam penghasilan zine.

Zine merupakan terbitan bebas kecil yang tidak terikat kepada mana-mana format atau bentuk.

Related article image
Terbitan bebas kecil, zine. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Kebebasan inilah menurut penerbit bebas zine, Cik Huda Azzis, 35 tahun, yang membezakan zine daripada senaskhah majalah.

"Zine adalah penerbitan kecil yang dibuat secara bebas. Jadi ia boleh diterbitkan sendiri atau dicetak dalam jumlah yang sedikit sebagai contoh, macam 30 ataupun 50 salinan. Majalah ada arus komersial, kandungan tajaan, ada iklan dan ada ramai yang terlibat untuk menghasilkan majalah," kongsi Cik Huda kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Zine itu dalam keadaan yang asli, eksperimentasi jadi sangat individualistik. Oleh itu, bagi orang yang membuat zine, anda boleh lihat personaliti si penerbit zine itu," tambahnya.

SEDIAKAN RUANG UNTUK PENCIPTA ZINE PAPAR & JUAL KARYA MEREKA

Related article image
Huda Azzis memulakan penerbitan bebas, Your Local Newsstand. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 
Daripada "suka-suka" mengumpul zine, minat Cik Huda berputik menjadi keinginan untuk menghasilkan zine sendiri.

Pada 2018, beliau memulakan penerbitan bebas, Your Local Newsstand iaitu sebuah platform bagi pencipta zine memaparkan dan menjual karya mereka.

Cik Huda menceritakan: "Jadi zine pertama saya, saya membuatnya di rumah dan mencetaknya menggunakan kertas cetak, dan dicantumkan menggunakan pengokot sahaja. Pada tahun 2017 atau 2018, minat untuk membuat zine 'betul-betul' itu datang."

"Dan apabila saya menerbitkan zine saya di bawah Your Local Newsstand, saya bercakap kepada diri saya, saya tidak hanya mahu menerbitkan zine saya sendiri. Saya juga ingin membukanya untuk menerbitkan zine jurugambar lain."

"Jadi saya mengadakan panggilan terbuka. Pada tahun pertama, kami menerbitkan sekitar tujuh hingga lapan penerbitan, kebanyakannya oleh jurugambar tempatan, dan itulah permulaannya. Setiap tahun, saya cuba menerbitkan karya oleh jurugambar lain.”

KENDALIKAN BENGKEL, KONGSI CARA BUAT ZINE ONLINE
Related article image
Cik Huda dijemput kendalikan bengkel pembuatan zine. (Gambar: Objectifs) 

Usahanya turut mendapat perhatian institusi seperti perpustakaan dan ruang seni yang menjemputnya mengendalikan bengkel pembuatan zine.

"Ramai orang minat untuk membuat zine tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mulakannya dari segi aspek kreatif dan juga aspek teknikal - susunan gambar dan sebagainya," jelas Cik Huda.

Malah, daripada itu, beliau juga melihat satu peluang yang baik untuk berkongsi tentang zine di media sosial, dan mula berjinak-jinak melakukannya di TikTok dan Instagram, di samping memaparkan karya-karya jurugambar lain.

"Di media sosial juga, saya membuat apa yang dipanggil 'The Artist Takeover'. Jadi saya akan paparkan projek-projek dari jurugambar lain dan saya rasa dari situlah, ia menjadi semacam platform yang kecil bagi orang ramai mengenali zine dan penerbitan mereka dipaparkan secara online juga," menurut Cik Huda, yang juga seorang penyunting video bebas.

DAPAT SAMBUTAN DARI PEMBELI LUAR NEGARA

Selain pasaran tempatan, zine terbitan Cik Huda turut mendapat sambutan daripada pembeli luar negara termasuk dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah.

"Apa yang menarik bagi mereka ialah saya turut menyimpan dan menjual zine oleh pencipta bebas dari rantau ini seperti Malaysia dan Indonesia, yang selalunya sukar diperoleh di luar negara," jelas Cik Huda.

"Jadi mereka akan membelinya di platform saya dan ini sangat menarik kerana mereka dapat melihat karya jurugambar Asia Tenggara," tambahnya.

Related article image
Cik Huda menyusan gambar sebelum ia dicetak. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Untuk menghasilkan sekeping zine, Cik Huda berkongsi bahawa masa yang diambil berbeza bergantung kepada jenis zine yang dihasilkan.

Ada yang mengambil masa seminggu atau dua, manakala ada pula yang boleh dihasilkan dalam sehari sahaja seperti 'Accordion Zine', iaitu sejenis zine yang dibuat daripada sekeping kertas panjang yang dilipat secara 'zigzag', membolehkannya dibuka seperti buku atau dibentangkan sebagai satu karya berterusan.

"Anda perlu membuat kajian sedikit sebab anda perlu tentukan jenis jilidnya, dan saiznya semua. Kemudian bila nak cetak itu pun perlu berhati-hati sebab kadangkala anda cetak salah dan anda perlu membuatnya semula," ujarnya.

EKOSISTEM ZINE DI SG SEMAKIN MELUAS

Related article image
Ekosistem zine di Singapura yang semakin meluas. (Gambar: Benjamin Tan) 

Cukup memberangsangkan bagi Cik Huda, ialah ekosistem zine di Singapura yang semakin meluas.

"Sejak beberapa tahun ini, saya nampak macam lebih banyak orang membuat zine. Walaupun kalau mereka tidak menjualnya, mereka cuma kongsikannya online," ujar Cik Huda.

"Mereka juga sangat berminat untuk membuat zine mereka sendiri sebab ramai juga yang berkongsi cara-cara membuat zine, termasuk di belakang tabir menerusi wadah online seperti TikTok atau YouTube. Dan oleh kerana terdapat satu akses mudah untuk mengetahui cara membuat zine, lebih ramai orang tergerak hati untuk membuat zine mereka sendiri," tambahnya.

ZINE SEBAGAI MEDIUM DEMOKRATIK

Related article image
Cik Valerie Siah tubuhkan sebuah penerbitan kecil, Bedroom Press, dari bilik tidurnya sendiri. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Zine juga bukan sekadar medium kreatif tetapi satu bentuk penerbitan yang lebih terbuka dan mudah diakses.

Kemudahan inilah yang membuatkan anak muda seperti Cik Valerie Siah, 25 tahun, tertarik dengan seni itu.

"Zine adalah medium yang sangat demokratik. Ini bermakna, zine selalunya diedarkan secara percuma atau dijual dengan harga yang sangat murah. Jadi sesiapa sahaja boleh mengakses kandungan sebegitu," kongsi Cik Siah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

TUBUH PENERBITAN KECIL DARI BILIK TIDURNYA

Related article image
Bedroom Press gunakan pencetak Risograph untuk mencetak zine. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Minat itu mendorong mahasiswa jurusan Komunikasi Reka Bentuk dari Maktab Seni Lasalle itu, untuk menubuhkan sebuah penerbitan kecil, Bedroom Press, dari bilik tidurnya sendiri.

"Jadi di Bedroom Press, kami menggunakan pencetak Risograph untuk mencetak zine kami. Ia sangat cepat dan menjimatkan masa dan cara untuk mencetak zine," menurut Cik Siah.

Namun, lebih daripada teknik percetakan, Cik Siah juga melihat zine sebagai satu reaksi terhadap penggunaan media hari ini.

"Kebanyakan media yang kita lihat akses seakan disewa. Anda tidak memiliki media yang anda tonton lagi. Jadi mungkin dengan menerbitkan zine atau membeli zine adalah satu cara untuk memilikinya," jelas Cik Siah.

KEBANGKITAN TEKNOLOGI ANALOG, KEINGINAN UNTUK MILIKI SESUATU DORONG MINAT TERHADAP ZINE

Related article image
Minat terhadap zine seiring dengan kebangkitan semula teknologi analog. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 
Dalam era digital hari ini, minat terhadap medium fizikal seperti zine ini juga dilihat seiring dengan kebangkitan semula teknologi analog.

"Bagi saya, zine itu ialah satu bentuk pemberontakan. Kita hidup dalam dunia di mana secara tidak sedar, kita diminta untuk mengikut arus. Secara tidak sedar, kita juga seolah-olah hanya menyewa media yang kita akses, dan kebanyakannya sekarang adalah media digital," ujar beliau.
Related article image
Pengasas Bedroom Press, Cik Valerie Siah. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

"Terdapat kini rasa yang kian meningkat untuk memiliki sesuatu. Anda lihat sendiri bagaimana fotografi filem kian menaik perhatian anak muda kini, kita kembali ke teknologi lama, kebangkitan semula analog," tambahnya.

Setiap zine lahir daripada sebuah idea.

Bagi kedua-dua pencipta itu, tiada peraturan dalam mengekspresikan diri - hanya keberanian untuk bermula, dan ruang untuk berkongsi ilmu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita