Skip to main content

Singapura

BERITA+: Wanita cabar stereotaip dalam sukan Strongwoman & Muay Thai

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 17 May 2026 06:59PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 04:08PM
SINGAPURA: Mengguling tayar, mengangkat balak dan memikul beban.

Bagi sesetengah orang, sukan sebegini sering dikaitkan dengan lelaki bertubuh sasa.

Namun semakin ramai wanita Melayu/Islam di Singapura kini berani mencabar stereotaip itu melalui sukan kekuatan seperti 'Strongwoman'.

‘Strongwoman’ ialah sukan kekuatan untuk wanita yang menguji kemampuan mengangkat, menarik dan membawa beban berat pada tahap ekstrem.

Dalam pertandingan, atlet wanita melakukan cabaran seperti mengangkat batu besar serta menolak atau menarik objek berat.

Sukan itu berkembang daripada ‘Strongman’, yang popular sejak 1970-an menerusi pertandingan seperti World’s Strongest Man yang pada awalnya hanya disertai lelaki.

Bagi Firzanah Nazmi, 30 tahun, penglibatannya dalam dunia ‘Strongwoman’ bukan sekadar tentang kekuatan fizikal.

Menurutnya, kekuatan turut menuntut keyakinan diri, disiplin dan ketahanan mental.

Beliau sebelum ini pernah menarik kereta BYD seberat 3,600 kilogram dalam acara sukan Hyrox bulan lalu.
Related article image
"Sejujurnya saya seorang yang sangat degil. Jadi saya tidak hiraukan apa yang orang kata dan saya buat sahaja apa yang saya rasa tepat untuk saya sendiri. Selagi ada niat, kita harus cuba, kalau kita tidak cuba, kita tidak akan tahu apa potensi kita dan kita tidak akan dapat berkembang," katanya kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Firzanah kini giat berlatih bersama SG Titans, sebuah komuniti latihan berkonsepkan ‘Strongman’ yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan wanita.

"Pada saya, kekuatan itu bukan sahaja dari segi fizikal tapi juga mental dan memerlukan disiplin dan keyakinan diri. Saya harap wanita di luar sana dapat lihat apa yang saya buat dan saya harap mereka terdorong untuk menceburi bidang-bidang yang menarik," kata Firzanah.

Latihan mereka juga kini disesuaikan agar lebih mesra wanita dan memberi penekanan kepada keselamatan serta membina keyakinan diri.
Related article image

"Kami harus tukar kerana ramai wanita sekarang datang dan kami cuba membawa mereka ke dalam arena ini. Ada segelintir daripada wanita kami yang sudah masuk dalam peraduan. Mereka datang untuk beradu kekuatan.

"Yang mustahak pada semua orang adalah sukan ini selamat tetapi anda harus faham diri dan keyakinan, itu sahaja yang kami harap dapat terapkan dalam mereka yang datang di sini," kata Pengasas SG Titans, Shaifulizzam Md Rouse, 51 tahun.

Beliau turut berkongsi bahawa ketika kumpulan itu ditubuhkan pada tahun 2000, kesemua pesertanya terdiri daripada lelaki.

Kini, Encik Shaiful melahirkan rasa bangga dan bersyukur melihat semakin ramai wanita menyertai kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berharap agar lebih ramai wanita tampil menyertai kumpulannya tanpa rasa khuatir terhadap aspek keselamatan mahupun kebimbangan tidak mampu melakukan senaman dengan baik.

Apa yang sebelum ini dianggap sukan ekstrem untuk lelaki, kini menjadi ruang untuk wanita membina keberanian dan mencabar batas diri sendiri.

BINA KOMUNITI UNTUK PERKASA WANITA MELALUI SUKAN MUAY THAI

Daripada arena 'Strongman' ke gelanggang Muay Thai.

Bagi Van Lee, cabaran terbesar bukan sama ada wanita mampu bersukan tetapi sama ada mereka mempunyai ruang yang selesa dan selamat untuk bermula.

Justeru, beliau menubuhkan sebuah gim khas wanita yang 95 peratus ahlinya terdiri daripada masyarakat Melayu/Islam.

"Saya mahu mewujudkan sebuah ruang yang selamat, inklusif dan tidak menghakimi untuk wanita, khususnya wanita minoriti, supaya mereka dapat mencari kekuatan dalam diri mereka, bersenam, dan bertemu dengan wanita yang mempunyai minat yang sama.

"Saya rasa ini adalah satu keperluan dan kemahiran hidup yang penting untuk wanita belajar bagaimana untuk melindungi diri mereka," kata Van.

Related article image
Meskipun berbangsa Cina, Van berkongsi bahawa beliau dibesarkan dalam persekitaran masyarakat Melayu.

Pengalaman itu membantunya mewujudkan suasana yang lebih selesa dan mesra buat para kliennya.

"Saya sediakan ruang solat dengan tikar sembahyang dan telekung. Kami juga menyediakan kit kemudahan kecil yang mengandungi pin tudung dan keperluan lain. Jadi, persekitaran yang kami sediakan ini memang dirancang dengan teliti agar mereka berasa selesa dan dihargai setiap kali datang ke sini," kongsi Van.

Selain kecergasan fizikal, beliau percaya Muay Thai mampu membina keyakinan dan jati diri wanita.

"Harapan saya untuk wanita di sini adalah supaya mereka terus percaya pada diri sendiri dan yakin dengan kemampuan mereka. Jangan takut. Jangan terlalu risau tentang apa yang orang lain fikirkan tentang anda. Kerana kadang-kadang kita membiarkan penilaian kita sendiri mengaburi pendapat kita," kata Van.

Menurut Van, kliennya terdiri daripada pelbagai peringkat usia, daripada seawal 25 tahun hingga awal 50-an.
Related article image
RUANG UNTUK BINA SEMULA KEKUATAN & JATI DIRI

Bagi ibu kepada dua orang anak, Nurhikmah Abdullah Kamil, 38 tahun, gim itu telah menjadi ruang untuk beliau membina semula kekuatan diri.

"Di sini kita semua saling bantu-membantu dan pengalaman ini membuatkan saya sedar yang lingkungan dan sekitaran yang membina yang menyokong satu sama lain itu akan dapat meningkatkan semangat kita dan juga kita punya keyakinan.

"Ia telah membuka mata saya yang sebenarnya kita ini semua sebenarnya lebih hebat dan lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan," kata Nurhikmah.

Seorang lagi peserta, Niki Ahmad, 40 tahun, mula menyertai Muay Thai ketika berdepan fasa sukar dalam hidupnya.

Namun baginya, komuniti wanita di gim tersebut menjadi sumber kekuatan yang membina keyakinan diri serta ketahanan mental, sekali gus menjadikannya lebih tabah, berani dan mampu bangkit semula.
Related article image
"Wanita di sini semuanya positif dan saling menyokong antara satu sama lain dan ia membuat kita menikmati sukan Muay Thai.

"Muay Thai bukan sekadar untuk sukan, tetapi ia adalah sebuah perjalanan bagi kami untuk meningkatkan nilai diri, prinsip dan jati diri sendiri sebagai seorang wanita," kata Niki.

Bagi wanita-wanita di Van Lee Fitness, kekuatan bukan lagi tentang memecahkan stereotaip semata-mata.

Sebaliknya, ia tentang membina keyakinan, mencari komuniti yang menyokong dan menyedari bahawa mereka sebenarnya lebih kuat daripada yang disangka.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita