Skip to main content

Singapura

BERITA+: Usaha pemuliharaan hidupan liar SG dipergiat, lindungi spesies tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Usaha pemuliharaan hidupan liar SG dipergiat, lindungi spesies tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACRES, Kalaivanan Balakrishnan (kiri), Aamani Arfian, Pengasas bersama Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura, Dr Vilma D'Rozario dan Radiah Rizal. (Gambar: Facebook/Acres, Aqil Ezat)

Diterbitkan : 18 Jul 2026 08:55PM Dikemas Kini : 18 Jul 2026 09:36PM
SINGAPURA: Usaha memulihara hidupan liar di Singapura terus dipertingkatkan seiring peningkatan jumlah haiwan yang memerlukan bantuan.

Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) misalnya, menggandakan keluasan pusat perlindungannya selepas mengendalikan 3,838 kes menyelamat tahun lalu, yang meningkat daripada 3,537 kes pada 2024.

Pusat perlindungan tersebut yang terletak di Sungai Tengah, kini berkeluasan 5,000 meter persegi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACRES, Kalaivanan Balakrishnan, kawasan tanah yang diperluaskan hanya separuh daripada keseluruhan kawasan yang sedia ada.

"Sebelum ini, kami hanya menggunakan kawasan seluas 0.5 hektar. Masih terdapat baki 1.5 hektar yang boleh kami gunakan. Buat masa ini, kami hanya sedang membangunkan tambahan 0.5 hektar, yang akan meningkatkan keluasan tanah kami kepada kira-kira satu hektar," jelasnya.
Related article image
Dengan kawasan yang lebih luas, lebih 120 haiwan di bawah jagaan ACRES bakal menikmati persekitaran yang lebih sesuai sepanjang proses pemulihan.

Selain itu, ACRES juga dapat menempatkan lebih banyak hidupan liar tempatan yang memerlukan rawatan dan pemulihan sebelum dilepaskan semula ke habitat semula jadi.

"Ia membolehkan kami untuk melakukan apa yang kami inginkan selama ini, iaitu untuk menyediakan persekitaran terbaik untuk haiwan-haiwan yang kami selamatkan dan jaga," ujar Encik Kalaivanan.

Menurut Encik Kalaivanan, peningkatan jumlah kes didorong oleh semakin banyak hidupan liar yang menyesuaikan diri dengan persekitaran bandar seiring pembangunan Singapura.
Related article image
"Sedang hidupan liar ini menyesuaikan diri, ia akan mengalami kecederaan, mungkin terlanggar tingkap atau dilanggar di jalan raya, kami menerima semakin banyak panggilan," jelasnya.

Encik Kalaivanan menambah bahawa semakin ramai rakyat Singapura tahu pihak yang perlu dihubungi apabila mereka menemui haiwan yang cedera atau berada dalam kesusahan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak menghampiri haiwan liar.

Sebaliknya, ambil gambar atau rakam video dari jarak yang selamat sebelum menghubungi ACRES menerusi talian hotline atau WhatsApp untuk mendapatkan nasihat lanjut.
 
Related article image
(Gambar: Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura (SWAG)
MEMELIHARA SPESIS KUCING LIAR TERAKHIR SG

Usaha melindungi hidupan liar tidak terhenti di pusat pemulihan.

Di habitat semula jadi pula, sekumpulan sukarelawan giat memantau satu-satunya spesis kucing liar asli Singapura, iaitu kucing batu.

Lebih 50 sukarelawan Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura (SWAG) terlibat dalam 40 tinjauan di pesisir Changi selama sembilan bulan, sejak pertengahan Julai 2025.

18 kamera pengesan dipasang untuk mengesan kehadiran spesis tersebut, mengenalpasti setiap ekor kucing batu, serta memerhati tingkah laku dan pergerakannya.

Hasil tinjauan itu, lima ekor kucing batu berjaya dirakam. Ia terdiri daripada tiga ekor dewasa dan dua ekor anak, yang menetap di kawasan berkenaan.
Related article image
(Gambar: Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura (SWAG)
Salah satu daripadanya yang dinamakan 'Bulat', merupakan seekor kucing batu betina yang melahirkan dua ekor anak pada tempoh yang berbeza.

Penemuan tersebut memberi petanda bahawa spesis itu masih berjaya membiak di habitat berkenaan, meskipun kawasan itu sedang melalui pembangunan yang pesat.

"Apa yang mengejutkan kami adalah terdapat kucing batu di situ, kerana biasanya spesis ini ditemui di hutan atau pinggir hutan," kongsi Pengasas bersama Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura, Dr Vilma D'Rozario.

IBU DAN ANAK LINDUNGI KUCING BATU

Penemuan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa usaha lebih 50 sukarelawan SWAG, termasuk pasangan ibu dan anak, Radiah Rizal dan Aamani Arfian.

Bagi Cik Radiah, penyertaannya dalam projek itu didorong oleh keinginan untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan, di samping memupuk minat anaknya terhadap alam semula jadi.

"Tidak kira sama ada tindakan itu kecil atau besar, semua orang boleh menyumbang perkara yang positif untuk memelihara alam sekitar," katanya.
Related article image
Aamani Arfian dan ibunya, Radiah Rizal. (Gambar: Aqil Ezat)
Bagi Aamani, 16 tahun, pengalaman turun padang untuk memeriksa kamera pengesan memberinya peluang mengenali kucing batu dan memahami cabaran yang dihadapi spesis itu untuk terus hidup di sebuah negara yang semakin pesat membangun.

Pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah itu turut berkongsi cabaran yang dihadapinya.

"Ada kalanya kerja-kerja binaan berlaku di tempat itu, jadi kami perlu menggunakan jalan yang mencabar.Kadangkala kami tidak dapat melihat apa-apa yang dirakam di kamera," luahnya.

Namun, Aamani tetap berasa bangga dapat menyumbang dalam projek tersebut.

Pengalaman itu menyedarkannya bahawa hidupan liar tempatan mempunyai daya tahan yang tinggi meskipun habitat mereka semakin terjejas akibat pembangunan pesat di Singapura.

"Kita perlu belajar tinggal bersama haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang berada di Singapura. Kerana jika kita tidak, mereka boleh hilang dari pulau kita," tegas Aamani.
Related article image
Pengasas bersama Kumpulan Bertindak Kucing Liar Singapura, Dr Vilma D'Rozario (tengah), bersama Aamani dan Cik Radiah. (Gambar: Aqil Ezat)
Bagaimanapun, usaha memulihara kucing batu masih berdepan pelbagai cabaran.

Menurut Dr Vilma, kawasan hutan yang kecil memaksa kucing batu untuk bergerak ke kawasan lain.

Keadaan itu meningkatkan lagi risiko haiwan tersebut menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

Oleh itu, Lembaga Taman Negara (NParks) sedang berusaha untuk memindahkan kucing batu di pesisir Changi ke kawasan lain.

Sebelum dipindahkan, haiwan-haiwan tersebut akan menjalani pemeriksaan veterinar.

Proses pemindahan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pemantauan berterusan, sambil mengutamakan kebajikan dan kelangsungan hidup jangka panjang spesis itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita