Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Usaha elak konflik antara manusia dengan hidupan liar sedang jumlah kes meningkat

Jumlah kes konflik antara manusia dengan hidupan liar di Singapura meningkat daripada sekurang-kurangnya 700 kes setahun sekitar dua hingga tiga tahun lalu kepada lebih 1,000 kes sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jumlah kes konflik antara manusia dengan hidupan liar di Singapura meningkat daripada sekurang-kurangnya 700 kes setahun sekitar dua hingga tiga tahun lalu kepada lebih 1,000 kes sekarang.

Ini merupakan kes-kes konflik yang ditangani Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES).

Situasi konflik melibatkan pengalaman atau interaksi dengan haiwan liar yang dianggap negatif.

"Interaksi manusia dengan hidupan liar menjadi topik amat penting kerana landskap kita sentiasa berubah dengan semakin banyak pembangunan. Pada masa yang sama penghijauan bandar juga semakin meluas dan menjangkau kawasan orang ramai dan lantaran itu mendekatkan manusia dengan alam semula jadi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bersama ACRES, Anbarasi Boopal.

USAHA MENYELAMAT HAIWAN LIAR

Selain menangani konflik dan jumlah interaksi antara manusia dengan haiwan liar yang meningkat, ACRES juga menyelamatkan haiwan-haiwan liar tempatan yang cedera.

Burung terjerat pada perangkap gam tikus misalnya adalah antara kejadian yang diuruskan ACRES dan haiwan itu dirawat di Pusat Penyelamat Haiwan Liar ACRES.

Bahan pelekat seperti itu biasanya dipasang di kawasan kedai kopi, pusat beli-belah atau rumah dan dibubuh dengan makanan sebagai umpan bagi haiwan perosak tetapi adakalanya, haiwan liar menjadi mangsa. 

"Semasa proses merawat ini kadang-kadang burung tersebut boleh mati kerana tertekan jadi kami harus lembut dengannya," kata Encik Muhamad Safari Masnor, Pegawai Penyelamat Haiwan Liar ACRES.

(Gambar: BERITAmediacorp/Emilia Amin)

Beliau juga menceritakan pengalaman menyelamatkan tiga haiwan liar yang terperangkap sekali gus dalam sebuah perangkap gam cicak. 

Selain cicak, seekor ular dan seekor burung pekaka atau 'kingfisher' juga terperangkap sama. 

Akhirnya hanya ular itu sahaja yang berjaya diselamatkan.

KESEDARAN HIDUPAN LIAR MENINGKAT

Pusat Penyelamat Haiwan Liar ACRES juga menempatkan haiwan liar yang diselamatkan daripada perdagangan haram.

Sebahagian daripadanya adalah haiwan bukan asal negara ini yang tidak boleh menyesuaikan diri lantas perlu terus dijaga dalam sekitaran terkawal.

Namun menurut Pegawai Penyelamat Haiwan, Nur Syazleena Roslee, dari sudut positif pula, sudah ada tanda-tanda meningkatnya kesedaran awam tentang hidupan liar tempatan sewaktu pandemik COVID-19 dengan lebih ramai yang menghubungi talian 'hotline' ACRES untuk mendapatkan bantuan atau nasihat.

"Mungkin orang cari peluang untuk keluar beriadah untuk pergi ke taman semula jadi dan bila mereka pergi dekat tempat-tempat haiwan-haiwan liar berada dan melihat ada yang cedera dan memerlukan bantuan, di situlah kami lihat jumlah panggilan meningkat.

BERITAMediacorp juga berpeluang menyertai Cik Syazleena dan Encik Safari dalam satu tugasan menyelamat hidupan liar yang diterima menerusi talian bantuan ACRES yang dibuka 24 jam. 

Kes pertama yang diterima adalah panggilan ,mengenai seekor ular pokok terbang atau 'paradise tree snake' yang ditemui di kedai telefon bimbit di sebuah pusat penjaja berdekatan Holland Village.

"Ular ni memang biasanya boleh dilihat di Singapura sama ada persekitaran bandar atau semula jadi kerana di Singapura ada banyak bangunan dan pokok yang tinggi. Ular jenis ini memang suka terbang untuk cari mangsa atau yang selalunya adalah cicak," kata Encik Safari.

Spesies ular yang menurut ACRES, sedikit berbisa tetapi tidak berbahaya kepada manusia itu kemudian dilepaskan semula ke habitat asalnya. 

Namun, ia bukan satu-satunya kes ular yang Encik Safari dan Cik Syazleena selamatkan pada hari tersebut. 

Panggilan seterusnya yang mereka terima adalah daripada seorang penduduk yang menemui seekor ular sawa batik di rumah privetnya.

Encik Safari meminta pemanggil itu untuk mengambil video dan menghantarnya kepada beliau. Beliau juga menasihatinya untuk menjaga jarak selamat sementara menunggu mereka tiba.

"Bagi ular yang terperangkap atau di dalam rumah, kami tak beritahu pemanggil itu untuk tangkap sendiri atau apa-apa. Kami selalunya turun ke tempat tu dan kami ambil ular itu untuk dilepaskan di tempat yang jauh daripada manusia," kata Encik Safari.

Sebelum dilepaskan, ular sawa batik sepanjang 2.5 meter itu dibawa ke zoo untuk kajian dan pengumpulan data dan dipasang dengan cip mikro.

SEBAHAGIAN KONFLIK DICETUSKAN MANUSIA 

Penemuan haiwan liar di tengah bandar tidak semestinya berakhir dengan pertembungan meskipun ini pernah berlaku.

Ada kalanya, ia angkara perbuatan manusia sendiri seperti insiden monyet yang memanjat blok dan memasuki flat di Clementi pada Julai lalu.

Dua penduduk blok itu yang ditemui BERITAMediacorp berkata mereka melihat sendiri monyet-monyet itu diberi makan di kawasan berdekatan flat itu sebelum kejadian tersebut dilaporkan.

"Sebenarnya saya lihat seseorang mencampak makanan kepada monyet-monyet. Itu tidak bagus kerana anda memberitahu (haiwan-haiwan itu) ada orang yang akan memberi mereka makan. Saya rasa tidak betul untuk penduduk memberinya makan. Kita patut biarkan mereka sendiri," kata Cik Heng. 

Seorang lagi penduduk, Cik Wati melihat penduduk memberi buah-buahan kepada monyet-monyet di kawasan blok itu: "Kalau penduduk kasi makan pasti monyet itu akan datang, pasti akan masuk ke rumah tetapi kalau penduduk tak kasi makan, monyet itu tak akan datang. Pernah dari atas mereka campak buah, oren. Saya nampak monyet ambil mi Maggi, bawang merah."

PENGHIDUPAN HARMONI ANTARA MANUSIA DAN HAIWAN LIAR

Menurut kumpulan hidupan liar, tindak balas yang dapat membantu adalah kerjasama dengan para penduduk untuk membolehkan mereka tahu bahawa monyet-monyet itu bukan mahu menyerang mereka.

"Memanjat blok konkrit sebenarnya boleh menjadi satu perbuatan berisiko untuk monyet dan monyet-monyet itu mengambil risiko tersebut. Ini bermakna mereka sudah belajar terdapat sumber makanan. 

"Apa yang boleh membantu adalah untuk berkomunikasi secara jelas tentang sebab kelakuan monyet-monyet kepada para penduduk dan meminta kerjasama semua orang untuk menutup tingkap untuk beberapa hari supaya monyet-monyet akan belajar, tiada makanan di situ dan mereka akan beredar dan mencari makan di tempat lain," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bersama ACRES, Anbarasi Boopal.

Sementara itu, para penduduk juga berharap kawasan perhutanan dan habitat asal hidupan liar dikekalkan seboleh mungkin.

"Saya rasa kita patut kekalkan pokok-pokok hutan untuk haiwan. Jika tidak kejadian ini akan berulang dan tidak akan berakhir. Haiwan-haiwan ini tidak akan ada tempat untuk hidup," kata seorang lagi penduduk blok tersebut, Cik Heng.

Ada juga penduduk seperti Cik Jana yang berpendapat: "Kita patut belajar berinteraksi dengan alam semula jadi supaya cara kita bertindak juga  semula jadi."

Keseimbangan sedemikianlah yang ingin dicapai antara memenuhi keperluan penduduk dengan melindungi hidupan liar sedang pembangunan di Singapura diteruskan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan