Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Usaha 'bidan muda' Salwa Salim lestarikan amalan perbidanan Melayu, kongsi pengetahuan sejauh AS

Pada awalnya, Cik Salwa Salim tidak begitu mengendahkan perubatan tradisional.

Anggaran Waktu Membaca:
04:49 Min
Pada awalnya, Cik Salwa Salim tidak begitu mengendahkan perubatan tradisional.

SINGAPURA: Pada awalnya, Cik Salwa Salim tidak begitu mengendahkan perubatan tradisional.

Malah, beliau menganggapnya sebagai sesuatu yang 'tidak berasas'.

Namun setelah melihat sendiri manfaat perubatan tradisional Melayu sewaktu kakaknya bersalin, tanggapannya terhadap ilmu tersebut mula berubah. 

"Apabila kakak saya bersalin, saya lihat dengan mata saya sendiri bagaimana cara ibu saya menjaganya dari segi pemakanan, dari segi mengurut, semua dari segi menyeluruh dan di situ ia memberi saya kesedaran bahawa di hospital ia bersifat satu dimensi tetapi dalam perubatan Melayu, ia sangat menyeluruh dan setiap aspek kehidupan dijaga.

"Dari segi mental, fizikal dan juga dari segi kecantikan yang seringkali tidak diambil berat," kata Cik Salwa.

USAHA LESTARIKAN AMALAN PERBIDANAN MELAYU

Ibu dan nenek Cik Salwa merupakan bidan kampung yang sudah berkhidmat selama lebih 40 tahun.

Selaku generasi pelapis, 'Bidan Muda' Cik Salwa mahu melestarikan ilmu tersebut untuk generasi seterusnya.

Ini terutama sekali selepas beliau menyedari bahawa terdapat amalan perbidanan Melayu yang diamalkan oleh orang-orang dahulu tetapi tidak lagi dipraktikkan kini.

Malah menurutnya, amalan-amalan itu juga sebenarnya serupa dengan rawatan yang moden.

"Sewaktu saya bersalin anak saya yang pertama saya mengalami sakit belakang dan saya berasa sangat terkejut apabila hospital menyediakan 'pad' air yang dipanaskan. Mesin itu sentiasa mengeluarkan air panas jadi sentiasa ada haba panas pada bahagian tubuh belakang saya dan ini mengingatkan saya kepada perkongsian ibu saya mengenai amalan bersalai atau berdiang yang sudah lagi tidak dipraktikkan.

"Bersalai dan berdiang adalah rawatan untuk wanita selepas bersalin di mana beliau dibaringkan di atas katil yang dijarak-jarakkan dan terdapat api di bawah yang membuat tulang belakangnya berasa sentiasa panas.

"Jadi saya mula sedar, oh waktu zaman dahulu lagi tidak ada teknologi atau bekalan elektrik tetapi mereka sudah pun menyedari kepentingan haba panas untuk melegakan sakit belakang bagi rawatan ini," kongsi Cik Salwa.

HASILKAN BUKU AMALAN PERBIDANAN MELAYU

Beliau kini sedang menghasilkan sebuah buku mengenai amalan perbidanan Melayu.

Disebabkan kurang sumber rujukan, beliau banyak bergantung pada pengetahuan ibunya selama lebih 40 tahun dalam bidang tersebut.

Melalui sumbangannya itu juga, wanita berusia 38 tahun itu berharap dapat menjadi pengantara antara ilmu perbidanan tradisional dan moden.

Selain berkelulusan dalam perbidanan Melayu, beliau juga mempunyai ijazah dalam pengimejan perubatan.

LEBIH 90% PELANGGAN CIK SALWA WANITA BUKAN MELAYU

Manfaat rawatan perbidanan Melayu turut diakui oleh kaum wanita bukan Melayu.

Di pusat urut 'Mummy's Massage' yang dikendalikan oleh Cik Salwa, lebih 90 peratus daripada pelanggannya bukan berbangsa Melayu.

Ini seperti Cik Melanie Michel Loh yang melanggani khidmat urut di pusat itu selepas bersalin melalui pembedahan Caesarean.

"Saya sebenarnya mendapat tahu tentang ini daripada ibu saya yang menggalakkan saya untuk jalani rawatan urut ini selepas bersalin. Apabila saya buat kajian saya menerusi online dan melihat bahan-bahan yang digunakan, saya menyedari bahawa hanya bahan-bahan alami yang digunakan dan ia bantu dengan pemulihan tubuh juga," katanya.

Selain di Singapura, Cik Salwa turut giat kongsikan manfaat perbidanan Melayu di Amerika Syarikat.

(Gambar ihsan: Salwa Salim)

"Salah satu usaha saya adalah untuk tingkatkan kesedaran atau mengajar orang awam atau 'birth workers' tentang pantang selepas bersalin.

"Saya buat ini bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di Amerika Syarikat di mana saya mengajar orang bagaimana untuk menjaga selepas bersalin dari segi memakai bengkung, dari segi pemakanan, dari segi herba-herba digunakan dan juga rawatan-rawatan seperti bertangas," ujarnya.

Demi tradisi kaya itu, Cik Salwa kini membahagikan masanya antara Singapura dengan Amerika Syarikat.

Usahanya ini diharapkan dapat terus melestarikan amalan perubatan tradisional dalam era moden.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan