Skip to main content

Singapura

BERITA+: Ulam-ulaman kian dilupakan, usaha baharu hidupkan semula warisan Melayu di Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dahulu ianya merupakan sebahagian daripada pemakanan harian masyarakat Melayu, kini ulam hanya dianggap sebagai makanan 'orang dahulu'.

Menurut Encik Rusidi Rashid yang menjual ulam-ulaman di Pasar Geylang Serai, permintaan bagi ulam-ulaman telah menjunam berbanding 15 tahun yang lalu.

Generasi muda katanya kini sudah tidak berminat untuk memakan makanan tradisional seperti ulam-ulaman.

"Pemakanan ulam-ulaman ini generasi lama. Kalau dulu kita berniaga ulam-ulaman memang laku, memang habislah. Pasar Geylang ni memang terkenal dengan ulam-ulaman. Tapi zaman sekarang memang tidak lagi macam dahulu," kata Encik Rusidi.

"Sekarang semua orang tidak mahu jual ulam lagi pasal generasi yang lama sudah tiada dan sudah tiada orang yang makan ulam-ulaman lagi. Generasi sekarang tidak makan ulam. Boleh dikatakan bezanya jauh. Dahulu kita boleh habis jual dalam satu hari tetapi sekarang 20 peratus pun saya rasa tidak habis," tambahnya lagi.

Antara jenis-jenis ulam yang beliau jual dahulu termasuk Ulam Raja, Daun Belinjau, Kacang Botol, Daun Turi, Daun Beremi, Ulam Tenggek Burung, serta lain-lain seperti Pucuk Ubi dan Pucuk Paku.

Menurut Encik Rusidi, generasi muda hanya berminat membeli sayur-sayuran yang lazim seperti lobak merah.

Begitulah realiti pemakanan ulam pada zaman kini.

USAHA NPARKS PERKENAL ULAM SERTA KHASIATNYA KEPADA UMUM

Namun terdapat usaha untuk terus memperkenalkan generasi muda kepada pelbagai jenis ulam-ulaman.
Related article image
Antara ulam-ulaman yang menjadi sebahagian dari pemakanan masyarakat Melayu adalah Ulam Raja. (Gambar: Hidir Ezat)
Di Kitchen Gardens di Taman Pasir Ris yang dikendalikan NParks misalnya, pelbagai jenis ulam-boleh didapatkan termasuk antara yang popular seperti Ulam Raja dan Tenggek Burung.

"Jika kita cakap tentang ulam-ulam yang terdapat di sini, kita mempunyai Ulam Raja, Tenggek Burung, Daun Mengkudu, Kunyit, Belimbing Buluh dan pelbagai lagi," kata Pengarah NParks, Cik Kalthom Abd Latiff.

"Di dalam Kitchen Garden ini terdapat tanaman-tanaman yang digunakan untuk pemakanan tradisi Melayu seperti ulam-ulaman, ubat-ubatan tradisi dan juga tanaman-tanaman yang digunakan untuk hidangan Melayu," kata Cik Kalthom.

Menurut Cik Kalthom lagi, adalah penting untuk bukan sahaja memperkenalkan ulam-ulaman kepada umum tetapi juga khasiat yang terkandung serta amalan memakan ulam sebagai satu warisan masyarakat Melayu.

"Ulam-ulaman ini mengandungi khasiat seperti antioksidan, antiradang, anti-mikrob, anti-kulat. Jadi keseluruhannya, ia adalah tanaman yang sangat baik untuk kesihatan kita," kata Cik Kalthom.

"Khasiat ulam-ulaman serta herba-herba ini telah diturunkan turun-temurun melalui pengalaman. Pada pendapat saya, ini adalah sangat penting sebab sebelum adanya ubat-ubatan moden, generasi yang lama telah melihat kepada alam semula jadi untuk mencari ubat-ubatan," tambahnya lagi.
Related article image
Terdapat pelbagai usaha bagi mendidik masyarakat tentang warisan serta khasiat memakan ulam-ulaman. (Gambar: Hidir Ezat)
Menurut Cik Kalthom, ulam-ulaman ini dimakan secara mentah, dicelur ataupun direbus.

Selain di Kitchen Garden, NParks turut mempunyai kebun lain yang terletak di Taman Fort Canning dan Taman Jurong Lake yang bertujuan untuk memperkenalkan masyarakat umum, terutama keluarga yang mempunyai kanak-kanak untuk mengenali dengan lebih dekat lagi tanaman-tanaman.

'AGRITAINMENT' SEBAGAI USAHA MENARIK PERHATIAN MASYARAKAT

Bollywood Farms yang terletak di Neo Tiew Road, turut menawarkan 'agritainment' atau hiburan dalam pertanian, satu cara unik untuk menarik orang ramai lebih mengenali ulam-ulaman serta tanam-tanaman lain.

Selain mempunyai restoran untuk menjamu para pengunjung, Bollywood Farms yang diusahakan secara sendiri mempunyai sebuah kebun yang mempunyai berjenis-jenis ulam-ulaman dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan dalam masakan mereka.
Related article image
Bollywood Farms, yang terletak di Neo Tiew Road, menawarkan pengalaman 'Agritainment'. (Gambar: Hidir Ezat)
Menurut Pengurus Operasi Bollwywood Farms, Cik Aisyah Nur Khaliesha Roslan, kebun tersebut ditubuhkan dengan tujuan menekankan tentang kepentingan komuniti setempat, khususnya dalam mendidik generasi muda dan juga golongan dewasa mengenai tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi.

"Kami di sini bertujuan untuk mendidik generasi muda dan juga golongan dewasa tentang tumbuh-tumbuhan serta alam semula jadi. Kami ingin menunjukkan bahawa di Singapura masih terdapat tempat di mana orang ramai boleh berehat sambil mempelajari dengan lebih mendalam tentang makanan yang mereka ambil setiap hari," kata Cik Aisyah.

"Bollywood Farms bukan untuk tujuan pengeluaran, tetapi lebih kepada pendidikan dan pelancongan. Konsep ini dikenali sebagai 'agritainment', iaitu gabungan hiburan dalam pertanian, pendidikan dalam pertanian, serta pelancongan berasaskan pertanian," tambahnya lagi.

Menurut Cik Aisyah, Bollywood Farms mempunyai salah satu koleksi ulam yang terbesar di Singapura, hasil daripada kawasan penanaman yang luas di lokasi tersebut.
Related article image
Bollywood Farms merupakan kebun yang mempunyai koleksi ulam yang terbesar di Singapura. (Gambar: Hidir Ezat)
Antara yang paling popular ialah Bunga Kantan, Ulam Raja, Daun Kunyit, Daun Kencur, Halia Pasir dan Daun Kaduk.

Meskipun mempunyai koleksi ulam-ulaman yang besar, Bollywood Farms tidak mempunyai sesi yang khas untuk mengajarkan tentang jenis-jenis ulam.

"Kita tidak memperkenalkan ulam secara langsung. Kita juga tidak mempunyai staf yang duduk bersama pelanggan di restoran untuk menerangkan tentang ulam. Namun, hidangan kita menggunakan sebanyak mungkin ulam yang terdapat di kebun kita," kata Cik Aisyah.

"Melalui pendekatan ini, kita cuba membangkitkan rasa ingin tahu pelanggan terhadap herba dan ulam tertentu. Nama ulam serta bahan-bahan yang digunakan dalam setiap hidangan akan disenaraikan supaya pelanggan lebih peka," tambahnya lagi.

Pendekatan tidak langsung ini juga selari dengan peranan kebun tersebut sebagai ruang santai dan pendidikan untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Related article image
Semua ulam-ulaman yang digunakan dalam hidangan di Bollywood Farms datangnya dari kebun mereka sendiri. (Gambar: Hidir Ezat)
Kebanyakan pengunjung yang datang berjalan di kebun kami terdiri daripada kanak-kanak yang datang bersama sekolah masing-masing, serta golongan warga emas yang hadir melalui program komuniti bersama GRC mereka.

"Kebanyakan pengunjung yang datang berjalan di kebun kami terdiri daripada kanak-kanak yang hadir bersama sekolah masing-masing, serta golongan warga emas. Mereka biasanya datang melalui program komuniti seperti GRC untuk bersiar-siar, dan selepas itu menikmati hidangan di restoran kami," kata Cik Aisyah.

"Namun begitu, bagi generasi saya, iaitu generasi 90-an yang kini kebanyakannya sudah berkeluarga, kita dapat melihat peningkatan dalam jumlah kunjungan. Golongan ini datang untuk membawa anak-anak mereka keluar ke persekitaran luar untuk bersenam, berjalan-jalan, serta melihat sendiri tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang sedang tumbuh di depan mata," tambahnya lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita