Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Trend senaman hibrid jadi pilihan ramai karyawan untuk kekal aktif

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir dua kali seminggu, Cik Zizi Ezlina Zulkefli, 36 tahun datang ke studio STRONG Pilates Singapore (STRONG) untuk bersenam.

Sebagai seorang ibu bekerjaya, beliau juga menitikberatkan rutin senaman yang padat lagi berkesan.

Itu yang membuat beliau tertarik dengan program yang ditawarkan di STRONG yang menerapkan senaman kardio berunsur 'pilates'.

Dalam sesi sepanjang 45 minit, para peserta akan melakukan pelbagai jenis senaman dengan kadar intensiti yang tinggi dengan impak yang rendah.

"Ia dapat menyasarkan untuk stamina, untuk kekuatan semua jadi saya seronok. Lepas bersenam itu selalunya rasa lebih cergas macam lebih gembira, lagi bertenaga. Walaupun kita banyak membakar kalori tapi lepas kelas itu sampai beberapa jam dalam kerja lebih fokus dan di rumah tidak selalu letih atau lesu," kata Cik Zizi, yang mula aktif bersenam sejak 10 tahun lalu.

Secara purata, beliau membelanjakan sekitar S$300 sebulan untuk kelas-kelas di situ.

“”
Selain mendapat bimbingan para jurulatih, kemudahan akses serta kepelbagaian program yang ditawarkan juga membuatkan Cik Zizi selesa untuk bersenam.

Ibu kepada dua cahaya mata kembar itu juga lebih bersemangat kerana senaman dijalankan secara beramai-ramai dan terdapat golongan ibu-ibu lain sepertinya yang turut bersenam di situ.

"Kita datang ke sini kita nampak satu komuniti ibu-ibu. Ramai yang bekerja sepenuh masa, ramai yang bekerja fleksibel. Saya rasa dalam industri ini 10 tahun lebih ia sudah mempunyai banyak variasi. Jadi dulu macam ada gimnasium sahaja kan. Kemudian gimnasium kebanyakan orang lelaki sahaja tapi sekarang ada gimnasium untuk perempuan," ujar Cik Zizi, yang turut melakukan senaman 'spin' atau berbasikal berirama.

RANCANG BUKA LAGI 9 CAWANGAN JELANG 2026

Berasal dari Australia, STRONG menawarkan senaman konsep sebegitu dengan mesin 'Rowformer' dan 'Bikeformer' yang sudah dipatenkan.

“”
Sejak dibuka pada Jun tahun ini, ia menyaksikan permintaan di luar jangkaan dan kini sudah mempunyai dua cawangan di Singapura - di kawasan Tanjong Pagar dan Orchard.

"Studio kami di Tanjong Pagar mempunyai lebih ramai karyawan yang datang. Jadi semasa waktu makan tengah hari, waktu rehat, mereka akan turun dan melakukan kelas-kelas. Di Orchard pula, kami melihat lebih ramai golongan pelajar ataupun ibu-ibu yang tidak bekerja jadi mereka mempunyai masa untuk datang ke kawasan bandar," kata Pengurus Operasi Perniagaan, Farwizah Rahman.

“”
Bagi memenuhi permintaan, STRONG juga merancang untuk membuka lagi 9 cawangan menjelang 2026.

Setiap hari, sekitar tujuh sesi kelas senaman dikendalikan untuk sekitar 400 anggotanya.

Menurut Cik Farwizah, seramai 25 peratus dari jumlah itu ialah masyarakat Melayu.

Kelas-kelas juga disesuaikan mengikut tahap kecergasan setiap anggota.

"Selalunya 'pilates' ialah untuk pemulihan jadi ia adalah satu perkara yang kita tidak lakukan kerana ia bergerak pantas di sini tapi kami pastikan yang otot-otot kita semua tumbuh pada kelajuan yang baik. Jadi klien-klien yang masuk mereka akan lihat kemajuan ketara," jelas Cik Farwizah.

“”
Apabila wartawan Syawal Yusoff mencuba sendiri sesi kelas di situ, beliau berjaya membakar sebanyak 556 kalori!

Menurut jurulatih di studio itu juga, seseorang itu akan terus membakar kalori dalam tempoh lapan jam selepas sesi senaman itu.

'VERTICAL CLIMBING' BERI SENAMAN MENYELURUH DALAM 45 MINIT

Bagi yang mahukan pergerakan yang lebih tangkas dan lincah, mereka tertarik kepada senaman memanjat atau 'vertical climbing' yang ditawarkan satu-satunya studio di Singapura iaitu CLMB Studio.

Ia menerapkan Latihan Berjeda Keamatan Tinggi (HIIT), latihan kekuatan dan 'body combat'.

“”
Menurut pengasasnya, beliau tergerak untuk memperkenalkan senaman itu ke Singapura selepas mencubanya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

"Apabila saya didedahkan kepada senaman memanjat, saya amat sukakannya kerana ia sangat sukar dan ketika itu saya sendiri seorang atlit dan saya mendapatinya ia sukar. Saya juga suka bagaimana ia membantu para atlit untuk menyesuaikan tubuh tapi dengan cara yang baik di mana anda tidak memberi impak pada lutut dan sendi kerana ia impak yang rendah," kata pengasas CLMB Studio, Nicholas Jacob Chong, 34 tahun.

“”
CLMB Studio dibuka secara rasmi pada Julai 2022.

Setakat ini, CLMB mempunyai seramai 250 anggota dengan sekitar 90 peratus ialah kaum hawa.

Encik Chong menambah, senaman itu boleh membakar antara 400 hingga 800 kalori setiap sesi 45 minit.

"Anda menggunakan setiap bahagian otot anda, daripada rantai belakang hingga ke bisep, trisep, 'quads, hamstring' dan otot teras juga. Ia adalah senaman badan sepenuhnya. Jadi setiap kali anda bersenam adalah lebih singkat ataupun sama tapi anda membakar (kalori) lebih banyak," tambah Encik Chong.

“”
Terletak di bangunan OUE Downtown Gallery di kawasan CBD, rata-rata pengguna studio itu merupakan para karyawan yang mahu keluarkan peluh sebelum atau selepas waktu kerja.

"Pernafasan saya bertambah baik. Saya rasa tahap kecergasan saya semakin bertambah baik dengan banyak sebenarnya," kata Encik Kai Ong, yang mula menyertai CLMB sejak Jun tahun ini.

“”
Bagi Cik Jovis Ang yang sudah menyertai studio itu sejak ia awal dibuka, beliau menyaksikan perubahan yang ketara kepada dirinya.

"Setiap kali saya datang kembali, saya boleh pergi jauh lagi jadi saya tidak mempunyai banyak masa rehat. Jadi saya lihat peningkatan dari segi stamina dan seluruh fizikal," jelas Cik Ang.

Selepas Singapura, Encik Chong merancang untuk membawa pula jenamanya ke Amerika Syarikat, Taiwan dan Bali.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan