Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Trend minum 'Yerba Maté' di SG, jadi alternatif untuk 'mengeteh dan mengopi'

Banyak tenaga yang dihabiskan Muhammad Fatullah Aminullah apabila bertugas. Fatullah yang kini berusia 29 tahun perlu beraksi sebagai seorang 'stuntman' di Water World, Universal Studio Singapura sehingga 10 kali seminggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Banyak tenaga yang dihabiskan Muhammad Fatullah Aminullah apabila bertugas.

Fatullah yang kini berusia 29 tahun perlu beraksi sebagai seorang 'stuntman' di Water World, Universal Studio Singapura sehingga 10 kali seminggu.

Ini di samping mengimbangi tenaga untuk bersenam untuk mengekalkan stamina dan fizik tubuh badannya.

Oleh itu, amat penting untuk Fatullah mempercepatkan proses pemulihan tubuhnya.

Sebelum ini, beliau bergantung kepada minuman isotonik atau kopi.

Namun kini, minuman 'Yerba Maté' menjadi pilihannya kerana ia mengandungi bahan anti-radang.

"Minum air Maté ini kita boleh dapat tenaga, tidak rasa terlalu penat. Di tempat kerja, kita banyak buat 'stunt', gerakan yang sangat fizikal, Kalau sentiasa hendak cergas, kita selalunya ambil produk suplemen saja, tetapi sekarang saya gantikan dengan Maté," jelas Fatullah, ayah kepada seorang anak.

APA ITU YERBA MATÉ?

Menurut laporan dan kajian, Yerba Mate mengandungi beberapa manfaat kesihatan lain.

Ia antara lain kaya dengan antioksidan yang mampu untuk mengurangkan risiko penyakit tertentu.

Ia berasal daripada daun 'Yerba' yang tumbuh khususnya di negara-negara Amerika Selatan dan menjadi minuman harian masyarakat di sana.

Apa yang menarik tentang minuman itu adalah cara menyediakan mahupun meminumnya.

Seperti minuman 'matcha' dari Jepun, tatacara menyediakannya juga menjadi ikutan.

Untuk menyediakan Maté, ia memerlukan perkakas khas termasuk Bombilla iaitu straw khusus untuk Yerba Mate, cawan serta air yang tepat pada suhunya iaitu 75 darjah Celcius. Kalau air terlalu panas, ia boleh membakar dedaun Yerba dan membuat air rasa terlalu pahit.

KOMUNITI PENGGEMAR MATÉ BERKEMBANG DI SG

Minuman ini mula mendapat perhatian ramai setelah atlet terkenal seperti Lionel Messi, Neymar dan Gisele Bundchen sering dilihat meminum Maté.

Budaya meminum Maté di Singapura juga semakin berkembang sehingga terbentuk sebuah komuniti.

Mereka menggelarkan diri mereka sebagai 'Matero'.

Seperti 'mengeteh', para Matero akan berkumpul untuk nikmati minuman ini bersama-sama.

"Apa yang menarik bila kita berjumpa adalah kita akan berkongsi campuran (daun Yerba) baharu, ada yang tak suka rasa pahit, mereka boleh rasa yang perisa lebih berbuah," kata salah seorang penggemar minuman itu, Muhammad Shahir Sulaiman yang juga seorang Matero.

"Cara minum pun ada budayanya, kita buat secawan, sedua dan berkongsi antara satu sama lain," kongsi seorang lagi Matero, Najib Ishak.

Bagi mereka, Yerba Maté boleh dilihat sebagai alternatif kepada teh atau kopi.

Ia juga lebih mesra alam kerana antara cara penanamannya adalah menerusi sistem 'agroforestry'.

Kaedah itu mampu mengurangkan hakisan tanah serta penggunaan bahan pengawet.

Minuman alternatif bagi kopi ini juga dianggap sebagai antara huraian kepada kekurangan biji-biji kopi dek perubahan iklim yang mengancam penghasilannya.

Pengarah Kopi di Dutch Colony Coffee Co, Encik Suhaimie Sukiman berkata: "Pengeluaran kualiti biji kopi pun semakin menurun. Dengan cuaca tidak menentu, akan ada karat pada biji kopi. Di Brazil misalnya, ada terlalu banyak hujan pula, bila kopi tidak berbunga, sukar untuk menghasilkan biji-biji kopi."
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
BAWA PELUANG PERNIAGAAN

Trend ini juga membuka peluang perniagaan bagi penggemar minuman ini, Hans Hamid dan rakannya, Najib Ishak.

Mereka membuka perniagaan 'Matégang' pada 2022.

Selain menjual semua keperluan membuat Yerba Maté, mereka juga membimbing para pemula minuman itu.

"Memang di Singapura, kita sebelum ini pernah melihat ada juga yang minum Maté. Kita tanya "Ini yang pemain bola sepak minum kan?". Kita fikir di Singapura, masyarakat bola sepak juga besar dan kita lihat ramai daripada mereka yang minum Maté," jelas Pengasas Bersama Matégang, Hans Hamid.

"Kita perlu tahu apa yang sesuai untuk kita. Kadang mereka lihat oh Messi minum Yerba Mate, aku pun nak cuba tetapi apa yang mereka minum, mungkin tidak sesuai untuk badan mereka. Jadi kita di Matégang juga berikan nasihat kepada mereka, cara-cara membuat Maté misalnya," tambahnya.

Sambutan daripada masyarakat Melayu juga menggalakkan dan semakin ramai yang ingin tahu tentang minuman ini.

"Gerai kita pertama, kita bawa sebanyak lebih 100 produk temasuk dedaun Yerba, cawan, dan Bombilla. Semua habis terjual. Kalau di Singapura, ramai sudah tahu sebenarnya. Yang datang ke gerai kita pun, mereka yang muda, aktif bersukan tetapi ada juga yang bekerja di pejabat, ada pula doktor," jelas Hans.

Buat masa ini, mereka menjual dan mempromosikan produk mereka menerusi media sosial sahaja.

Memandang ke hadapan, Matégang juga merancang untuk membuka lebih banyak kedai 'pop-up' untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat terhadap Maté.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan