Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Trend kafe 'specialty' dan 'kopitiam' warnai budaya kopi S'pura

Budaya meminum kopi atau 'mengopi', sudah wujud di Singapura seawal 1920-an lagi. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Budaya meminum kopi atau 'mengopi', sudah wujud di Singapura seawal 1920-an lagi.

Dengan globalisasi dan pendedahan kepada budaya luar, bukan sahaja jenis kopi yang diminum di sini kian pelbagai, budayanya juga menjalani satu evolusi tersendiri.

Kalau dahulu ia diminum di warung-warung atau rumah sendiri sahaja, kini seseorang boleh menikmatinya di atas sofa empuk dalam kafe berhawa dingin - dengan kopi 'specialty' yang dijual pada harga yang berlipat kali ganda.

Sempena sambutan Hari Kopi Antarabangsa pada 1 Oktober, kita susuri sejarah dan budaya kopi di Singapura yang tidak kurang menariknya.

12 JUTA KILOGRAM KOPI DIGUNAKAN SETAKAT INI

Menurut Persatuan Kopi Singapura (SCA), dalam sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 12 juta kilogram kopi sudahpun digunakan untuk menyediakan minuman kegemaran rakyat Singapura itu.

Beratnya itu bersamaan dengan 1,000 buah bas!

Jadi, apakah keistimewaannya sehingga ia menjadi satu budaya di Singapura?

BUDAYA KAFE & 'KOPITIAM'

'Budaya kopi' itu merujuk kepada gaya hidup atau tabiat minum kopi, termasuk menjadikannya suatu aktiviti sosial dan bukan sekadar menghilangkan rasa haus di tekak.

Kedai kopi 'Ya Kun Kaya Toast' misalnya antara yang terdahulu dengan sejarah hampir 100 tahun dan mempunyai 70 cawangan di sini.

NANYANG OLD COFFEE LESTARIKAN BUDAYA & SEJARAH KOPI TEMPATAN

Antara perniagaan kopi yang masih lagi menyediakan kopi tradisional termasuk 'Nanyang Old Coffee' yang bermula sebagai kilang memanggang dan menghasilkan serbuk kopi pada 1973.

"Kami sebenarnya mahu berhubung langsung dengan para pelanggan untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada mereka jadi kami mengasaskan Nanyang Old Coffee pada 2007," kata pengasasnya, Encik Lim Eng Lam.

Menurut Encik Lim, nenek moyang dipercayai belajar cara-cara penyediaan kopi tradisional semasa jajahan British.

"Mereka bekerja di dapur dan di situlah sebenarnya di mana mereka pelajari tentang kopi dan menghasilkan kopi tradisional kita sendiri," tambahnya.

Dari situ, rasa kopi itu juga diubah suai mengikut citra rasa tempatan. Di Nanyang Old Coffee misalnya, tradisi pemanggangan kopi dikekalkan mengikut tradisi turun temurun.

"Keistimewaan kopi kami ialah biji-biji kopi kami perlu diselaputi dengan lapisan gula dan ia perlu dibancuh dengan tangan dan kemudian kami menambahkan susu pekat, susu sejat atau gula bergantung kepada cita rasa setiap individu," jelas Encik Lim.

KOPI YANG DITARIK, LEBIH MENARIK

Lazimnya, kopi tradisional berasa lebih pahit dan kuat rasanya.

Ditanya mengapa ia perlu dilakukan, ini jawapan Encik Lim: "Apabila kopi dan udara bersatu, ia menjadikan kopi lebih halus dan meningkatkan rasa kopi tersebut."

Dibuka sekitar 2019, ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran tentang kehebatan kopi tempatan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Di samping itu, Nanyang Old Coffee juga sudah menerima pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Malah ia juga pernah diiktiraf oleh akhbar antarabangsa Financial Times sebagai antara tempat terbaik untuk membeli kopi di Singapura pada 2017.

"Kopi kami sebenarnya digemari oleh ramai pengunjung dari luar negara, pelancong dan meskipun kami belum meluaskan perniagaan ke luar negara, kami mempunyai banyak permintaan daripada mereka untuk membawa pulang ke negara mereka," kongsi Encik Lim.

Lebih dari sekadar minuman sahaja, Encik Lim percaya kopi tradisional adalah lambang yang terbaik mencerminkan kepelbagaian dan keunikan Singapura.

Beliau turut berkongsi bahawa jenis kopi tradisional yang digemarinya adalah 'Kopi O Kosong' kerana rasa kopi dapat dinikmati dengan secukupnya memandangkan tidak ditambah gula.

KAFE 'SPECIALTY' BERTAPAK SEJAK LEWAT 70-AN; DUTCH COLONY TERUSKAN LEGASI

Sekitar 40 tahun lalu pula, budaya kafe 'specialty' mula bertapak di Singapura dan kini antara rangkaian kafe terbesar di sini adalah Starbucks dengan lebih 130 cawangan.

Bahkan, trend ini kekal rancak dengan kafe-kafe baru dibuka bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sekitar 15 hingga 20 kafe baru dibuka khususnya di kawasan-kawasan luar bandar.

"Kopi 'specialty' ini bermula daripada mutu biji kopi itu. Jadi dari mutu yang terbaik, selalunya kopi-kopi itu ditanam di daerah pergunungan yang tinggi. Kopi 'specialty' juga selalunya tidak mempunyai kerosakan yang banyak, tahap kafein juga sangat rendah, jadi kepahitan pada kopi itu pun tak begitu tinggi," kata Pemilik Bersama, Dutch Colony, Encik Suhaimi Sukiman.

Sejak dibuka pada 2013, Dutch Colony kini sudah berkembang kepada lima cawangan dan menjual sekitar 250,000 cawan kopi setahun.

Bergantung kepada jenisnya, harga kopi boleh mencecah ratusan dolar bagi setiap kilogram. Menurut Encik Suhaimi, spesis kopi yang termahal di dunia ialah jenis 'Geisha' yang boleh mencecah sehingga S$300 untuk setiap kilogram.

"Spesis 'Geisha' ini akan memberikan kemanisan buah seperti strawberi, 'blueberry' dan wangian-wangian bunga seperti melati dan mawar. Spesis 'Geisha' ini juga tidak boleh didapatkan di banyak negeri atau benua. Jadi pada masa sekarang ini, cuma boleh didapatkan atau dapat ditanam di negara-negara seperti Habsyah, Columbia dan Panama," kata Encik Suhaimi yang pernah membayar sehingga S$250 bagi kopi spesis 'Sidra' untuk sebuah acara Dutch Colony.

Dutch Colony memanggang sehingga 600 kilogram biji kopi yang berasal dari benua Amerika Latin dan Afrika tiga kali seminggu untuk dijual kepada sekitar 60 restoran, kafe serta umum.

Menariknya juga, mesin pemanggang yang digunakan Dutch Colony lebih mesra alam. Ia menggunakan tenaga 80 peratus tenaga lebih rendah berbanding mesin biasa dan ini juga dapat menjimatkan kos.

"Selalunya, kami memanggang berdasarkan permintaan jadi sekiranya ada pesanan daripada kedai-kedai atau akaun-akaun kami, akaun borong kami, kopi-kopi akan dipanggang hari ini dan dihantar keesokan harinya.

"Jadi kami tidak mengamalkan tarikh luput pada kopi-kopi kami. Apa yang kami letakkan adalah tarik kopi dipanggang dan selalunya kami menasihatkan pelanggan-pelanggan kami supaya menggunakan kopi dalam satu bulan," kata Encik Suhaimi.

Dutch Colony menyediakan sebanyak 22 jenis kopi yang boleh dibeli. Ia boleh dibeli dalam pek-pek seberat 250 gram dan 1 kilogram yang dapat menghasilkan sekitar 50 hingga 60 cawan kopi.

Namun, sebelum biji-biji kopi dapat dibungkus untuk diedarkan, terdapat satu proses paling penting yang perlu dilaksanakan.

Dengan sijil halal bagi produknya, kopi Dutch Colony turut dipasarkan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Qatar dan juga Dubai.

SENI LATTE SEBAGAI PEMBUKA SELERA

Menurut Encik Suhaimi, kini timbul satu lagi ciri penting budaya kopi 'specialty' iaitu seni latte.

Seni latte ialah hiasan di permukaan kopi yang dihasilkan dengan mencampurkan susu ke dalam kopi. Antara corak-corak popular yang dapat dihasilkan adalah hati dan angsa.

"Apabila seseorang memesan kopi, perkara pertama yang mereka harapkan lazimnya adalah seni latte, seterusnya rasa," kata pelatih barista di Dutch Colony, Encik Khairullah Anuar.

Ditanya bagaimana untuk merasakan kenikmatan secawan kopi, ini pendapat Encik Suhaimi: "Rasa ini subjektif. Ia berbalik pada si peminumnya. Kalau secawan kopi yang apabila diminum membuatkan anda rasa senang hati, itulah cawan kopi yang terbaik."

MASA DEPAN CERAH INDUSTRI KOPI S'PURA

Sempena sambutan Hari Kopi Antarabangsa, acara Minggu Kopi Singapura 2021 juga diadakan.

Selain membeli-belah, para peminat kopi juga boleh mengikuti demonstrasi kopi oleh pemain industri kopi ternama.

Industri kopi Singapura dijangka terus berkembang dengan lebih pesat lagi apabila Institut Kopi ASEAN ditubuhkan di sini hujung tahun ini. Antara lain, ia akan menyediakan latihan serta memberi pentauliahan kepada para barista di rantau ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan