Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Tradisi Aidilfitri untuk Masyarakat Muslim India di SG ada keunikannya sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Tradisi Aidilfitri untuk Masyarakat Muslim India di SG ada keunikannya sendiri

Tradisi Aidilfitri untuk Masyarakat Muslim India di Singapura ada keunikannya sendiri. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Sudah menjadi rutin setiap Syawal bagi Encik Ferose Meera Fasal Mohamed dan anak-anaknya untuk menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Moulana Mohamed Ali.

Ini meskipun beliau perlu keluar awal dari rumahnya di Sengkang untuk ke masjid di kawasan pusat bandar itu.

Selain khutbah yang disampaikan dalam bahasa Inggeris, ia juga menjadi pilihannya kerana ia merupakan tempat berkumpul keluarga dan kawan-kawannya pada pagi Raya.

Paling kiri: Encik Meera, bersama anaknya, Ahnaaf.

"Rakan-rakan saya dan saudara saya selalu ke sana. Kita sudah solat di sini lebih 15 tahun. Jadi kita berkumpul di sana dengan persekitaran yang selesa untuk setiap Solat Hari Raya.

"Rakan-rakan saya dan saudara saya selalu (ke sana). Kita sudah solat di sini lebih 15 tahun. Jadi kita berkumpul di sana dengan persekitaran yang selesa untuk setiap Solat Hari Raya," kongsi Encik Meera kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Bagi keluarga Muslim India seperti keluarga Encik Meera, tradisi sambutan Hari Raya mereka tidak jauh berbeza dengan masyarakat Melayu.

TRADISI BERMAAF-MAAFAN, LAGU RAYA DALAM BAHASA TAMIL

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ia termasuk tradisi bermaaf-maafan di pagi Raya.

Bezanya hanyalah bahasa.

"Kita akan pulang ke rumah (dari masjid) dan saya akan berjumpa ibu saya. Kemudian saya akan memberikan salam kepada kedua-dua ibu bapa saya dan meminta pengampunan daripada mereka dan bapa saya akan memberikan saya duit Raya," kongsi anaknya, Mohammed Ahnaaf Kahdar, 19 tahun.

Untuk meriahkan lagi sambutan Aidilfitri, mereka juga ada lagu 'Raya' dalam bahasa Tamil.

Ia termasuk lagu-lagu tentang meraikan Hari Raya dalam harmoni serta lagu-lagu berunsur keagamaan.

"Saya membesar mendengar lagu-lagu Nagore Hanifa tetapi generasi muda lebih tertarik kepada Maher Zain dan Sami Yusuf," kongsi isteri Encik Meera, Cik Dheenul Meera.

DHOTI, SHERWANI UNTUK LELAKI, SARI, KURTI & PUNJABI SUIT DENGAN SELENDANG UNTUK WANITA

Cik Dheenul menggayakan sari dengan selendang. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Busana Hari Raya masyarakat itu juga unik dengan pengaruh dua budaya.

"Untuk lelaki, ia selalunya Dhoti dengan baju, atau Sherwani. Kadang kala kita juga memakai baju Melayu. Untuk wanita, kita akan memakai Sari dengan selendang dan untuk budak perempuan, mereka akan memakai Kurti dan Punjabi Suit dengan selendang," jelas Cik Dheenul.

Encik Meera menggayakan sherwani. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Menurut Encik Meera pula, mereka akan mendapatkan busana-busana tersebut di Geylang Serai atau di Mustafa Centre.

Selain itu, antara keistimewaan sambutan Raya bagi masyarakat itu ialah makanan yang disajikan.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, ketupat dan rendang lazimnya menjadi antara hidangan wajib untuk Hari Raya.

Namun, untuk masyarakat Muslim India, ia agak berbeza sedikit.

NASI BERIANI DINIKMATI UNTUK HARI RAYA

Untuk keluarga Cik Dheenul, hidangan seperti Sheer Kurma, Roti Jala, dan Vatlapam iaitu sejenis kastard telur, antara yang disajikan bagi sarapan pagi pada 1 Syawal.

Bagi makan tengah hari pula, nasi beriani dengan kari kambing dihidangkan.

Menurut Cik Dheenul, golongan lelaki selalunya akan makan sarapan pagi yang ringan sebelum ke masjid seperti kurma, biskut dan segelas susu.

Sajian sarapan pagi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Apabila mereka kembali dari masjid, mereka akan sambung pula sarapan itu dengan roti jala dan Sheer Kurma misalnya.

"Ia selalunya sangat ringan dan kita akan membuatnya dalam sajian yang kecil dengan kepelbagaian hidangan untuk mereka nikmati. Bagi makan tengah hari pula, ia semestinya makanan yang lebih berat," ujar Cik Dheenul.

SIKAP KEBERSAMAAN TERSERLAH

Paling kiri: Cik Sheena bersama Cik Dheenul. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Sikap kebersamaan juga terserlah dengan kehadiran tetamu berlainan agama bagi sama-sama menikmati suasana lebaran.

Setiap tahun, Cik Dheenul akan menjemput rakan sekolahnya, Cik Sheena Sutherson yang beragama Kristian, untuk menikmati kemeriahan lebaran.

"Ia sangat inklusif. Anda akan lihat orang ramai dijemput ke rumah mereka. Saya sudah ke rumah rakan saya untuk Hari Raya sejak berusia 15 tahun lagi. Sudah lebih 20 tahun saya dapat menikmati perayaan ini," kongsi Cik Sheena.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut Cik Sheena lagi, beliau amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada sambutan lebaran di Singapura yang unik itu.

"Oleh kerana saya sudah membesar di sampingnya dan sudah melihat pelbagai detik penting dalam keluarganya, sambutan Hari Raya ini sangat istimewa. Ini lebih-lebih lagi kerana saya sudah melihatnya membesar dan sentiasa disambut baik di rumahnya," ujar Cik Sheena.

"Saya mula sedar bahawa bulan (Ramadan) ini khususnya sangat penting untuk mereka dan saya beruntung dapat menjadi sebahagian daripadanya, bukan sahaja untuk menikmati kemeriahannya, malah apa yang mereka suka tentang budaya mereka," tambahnya.

HARGAI KEPELBAGAIAN DALAM PERBEZAAN BUDAYA MENYAMBUT AIDILFITRI

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi keluarga Encik Meera, perbezaan dari segi budaya dalam menyambut Aidilfitri di sini bahkan membuatkan mereka lebih menghargai kepelbagaian.

Kata Ahnaaf, untuk masyarakat Muslim India, keluarga kecil seperti mereka selalunya hanya beraya pada 1 Syawal sahaja dan ini agak berbeza berbanding masyarakat Melayu yang beraya sehingga sebulan.

"Setiap kali kita ada perhimpunan Hari Raya, rakan Melayu saya akan menjemput saya untuk Raya selepas dua, tiga minggu dan saya akan tertanya-tanya 'Bukankah Raya sudah berakhir?" Kemudian, saya mula faham apabila saya sedang membesar bahawa ia hanya perbezaan budaya," ujar Ahnaaf.

"Inilah Singapura, masyarakat yang berbilang budaya di mana semua berbeza tetapi apa yang kita boleh lakukan ialah pelajari budaya daripada satu sama lain, menerima perbezaan ini dan hidup dengan harmoni," tambahnya.

"Selalunya di tempat kerja saya, saya akan menerima soalan (dan ucapan) semasa Deepavali seperti 'Happy Deepavali' dan saya akan memberitahu mereka bahawa sebenarnya kita menyambut Hari Raya," kongsi Cik Dheenul pula.

"Budaya kita sangat istimewa kerana kita India dari segi kaum tetapi Islam dari segi agama, perbezaannya tidak banyak, hanya perbezaan budaya," tambahnya.

AMALKAN TRADISI KUNJUNG-MENGUNJUNG PADA HARI RAYA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Selain menerima tetamu, mereka juga mengamalkan tradisi kunjung-mengunjung pada Hari Raya.

Selain menikmati sajian beriani yang dihidangkan, ia juga masanya untuk mengeratkan lagi silaturahim antara sanak saudara dan rakan taulan.

Ayah Encik Habeebur. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Duit Raya juga tidak lupa diberikan kepada kanak-kanak.

"Ibu bapa saya tinggal bersama saya dan mereka yang paling tua dalam keluarga tambahan kami. Jadi kami tidak akan keluar dan semua saudara kita akan mengunjungi kita. Jadi, sebahagian besar ialah melayan tetamu, sanak-saudara dan berbual. Itu kebiasaan Hari Raya kita," kongsi tuan rumah tersebut, Encik Habeebur Rahman.

"Kita sudah lakukannya sekitar 10 hingga 15 tahun. Itu kebiasaan Aidilfitri di rumah kita jadi paling banyak, kita akan ada 40 hingga 45 orang tetamu di rumah," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Antara tetamunya juga termasuk mereka beragama lain seperti Encik Daryl Moh.

"Yang menarik ialah ada ramai orang berkumpul di sini dan persekitarannya sangat meriah, dan ia mengembalikan kita kepada zaman di kampung," ujar Encik Moh.

"Salah satu perkara yang saya pelajari dalam budaya mereka ialah golongan lelaki makan dahulu dan selepas mereka sudah habis, golongan wanita pula akan makan bersama. Ini salah satu perkara yang sangat menarik kerana saya tidak lihatnya dalam budaya-budaya lain pula," tambahnya.

Sama tapi tidak serupa, budaya sambutan Syawal bagi keluarga Muslim India di Singapura ini tetap menerapkan nilai-nilai dan semangat Aidilfitri - merapatkan hubungan keluarga, raikan kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan