Skip to main content

Singapura

BERITA+: Teruja sambut tahun baharu di rumah baharu dalam estet perumahan Tengah yang baharu!

Anggaran Waktu Membaca:
 BERITA+: Teruja sambut tahun baharu di rumah baharu dalam estet perumahan Tengah yang baharu!

Encik Muhammad Syafiq Shaharudin (kanan) sibuk membuat persiapan akhir untuk berpindah Ihsan: Muhammad Syafiq Shaharudin

SINGAPURA: Pembinaan flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan prasarana di estet perumahan baharu Tengah sedang rancak dijalankan.

Wartawan Rosli A Razak meninjau keadaan di sekitar estet perumahan itu yang sudah mula menerima penghuni.

Beliau sempat ke rumah seorang pemilik flat BTO kali pertama yang teruja untuk memulakan kehidupan baharu bersama orang tersayang dan membina keluarga di sana.

TAHUN BAHARU DI RUMAH BAHARU

Apabila dibangunkan sepenuhnya nanti bandar HDB yang ke-24 itu akan menempatkan sekitar 42,000 rumah baharu di tanah seluas 700 hektar.

Kawasan perumahan di Tengah dibahagikan kepada lima daerah, masing-masing mempunyai perwatakan yang unik - Plantation, Garden, Park, Brickland dan Forest Hill.

Daerah Plantation yang pertama didirikan.

Sejak Ogos lalu, para penduduk bagi tiga projek pertama - Plantation Acres dan Plantation Village dan Plantation Grange sudah mendapat kunci mereka.

Kumpulan terbaharu menerima kunci dari HDB pada Jumaat (29 Dis).

Sebilangan penduduk sudah berpindah atau sedang dalam proses untuk berpindah.

Antaranya ialah pasangan muda Encik Muhammad Syafiq Shaharudin dan isterinya Cik Syazwani Syawal.

Related article image
(Ihsan: Muhammad Syafiq Shaharudin)
Menurut Encik Syafiq, beliau dan isteri tertarik dengan ciri-ciri Tengah yang direka dengan ciri-ciri mampan dan mesra alam, mampan dan mesra alam.

"Selain daripada yang ciri-ciri mampan dan hijau itu, lagi satu faktor yang menarik perhatian saya adalah estet yang baharu. Saya ingin dekat dengan keluarga saya dan juga keluarga pihak isteri saya juga," kata beliau kepada wartawan Rosli A Razak.

Harga permulaan untuk flat di Tengah dalam pelancaran Oktober 2023 bermula dari sekitar S$114,000 untuk unit Flexi dua bilik dan bermula daripada $460,000 bagi flat lima bilik.

Encik Syafiq dan isteri menempah flat empat bilik mereka di bawah Skim Tunang pada 2019 pada harga S$330,000 dalam percubaan kedua.

Disebabkan COVID-19, kerja-kerja binaan tergendala dan mereka perlu menunggu lebih lama.

"Saya buat keputusan dengan isteri saya kami tangguh sedikit pernikahan kami kerana saya tidak mahu apabila bila kita sudah bernikah, sudah berumahtangga tetapi rumah masih belum siap," kata beliau.

Pasangan ini bernikah pada Jun tahun ini dan mendapat kunci dari HDB sebulan kemudian pada Ogos.

"Pada mulanya, saya memberitahu isteri kawasan di sini,masih naik lagi. Tunggu jiran-jiran pindah, sudah ramai sedikit baharu kita pindah. Tetapi, beliau pujuk saya. Baiklah, kami pindah perlahan-perlahan," dedah beliau.

PRASARANA MASIH DIBINA

Memandang Tengah sebuah bandar baharu, kemudahan dan prasarananya masih lagi dalam pembinaan.

Ini termasuk sebuah pusat pertukaran bas di Tengah Boulevard, stesen MRT Tengah serta sebuah pusat masyarakat.

Pusat Kejiranan Plantation Plaza yang akan mempunyai pasar raya, kedai makanan dan klinik dijangka dibuka secara progresif mulai suku kedua 2024.

Maka itu beberapa langkah sementara dilaksanakan bagi kemudahan penduduk.

Buat sementara waktu ini, para penduduk estet Tengah boleh membeli barangan makanan dan keperluan harian mereka dari trak runcit NTUC Fairprice.

Juga di sediakan lima mesin layan diri di blok berhampiran.

Dua khidmat bas pula menghubungkan penduduk kepada hab pengangkutan serta prasarana utama di Bukit Batok dan Jurong East.

Ia tidak membimbangkan Encik Syafiq.

"Kami tetap boleh keluar pergi ke daerah Jurong untuk beli-belah. Atau kita cari makanan, kami tetap boleh pergi ke estet Bukit Batok atau ke Chua Chu Kang yang berdekatan," kata beliau.

MULA KEHIDUPAN BAHARU

Encik Syafiq tidak sabar untuk membina kehidupan baharu bersama isteri tersayang.

"Saya dan isteri sudah lama ingin rumah sendiri. Rasa gembira itu tentu sekali. Rumah pun dapat, perkahwinan pun sudah selesai, ^saya rasa perlahan-perlahan kita "settle" rumah. Mungkin perancangan keluarga itu insyaAllah dalam jangka masa dekat.

Mereka akan berpindah ke flat baharu mereka hujung minggu depan.
Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita