BERITA+: Tarian tradisional Melayu lambang tatatertib, budi bahasa, kreativiti dan kearifan Melayu
SINGAPURA: Dua hujung minggu lalu, Persada, Wisma Geylang Serai berubah wajah menjadi medan Joget Lambak - kegiatan yang mengembalikan nostalgia bagi "orang lama", dan menjadi penerokaan budaya baharu bagi golongan muda.
Acara itu bukan sahaja menghidupkan kembali nostalgia bagi generasi lama, tetapi juga mengajak golongan muda untuk memahami evolusi tarian Melayu.
JOGET GUMBIRA DAN JOZA FEST ANTARA WADAH LUAHAN KREATIF PENARI
Setiap tarian menonjolkan keindahan pergerakan yang harmonis sambil menyampaikan mesej yang mendalam.
Tarian tradisional Melayu, misalnya, memainkan peranan penting dalam memupuk kecintaan terhadap warisan budaya.
Tarian ini terbahagi kepada beberapa kategori, termasuk Tarian Istana, Dramatari, Tarian Moden, dan Tarian Rakyat.
Dengan mengadaptasi elemen daripada budaya lain, tarian Melayu melestarikan nilai kearifan tempatan dan mencipta bentuk seni yang unik dan menarik.
Sebagai contoh, tarian Langgang Branyo, yang asalnya merupakan tarian Portugis diperkenalkan di Melaka sejak 1511.
Ia telah diadaptasi ke dalam budaya Melayu dan berkembang menjadi tarian Joget.
"Kalau ikutkan sejarah, ia memang dari Portugal dan dibawa oleh orang-orang Portugis sewaktu menakluki Melaka. Jadi budaya Portugis itu agak lain sedikit. Rentaknya juga agak lain. Tetapi dengan kebijaksanaan seorang pereka tari dari Sumatera yang bernama Pak Sayuti, dia telah mengubah bentuk tari joget yang dari Portugis itu untuk menjadi satu tarian tradisional, Joget, yang dimiliki oleh orang Melayu. Dia melayukan.
"Tarian Portugis itu dengan rentaknya di Melayukan sekali, jadi boleh guna sebagai satu langkah pembaharuan dan juga penggabungan dalam tarian. Sebab orang Melayu kita ini dia boleh menerima pengaruh luar. Mudah menerima, mudah mengadaptasi dan mudah menyesuaikan budaya luar," ujar pereka tari veteran, Mohamed Na'aim Pani kepada wartawan Roslinda Rahmat.
TARIAN MELAYU BERUNSUR KACUKAN, ANTARA LAMBANG KEARIFAN MELAYU
Acara 'Joget Gumbira' di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 24 Ogos menggabungkan tarian Ronggeng dan Joget.
Ia menyatukan lebih 300 hadirin dalam meraikan kepelbagaian budaya Melayu, dengan membangkitkan nostalgia era 50-an dan 60-an, sambil menarik minat golongan muda.
"Tarian Melayu ini tidak seperti tarian lain-lain. Ia tersendiri. Unik. Kita lemah lembut, sopan santun. Ini penting. Dalam tarian, kita ada tatatertib, kita ada adat Melayu. Kita tidak boleh melangkah di hadapan orang tua. Semua itu ada di dalam tarian. Jadi kalau benda ini dapat terapkan di dalam tarian mulai dari peringkat sekolah, bukan untuk menari, tetapi usahakan agar mereka mengerti apa yang kita lakukan. Bukan setakat menari sahaja. Jadi kita mesti halusi apakah tujuan tangan dia bergerak, apakah tujuan dia melirik atau pandang kanan, pandang atas dan sebagainya? Ini kerana setiap pergerakan tarian itu bermakna. Kerana, tari itu tidak ada bahasa.
Bukan macam sajak, drama atau pantun. Kita boleh belajar bahasa, tetapi tarian menggunakan proses pergerakan dari atas hingga ke bawah. Kepala, tangan, kaki, badan sampai ke tumit. Semuanya bergerak. Jadi koordinasi itu mustahak. Saya rasa inilah yang patut kita terapkan pada generasi sekarang - nilai-nilai orang Melayu yang lebih bersifat sopan santun, lemah lembut. Walaupun lembut, tetapi tidak lemah!" kongsi Encik Na'aim kepada wartawan Roslinda Rahmat.
TARIAN TRADISIONAL MELAYU SIMBOL BUDI BAHASA DAN TATATERTIB MELAYU
Contoh lain ialah penggabungan tarian Latin seperti Samba, Rumba, Waltz, dan Cha Cha ke dalam tarian Melayu semasa era kegemilangan hiburan Malaya.
Ini menggambarkan evolusi dan kreativiti seniman Melayu dalam mengadaptasi dan memperkaya tarian asal, mencipta suatu bentuk tarian yang unik dan memikat.
"Waktu dahulu, budaya Melayu tidak membenarkan lelaki dan perempuan menari bersama. Mesti menari berasingan. Tarian Inang semuanya perempuan. Asli kebanyakannya perempuan dan Zapin – lelaki. Dahulu lain. Anak-anak perempuan tidak dibenarkan menari sebab bagi mereka kalau menari itu negatif.
"Tetapi kelebihan, kebijaksanaan Pak Sayuti – dia mengubah semua rentak Latin, dia masukkan rentak joget, masukkan ragam-ragam yang dipanggil Serampang 12, merangkumkan semua bentuk-bentuk tarian Barat, untuk menjadikan tarian Melayu. Di situlah pertama kali adanya pasangan dalam tarian Melayu. Tetapi masih tetap ada syarat dan peraturan tarian Melayu - tidak boleh bersentuhan, tidak boleh menghadap langsung. Jadi kita hanya melirik, hanya jeling sana, jeling situ sahaja. Jadi tatatertib dan adab budaya, dijaga," jelas Encik Na'aim.
LAMBANG PERKONGSIAN BUDAYA, PAPARAN KREATIVITI NUSANTARA
Pesta yang diberi nama 'JoZa Fest' pada 31 Ogos di WGS pula meraikan kekayaan dan kepelbagaian tarian serta lagu tradisional Melayu, dengan menggabungkan tarian Joget dan Zapin.
Seperti 'Joget Gumbira', festival JoZa juga menghimpunkan aktivis tari tradisional dari rantau ini, demi menggalakkan perpaduan melalui kepelbagaian interpretasi tari.
"Sangat bermanfaat. Yang pasti kita boleh menjalin silaturahim menerusi pertukaran budaya. Dan saya berharap nanti Singapura dan Malaysia, seperti biasa pada tahun-tahun lalu, juga ke Karimun, Indonesia," luah Penata Tari dan Pengasas, Sanggar Seni dan Pelangi Budaya Studio, Karimun, Riau, Indonesia, Ahadian Zulseptriadi.
"Ini yang terbaik kerana kami diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa dan berpeluang berkolaborasi dengan negara-negara yang sama-sama berkampung di Singapura ini untuk menyantuni budaya yang satu, iaitu tarian zapin dan joget," ujar Mohd Nor Fatih Mohtar, Ketua rombongan, Sanggar Budaya Sri Pengkalan Production yang dilahirkan di Johor namun kini berpangkalan di Kuala Lumpur.
Apabila tiga negara serumpun digabungkan, keunikan masing-masing dan persamaan antara mereka terserlah.
"Kita ambil dari salah satu Joget Dangkong yang berada di Moro. Memang tradisi yang terkenal di Karimun iaitu Joget Dangkong. Kalau busananya kita kombinasi - dari pakaian joget, kebaya sama pakaian zapin sendiri," kongsi Encik Ahadian.
Manakala wakil Malaysia, Encik Fatih menonjolkan tarian zapin yang telah diolah dari segi ketangkasannya. "Keragaman, keaslian itu kita masih lagi menggunakan asas-asas tradisi. Cuma yang tidak sama dengan negara lain adalah dari segi ragam-ragam tarian zapin yang ada yang kita tidak keluarkan lagi. Dan ciri-ciri khas itu seperti mana kebiasaannya orang tahu zapin itu hanya ada zapin Johor sahaja. Tetapi tidak. Di Malaysia kita juga ada zapin Sabah, zapin Sarawak, zapin Brunei. Jadi ragam itu sendiri kita kupas dan kita kumpulkan untuk membuat satu persembahan yang menarik. Dengan elemen muzik yang pantas, yang modern. Tetapi akarnya tetap tradisi.
"Apa yang kami tonjolkan dari segi busana zapin pada kali ini adalah dari segi warna. Kemeriahan warna itu sendiri, ketertiban, kesopanan baju Melayu itu sendiri. Berbeza dengan joget. Cuma kali ini kita bersongkok. Cuma zapin itu kita guna bertanjak dan rata-ratanya, kebiasaan nya permainan warna dan keseragaman kolaborasi warna itu sendiri yang dapat membezakan antara zapin dengan joget daripada Malaysia."
ACARA TARIAN MELAYU MELESTARIKAN KHAZANAH INDAH YANG TIDAK TERNILAI
Tarian Melayu yang berunsur kacukan jelas memaparkan kearifan budaya bangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.