Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Tahukah anda nama-nama 8 jenis oren popular semasa Tahun Baru Cina? Ini dia...

Terdapat sekurang-kurangnya lapan jenis buah oren yang lazimnya dijual semasa musim Tahun Baru Cina. Ini mungkin sesuatu budaya oren yang ramai orang Melayu kurang tahu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda, terdapat sekurang-kurangnya lapan jenis buah oren yang lazimnya dijual semasa musim Tahun Baru Cina. Ini mungkin sesuatu budaya oren yang ramai orang Melayu kurang tahu.

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang Selasa ini (1 Feb), ayuh kita cuba kenali pelbagai jenis buah oren dan perlambangannya dalam budaya Cina.

YANG MANA POPULAR?

Ada oren jenis Lukan dan Swatow dari China, Ponkan dari Taiwan, oren Kinnow dari Pakistan, Red Hyang dan Hallabong dari Korea, Mikan dari Jepun serta oren kacukan yang diberi nama Red Beauty.

Pengasas syarikat Avo & Co., Encik Clement Chew memberitahu BERITAmediacorp: "Bagi oren Lukan, ia sangat popular sebagai hadiah kerana ia dapat kekal agak lama, ia manis dan banyak jus juga.

clement chew

"Yang paling popular sebagai hadiah ialah oren Ponkan dari Taiwan. Jadi bagi oren Ponkan dari Taiwan, ia sangat mudah dikupas, ia manis dan tidak terlalu banyak biji.

"Kita (juga) ada Swatow atau Jiaokan. Ia sejenis oren yang sangat menakjubkan. Anda boleh simpan sekitar 20 hingga 25 hari, dan ia tetap kelihatan cantik."

CIRI-CIRI 8 JENIS OREN POPULAR

Bagi anda yang gemarkan atau musykil tentang oren-oren berbeza, ini dia secara ringkas perbezaan-perbezaannya:

1. Lukan (China): Manis, berjus dan berpatutan

lukan
 

2. Ponkan (Taiwan): Lebih manis dan berjus, lebih mudah dikupas, namun lebih mahal

ponkan

3. Swatow (China): Dapat bertahan lama antara 20 hingga 25 hari, kulit lebih tebal

swatow

4. Kinnow (Pakistan): Berpatutan, namun kurang berjus dan lebih banyak biji

kinnow

5. Red Hyang (Korea): Jauh lebih mahal, namun bertekstur lembut, mudah dikupas, manis dan wangi

red hyang

6. Hallabong (Korea): Bermutu tinggi, bertekstur lembut dan banyak jus, namun lebih mahal

hallabong

7. Mikan (Jepun): Berbentuk kecil, namun manis dan mempunyai biji yang sedikit atau tiada biji

mikan

8. Red Beauty (Jepun): Hibrid oren yang bertekstur lembut seperti jeli, manis dan tiada biji namun lebih mahal

red beauty

LUKAN POPULAR KERANA TERSEDIA DALAM BUNGKUSAN MENARIK

Selain oren Ponkan, Encik Clement Chew, 31 tahun, juga berkongsi bahawa oren Red Beauty dan Red Hyang antara jenis bermutu tinggi dan sering diberikan sebagai hadiah kepada kakitangan syarikat mahupun anggota keluarga tersayang.

Namun, yang paling popular adalah oren Lukan kerana harganya yang berpatutan dan biasanya dijual dalam bungkusan yang menarik.

"Mengapa (Lukan) sangat popular kerana biasanya ia disediakan dalam pelbagai bungkusan yang berbeza. Anda ada versi beg bimbit, versi mudah diangkat dan tentunya kotak menarik yang ibarat memberi tuah juga," kongsi Encik Chew.

IBARAT MEMBERI EMAS

Bukan sekadar rupanya sahaja, pemberian buah oren ini sebenarnya juga ada lambang tersendiri.

Oren atau "gan" dalam bahasa Cina memiliki bunyi yang seakan-akan sama dengan "gam" dalam dialek Kantonis yang bermakna emas.

oranges

Lantaran itu, memberi oren sebenarnya ibarat memberi emas, sekali gus memberi ucapan kegembiraan dan kemakmuran kepada mereka yang menerimanya.

LO HEI ATAU YU SHENG

Satu lagi amalan masyarakat kaum Cina yang juga cukup sinonim dengan Tahun Baru Cina dan dikatakan juga membawa tuah adalah hidangan Yu Sheng atau 'Lo Hei'.

Cik Juwel Nyla Ang, 29 tahun berkata bahawa budaya menghidangkan Lo Hei sebenarnya lebih lazim diamalkan di rantau ini dan bukan suatu tradisi semasa Tahun Baru Cina secara khususnya.

lo hei

"Jadi bagi Lo Hei lazimnya lebih tinggi ia dilambung, lebih baik tuah kita. Sambil kita menuang bahan-bahannya ke dalam, kita sebenarnya mempunyai frasa-frasa Cina berbeza bagi segala tuah atau kekayaan dan ia menjadi kegiatan yang amat menyeronokkan sebenarnya," ujar ibu tiga anak itu.

HONGBAO DIBERI DALAM NOMBOR GENAP

Pemberian hongbao atau duit raya pula lebih diberikan kepada mereka yang belum berkahwin, selain ibu bapa.

Mengikut kepercayaan kaum Cina juga, jumlah yang diberikan dalam hongbao itu juga harus diberikan dalam nombor genap.

juwel nyla ang

"Dalam kepercayaan kaum Cina, kami percaya perkara yang baik harus wujud secara berpasangan. Jadi kami menitikberatkan nombor genap. Biasanya anda boleh memberi 2, 6, 8 atau 10.

"Kami cuba mengelak nombor 4 kerana bunyinya dalam bahasa Cina," kata Cik Nyla.

Nombor empat dalam bahasa Cina adalah 'si' - bunyinya samar-samar dengan perkataan 'mati' dalam bahasa tersebut.

JALINAN SEMULA HUBUNGAN AKRAB SEMASA 'REUNION DINNER' JADI ASPEK TERPENTING

Meskipun terdapat pelbagai amalan yang dilakukan semasa Tahun Baru Cina, aspek terpenting bagi musim perayaan ini, kata Cik Nyla, adalah hubungan akrab yang dijalinkan semula menerusi 'reunion dinner'.

Ini di mana anggota keluarga dan sanak-saudara berhimpun atau kembali dari luar negara untuk berkumpul dan berkongsi detik-detik bermakna sambil menikmati hidangan yang enak bersama-sama.

reunion dinner

Amalan ini dilakukan agar ia dapat merapatkan hubungan ahli keluarga yang lama berjauhan dan mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan yang sudah terjalin akrab.

"Saya rasa seperti setiap tahun juga, saya selalu berharap keluarga kami akan terus bahagia dan selamat.

"Saya rasa itulah bahagian paling penting bagi Tahun Baru Cina," ujar Cik Nyla.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan