BERITA+: Sweet Charity mahu rakam album di Abbey Studios, UK seperti kumpulan Beatles selepas konsert jelajah
SINGAPURA: Dalam tempoh 54 tahun kewujudannya, Sweet Charity telah menerbitkan lebih buah 10 album, dengan setiap satunya merupakan dokumentasi sosial untuk setiap era tersebut.
Nama Sweet Charity sinonim dengan pelbagai genre rock dan malah 'fusion' seperti rock-dangdut, rock rakyat dan sebagainya.
Seni kata lagu-lagunya mudah diingat, sarat dengan pengajaran dengan melodi yang menarik perhatian.
HTHT kali ini menyusuri perjalanan seni kumpulan rock lagenda tempatan itu selama lebih lima dekad yang turut menyumbang kepada fenomena seni muzik rock di Singapura dan Malaysia pada hari ini.
RESIPI KEKALKAN IMEJ BERSIH
Kumpulan yang lahir pada tahun 1969 sewaktu era Hippies dan Woodstock itu berjaya mengekalkan imej bersih.
Berikut, wawancara dari Hati ke Hati wartawan Nurhelmy Hakim bersama 'otai' Sweet Charity.
NURHELMY HAKIM: "Imej 'Rock Kapak' ini selalunya dikaitkan dengan rambut panjang, seluar 'jeans' yang ketat ataupun koyak... Tetapi bagaimana Sweet Charity boleh mengekalkan imej bersih?"
ROSLI MOHALIM, Gitaris, Sweet Charity: "Walaupun kita 'rugged', main muzik Rock, tetapi akhlak setiap individu itu dijaga, tidak buat perkara-perkara yang anasir tidak baik itu. Ini walaupun selalunya muzik rock dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah. 'Kalau engkau sudah 'khayal', nanti kau main lagi bagus'. Tetapi tidak semestinya macam itulah!"
RAMLI SARIP, Vokalis, Sweet Charity: "Momen itu, semua orang mahu jadi 'Hippies'. Kami pun dipengaruhi oleh konsep Hippies. Waktu zaman 1969, Woodstock jadi besar, lasak. Tetapi kugiran kita bermula daripada kampung, jadi budaya kampung itu masih kita bawa, daripada apa juga segi. Budaya sedikit, agama sedikit, orang tua kita memberi sedikit pandangan, falsafah, contoh dan sebagainya. Jangan ambil ini, jangan ini."
RAHSIA SWEET CHARITY KEKAL BERSATU
NURHELMY HAKIM: "Sudah lebih lima dekad Sweet Charity ditubuhkan. Apakah rahsianya masih kekal bersatu sehingga hari ini?"
RAMLI SARIP: "Yang membuat kita bersatu adalah muzik. Saya dengan Rahman satu sekolah. Saya dengan budak-budak kampung selalu duduk sama-sama. Rahman dan AJ pengikut yang baik. Walaupun kami semua ada peranan, tetapi semua hendak bersatu."
RAHMAN SARBANI, Pemain Dram, Sweet Charity: "Sebenarnya peranan saya biasa, main dram, bukan? Sweet Charity ini memang kugiran pertama yang saya anggotai. Saya punya jiwa dalam kumpulan Sweet Charity ini fasal saya suka. Itu yang saya emosi sedikit. Saya pernah menangis apabila saya buat persembahan di atas pentas. Saya tulang belakang Sweet Charity.".
RANCANGAN MASA HADAPAN
NURHELMY HAKIM: "Album terakhir Sweet Charity adalah pada sekitar 1985. Jadi apakah rancangan masa hadapan?"
RAMLI SARIP: "Sekarang, rakaman di dunia keseluruhannya mempunyai masalah yang sama. Mereka beralih kepada 'singles' kebanyakannya melainkan kalau awak pemain kelas dunia! Jadi untuk menjual secara fizikal sudah tidak sangat digalakkan tetapi sekiranya ditakdirkan kami mempunyai tiga atau empat buah lagu yang tinggi nilainya, saya ingin buat piring hitam atau album di Abbey Road Studios, London seperti kumpulan Beatles atau Pink Floyd. Ini tidak mustahil dilakukan, tetapi kita ingin habiskan konsert jelajah kami ini dahulu. InsyaAllah saya rasa kita masih ada lagi harapan untuk terus berada di persada ini."
KUMPULAN LAGENDA LEBIH BERBISA?
NURHELMY HAKIM: "Sekarang ini ada pandangan bahawa kumpulan-kumpulan rock zaman sekarang ini mungkin tidak begitu meletup dan ramai yang masih mencari kumpulan-kumpulan lagenda seperti Sweet Charity sendiri. Jadi bagaimana kumpulan anda kekal relevan sehingga hari ini?"
RAMLI SARIP: "Kami kumpulan rock Melayu, Rock Nusantara. Walaupun nama rock itu global, tetapi kita ada lirik-lirik, melodi-melodi atau irama-irama yang mempunyai cita rasa nusantara.
"Majlis perkahwinan itu banyak mengajar kita rasa, menilai perasaan para tetamu yang datang, Lagu apa yang kita hendak mainkan dalam jam berapa hingga jam berapa. Itu sangat penting. Perkara itu tidak ada di dalam sekolah atau universiti. Ia kita kena lalui sebagai pengalaman. Sekarang, banyak band yang bagus, banyak yang hebat. Tetapi kalau anda boleh bertahan dalam keadaan sekarang dengan tiada lagi syarikat rakaman yang menggajikan artis lagi, maka mudah-mudahan dengan bakat yang anda miliki, pengalaman, hubungan digital yang ada di sekeliling anda, di jari anda, akan membantu."
RAHMAN SARBANI: "Sebetulnya, kami masing-masing ada pekerjaan masing-masing. Rosli ada band sendiri, Ramli ada pertunjukan solo sendiri, AJ ada sendiri, saya pun ada band sendiri. Walaupun saya tidak buat persembahan dengan mereka dahulu, tetapi saya masih jalankan tugas saya, masih bermain genderang. Itu sebabnya apabila kita ada persembahan dalam konsert-konsert, lebih mudah untuk kami semua."
ROSLI MOHALIM: "Walaupun kami kugiran secara sambilan kerana ada kerja-kerja masing-masing tetapi komitmen kami seumpama band sepenuh masa. Bermakna kita banyak berjumpa, banyak berlatih dan itu yang buat kami kekal mantap."
MEDIA SOSIAL BANTU TARIK PEMINAT BAHARU?
NURHELMY HAKIM: "Bagaimanakah media sosial hari ini dapat membantu untuk memikat para peminat baharu?"
RAMLI SARIP: "Sewaktu konsert jelajah Sweet Charity di Johor Bahru itu, peminat yang datang itu, imej mereka dengan seluar 'Bell Bottom'! Satu kumpulan anak muda yang tonton - mereka mahu kembalikan nostalgia itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.