Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Sukan tingkatkan perkembangan anak autistik

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Teknik, gerak kaki, dan jaringan gol.

Itulah antara latihan yang dilakukan oleh Muhammad Safiyy Hanafi, 10 tahun, setiap hujung minggu.

Meskipun mengalami autisme, kebolehan untuk mengawal bola dan kelincahannya sama seperti kanak-kanak lain.

Beliau antara 18 peserta program Singa Champs yang ditubuhkan Cik Ernie Sontaril.

Ia menawarkan program bola sepak khas untuk kanak-kanak dan remaja autisme.

--

"Tujuan saya untuk menubuhkan Singa Champs sebenarnya untuk memberi peluang kepada kanak-kanak yang ada autisme untuk mereka terdedah kepada sukan dan juga menggalak mereka untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan. Seperti anda tahu berkomunikasi ialah antara kelemahan mereka," jelas Cik Ernie kepada BERITAmediacorp.

BOLA SEPAK JUGA TINGKATKAN KEMAHIRAN SOSIAL

Selain membangunkan kemahiran berkomunikasi, kegiatan riadah seperti ini boleh memberi banyak manfaat lain buat mereka yang mengalami autisme.

Bagi kanak-kanak lain, aktiviti bermain bola sepak adalah satu rekreasi biasa untuk kekal cergas tetapi bagi kanak-kanak autistik ia lebih daripada itu. Ini kerana ia meningkatkan kemahiran sosial dan keyakinan diri mereka.

Program itu juga disesuaikan mengikut profil pelajar dan dijalankan dalam kumpulan kecil.

Anggota keluarga para peserta juga dapat melihat beberapa perubahan positif.

Menurut Encik Hanafi Osman, beliau melihat banyak perubahan pada anaknya, Muhammad Safiyy sejak beliau menyertai Singa Champs.

--

"Selepas dia memasuki platform bola sepak ini, dia dapat menjadi seorang budak yang berdikari. Dia tidak macam dulu kan. Kalau dia 'meltdown' dia akan menyendiri di satu tempat tetapi sekarang dia tidak," kongsi Encik Hanafi.

Secara tidak langsung, Muhammad Safiyy juga dapat meningkatkan kemahiran untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain.

"Saya suka datang ke sini kerana saya suka bermain dengan kawan-kawan saya. Saya suka bermain dengan para jurulatih. Saya suka menyertai pertandingan, saya sukan berlatih. Saya suka segalanya di sini," kata Safiyy.

Menurut pakar psikologi, kemahiran dan kecekapan asas kanak-kanak autistik boleh dibentuk dengan bersukan.

"Otak adalah apa yang dipanggil 'neuro plasticity'. Jadi ia akan terus membesar dan berubah bergantung kepada persekitaran. Bagi kanak-kanak dengan autisme, salah satu kelemahan utama mereka adalah berkomunikasi.

"Jadi menerusi sukan, kanak-kanak itu boleh berlatih kemahiran-kemahiran seperti komunikasi, belajar bekerjasama dan berinteraksi dengan kawan-kawan mereka," jelas Dr Samantha Tang, Konsultan Psikologi di Healis Autism Centre.

--

Lantaran ini, Dr Samantha berkata adalah penting kemahiran-kemahiran asas itu diperkenalkan menerusi sukan seawal mungkin kepada kanak-kanak yang mengalami autisme.

Beliau juga menekankan pentingnya mengutamakan minat serta kecenderungan seseorang kanak-kanak autistik itu sendiri.

Dr Samantha berkata: "Kadang-kala, sebagai ibu bapa kita mempunyai cita-cita seperti mahu masukkan anak ke dalam kelas lawan pedang kerana ia sukan yang glamor atau sesuatu yang sangat khusus, dan menggunakannya untuk permohonan skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).

"Apabila kita mendampingi anak-anak, kita harus mengambil kira motivasi dan minat mereka, tidak kira umur. Kita mahu anak-anak itu merasakan mereka boleh berjaya dan berkebolehan."

BAZGYM GYMNASTICS BANTU TINGKATKAN 'CORE STRENGTH'

Persekitaran demikian juga cuba diwujudkan di BazGym Gymnastics, sebuah kelas gimnastik khas bagi kanak-kanak dengan autisme.

Aktiviti seperti berjalan di atas papan juga boleh bangunkan keyakinan para peserta.

--

Jurulatih Bazgym Gymnastics Cik Nur-Hafizah Zain berkata: "Gimnastik menolong mereka dalam pergerakan mereka, kekuatan teras atau 'core strength' dan juga sedar mengenai persekitaran mereka. Kemahiran sosial mereka juga meningkat kerana dalam kelas, kami ada lapan murid dan dari situ mereka harus bergilir-gilir untuk membuat aktiviti-aktiviti.

"Salah satu aktiviti yang kami buat di dalam kelas adalah melompat di atas trampolin. Dari situ, mereka boleh meningkatkan kekuatan teras mereka dan juga kestabilan mereka. Itu sangat penting kerana kanak-kanak ASD, mereka kadang-kadang tidak boleh imbangi diri."

Meskipun Cik Fizah akur mengenai cabaran membimbing kanak-kanak autisme, ia juga memberinya suatu kepuasan yang tidak ternilai, lebih-lebih lagi apabila melihat perkembangan positif dalam diri para peserta.

"Issac sering asyik terjatuh dan kami ingin meningkatkan kelincahannya kerana dia akan mulai darjah satu. Kami tahu di sekolah ada tangga dan kami mahu dia menyertai aktiviti-aktiviti dengan selamat," kata Encik Tan Keng Sing Benjamin, bapa kepada seorang peserta BazGym Gymnastics.

IKHTIAR IBU BAPA

Lebih dari sekadar kegiatan riadah, ia juga antara ikhtiar ibu bapa untuk bangunkan kecekapan anak-anak mereka.

--

Encik Mubarak Mustafa Khamal, bapa kepada seorang lagi peserta Singa Champs berkata: "Jika kita tak lakukan sesuatu, tidak akan ada sebarang perubahan. Akan tiba masanya dia akan keluar rumah dan mula teroka dunianya sendiri. Jadi jika ada peluang untuk dia bangunkan kecekapan dan jadi orang lebih baik, mengapa tidak?"

Dengan itu, mereka berharap anak mereka boleh lebih berdikari satu hari nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan