BERITA+: Sukan panjat tembok kian popular jadi kegiatan riadah sekeluarga
SINGAPURA: Nampak menggerunkan, tetapi apabila sudah sampai ke puncak, rasanya puas!
Selain kekuatan yang diperlukan untuk memanjat, langkah juga perlu bijak diatur supaya tidak terjatuh.
Ini antara yang menarik ramai untuk mencuba sukan 'rock climbing' atau memanjat tembok yang kian popular.
Bukan sahaja dilakukan bersendirian, sukan itu juga dilakukan sebagai kegiatan riadah bersama keluarga.

Antara keluarga yang meminatinya termasuk keluarga Encik Alfiyan Harith, 48 tahun, yang sudah menceburi sukan ini sebagai satu keluarga sejak 2015 lagi.
Bagi kesemua empat anak lelakinya, tembok batu sudah menjadi 'taman permainan' bagi mereka sejak kecil lagi.
Mereka diperkenalkan kepada sukan itu oleh bapa mereka sejak waktu berada di sekolah rendah lagi.

"Saya sudah mendedahkan anak saya kepada pelbagai sukan seperti tenis, bola sepak, bola lantai, trek dan padang, silat dan sukan memanjat," kongsi Encik Alfiyan.
"Namun selepas beberapa tahun membuat aktiviti ini, sukan memanjat ini adalah sukan yang mereka paling minat sekali. Sejak daripada itu, mereka terus memanjat sehingga sekarang," tambahnya.
Encik Alfiyan sendiri terdahulu meminati dan melakukan sukan itu bersama rakan-rakannya.
DARIPADA HOBI, KINI BURU PINGAT DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Daripada sekadar hobi sekeluarga, anak-anaknya kini beralih memburu pingat pula dalam sukan itu dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

Ia termasuk anak ketiganya, Adre Alfiyan, 18 tahun, yang pernah mewakili Singapura di Kejuaraan Dunia Panjat Tembok bagi Belia di Korea Selatan 2023 dalam kategori 'speed' atau panjat laju.
"Untuk mewakili Singapura ialah penghormatan yang besar jadi saya harus berlatih bersungguh-sungguh. Saya pergi berlatih lima kali seminggu dan saya pun memasuki banyak pertandingan di Singapura dan di luar negara," kongsi atlit negara itu.

Anak keduanya pula, Aide Alfiyan, 19 tahun, turut berkongsi minatnya untuk bertanding dalam sukan itu.
"Saya berasa lebih seronok apabila saya bersaing. Pada masa yang sama, semasa saya mula memanjat, bapa saya memasukkan saya dalam pertandingan-pertandingan dan saya mendapat tempat pertama di sekolah rendah," kongsi Aide.
SEDIAKAN SOKONGAN UNTUK ANAK-ANAKNYA LAKUKAN SUKAN MEMANJAT

Meski bimbang pada mulanya, Encik Alfiyan dan isteri, Cik Helena Ramli, akur pengalaman yang diraih sangat berharga dan menyediakan sokongan yang mencukupi buat mereka.
"Pada mulanya, ia membimbangkan sebab mereka balik macam berdarah-darah. Jadi apabila ia bertambah serius, saya rasa mereka sudah tahu bagaimana untuk menanganinya," kongsi Cik Helena, 47 tahun.
"Kami selalu menasihati mereka apabila mereka bertanding, ia bukan sahaja untuk meraih kemenangan tetapi untuk mendapat pengalaman," tambah beliau.

Selain menghantar dan mengambil mereka dari latihan, pasangan itu juga turut menyediakan barang-barang keperluan khas serta sokongan moral.
"Seorang atlit untuk berjaya memerlukan bukan hanya bakat tetapi disiplin dan sokongan dan sebagai ibu bapa kita mahu anak kita membuat yang terbaik," ujar Encik Alfiyan.
"Kita menyediakan mereka barang-barang keperluan asas seperti kasut, abah-abah, beg kapur dan sebagainya. Selain daripada itu, kita memberikan mereka sokongan moral," tambah beliau.
Bukan sahaja seronok, sukan memanjat menurut keluarga itu juga dapat melatih otot-otot badan.
"Sukan ini ibarat senaman seluruh tubuh atau 'whole body workout' dan bila saya memanjat saya rasa seronok," menurut Aide.
"Saya mendapati sukan ini membantu anda untuk berfikir - bagaimana untuk menyelesaikan laluan-laluan," tambah Cik Helena.
SUKAN MEMANJAT - MANFAAT KESIHATAN TUBUH & BANTU DARI ASPEK SOSIAL

Selain manfaat kesihatan tubuh badan, sukan itu juga membantu dari aspek sosial.
"Kami juga menghabiskan masa sekeluarga apabila kami memanjat bersama-sama," kongsi Aide.
"Apabila masyarakat pemanjat membantu satu-satu sama lain untuk menghabiskan memanjat, ada satu kepuasan yang dapat dirasakan," menurut Adre pula.
Bagi Adventure HQ, sebuah kemudahan aktiviti riadah tertutup di HomeTeamNS Khatib, mereka menyaksikan lebih ramai individu yang datang bersama keluarga mereka untuk melakukan sukan memanjat di situ.
"Kami melihat lagi ramai pemanjat yang datang sebagai satu keluarga. Aktiviti memanjat ini mula meningkat di Singapura dalam lewat 80an, awal 90an dan di kalangan pemanjat-pemanjat muda waktu itu, mereka sekarang sudah mempunyai keluarga mereka sendiri dan sekarang mereka berkongsi minat memanjat mereka dengan anak-anak mereka," kongsi Pengurus Perniagaan HomeTeamNS, Cik Nurhidayah Ibrahim.

Bagi menjadikannya lebih mesra keluarga, pelbagai peringkat kesukaran memanjat dan elemen interaktif juga disediakan di sana.
Antaranya termasuk 'Bouldering' atau Panjat Batu Tongkol dan 'Urban Climb' yang menggabungkan sukan dan cabaran menerusi permainan.

Kini terdapat sekitar 10 kemudahan tembok memanjat dan pemasangan dalam kawasan tertutup di Singapura bagi memudahkan para penggemar melakukan kegiatan itu dalam keadaan lebih selesa tanpa mengira cuaca.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.