Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Suasana Ramadan di Kampong Gelam kembali rancak

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak dua Ramadan lalu, sambutan bulan puasa di kawasan Kampong Gelam agak suram dek pandemik COVID-19.

Namun pada tahun ini, ia kembali rancak dengan bazar fizikal yang diadakan buat pertama kalinya dalam masa tiga tahun.

Salah satu daya tarikan utama adalah program yang bertemakan Cinta Cahaya Ramadan yang bertujuan menarik para pengunjung untuk menyemarakkan lagi suasana di Kampong Gelam.

Kandahar Street kembali sibuk pada Ramadan ini dengan adanya sebuah bazar fizikal 'Walk Thru Souq' kendalian Laloolalang.

Terdapat lebih 20 gerai yang menyediakan pelbagai juadah dari merata negara yang dapat memenuhi berbagai-bagai citarasa

Makanan Arab, Jepun dan Thailand pun ada. Cukup untuk membuat para pengunjung rambang mata!

Secara purata, harga makanan dan minuman yang dijual kurang dari S$15.

KEADAAN TERKAWAL MESKIPUN SIBUK

Sejak dibuka 1 April lalu, bazar 'Walk Thru Souq' sudah dikunjungi sekitar 50,000 orang.

Kawalan para pengunjung teratur dengan hanya 200 orang dibenarkan masuk ke setiap zon pada satu-satu masa.

Masa menunggu untuk memasuki bazar pula rata-rata kurang dari 15 minit, meskipun pada hujung minggu.

RINDUKAN SUASANA DAN AROMA BAZAR RAMADAN

Beberapa pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp mengakui cukup rindukan kemeriahan bazar Ramadan.

"Dia punya panas dan bising memang berbaloi. Itulah yang kita nanti-nantikan pada bulan Ramadan. Saya berasa sangat gembira, kata Encik Bob.

Muhd Shazwiin Remy pula berkata: "Saya rasa ini sangat bernostalgia. Saya dapat rasakan suasana dahulu kembali."

Temannya Marcell turut berasa seronok.

"Ini kali pertama saya ke sini. Tidak tahan kerana perlu beratur panjang. Sangat panas! Tetapi 'best' lah," kata Marcell.

YAKOOLZUNA LUASKAN PERNIAGAAN HBB

Antara gerai terbaru dalam persada bazar adalah Yakoolzuna yang menjual air slushie berasaskan minuman Yakult.

Yakoolzuna bermula sebagai perniagaan dari rumah (HBB) sekitar setahun lalu.

Pengasas bersama Yakoolzuna, Encik Mustaffa Kamal berkata: "Salah satu sebab kita sertai bazar tahun ini, pertama sekali, untuk kita kembangkan perniagaan yang berdasarkan di rumah. Kita mahu cuba berniaga di bazar."

Selain air slushie, gerai mereka turut menawarkan makanan Korea.

"Rakan kerja saya ke Australia untuk belajar resipi masakan Korea di sana. Kami bawakan resipi itu ke sini dan menjualnya di bazar," kongsi Encik Mustaffa.

NAIK VESPA SIDECAR ATAU BECA, DENGAR CERITA SEJARAH KAMPONG GELAM

Selain bazar makanan, pelbagai kegiatan turut dianjurkan di kawasan Kampong Gelang bagi memperkayakan pengalaman pengunjung pada Ramadan ini.

Ini termasuk peluang menunggang Vespa sidecar untuk menyelami sejarah dan fakta-fakta menarik kawasan itu.

Selain itu, para pengunjung juga boleh mengikuti satu-satunya lawatan menaiki beca di Singapura dengan harga kurang S$50.

Lawatan selama dua jam itu membawa pengunjung meneroka kawasan sekitar seperti Arab Street dan Bussorah Street.

Para pengunjung berpeluang mengikuti perkongsian cerita-cerita lampau dari abad ke-19 dan menikmati pelbagai pengalaman interaktif yang pasti mencuit deria.

GUNAKAN JARI-JEMARI SELONGKAR KEKAYAAN WARISAN KAMPONG GELAM

Kekayaan warisan Kampong Gelam juga boleh dihayati sendiri para pengunjung menerusi jari-jemari mereka sendiri.

Batik, yang menjadi antara bahan dagangan utama puluhan tahun lalu di Kampong Gelam dikupas menerusi bengkel kraf tangan kendalian Lokka Lekkr.

Para peserta diajak menyelongkar selok belok seni 'batik cap' dengan pilihan coraknya yang berbagai serta teknik menjahit dan mengukir.

Kurator Studio Lokka Lekkr, Cik Yennie Ng berkata: "Kita adakan bengkel batik ini kerana Kampong Gelam dikenali sebagai sebuah pusat pencetakan batik dari tahun 1900 hingga 1950an. Jadi kita mahu sejarah kawasan ini dikongsi bersama dengan para peserta bengkel ini."

Motif-motif yang digunakan untuk pencetakan di bengkel tersebut lebih kepada motif Islam serta bentuk-bentuk yang ikonik dengan sejarah Kampong Gelam, seperti corak jubin lantai di sekeliling kawasan itu.

"Mereka juga boleh belajar tentang sejarah, perubahan atau evolusi Kampong Gelam daripada sebuah pelabuhan nelayan kepada sebuah pusat perdagangan, dan kini kawasan 'trendy' dan 'hip' yang menarik pengunjung pelbagai generasi," jelas Cik Yennie.

(Gambar: MCI)

INDAH MATA MEMANDANG MASJID SULTAN BERMANDIKAN CAHAYA

Sedang cahaya alam kian menjadi kelam, Masjid Sultan pula bermandikan pancaran cahaya berwarna-warni.

Sesuai juga dengan tema Cinta Cahaya Ramadan, pertunjukan itu menonjolkan konsep air yang melambangkan kesucian serta inspirasi budaya Melayu/Islam menerusi motif-motif seperti bunga-bunga.

Pertunjukan cahaya di Masjid Sultan berlangsung dua kali sehari, pada jam 8.00 dan 10.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan