Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Strategi pertanian hijau di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
KALIMANTAN: Kemudahan pengeluaran baja terbesar di Indonesia meliputi kawasan seluas 400 hektar dan terletak di Bontang, wilayah Kalimantan Timur.

Kompleks kendalian Pupuk Kalimantan Timur itu terdiri daripada 13 kilang yang menghasilkan baja bukan organik seperti urea.

Namun, Indonesia masih menghadapi kekurangan pengeluaran baja, dan berusaha mengimbangi permintaan luar negara dengan keperluan domestik.

Ini meskipun negara itu menghasilkan 3.5 juta tan baja setahun untuk pasaran domestiknya, serta mengimport 6.3 juta tan.

Namun semua itu tidak dapat memenuhi permintaan tahunannya sebanyak 13 juta tan.

Pupuk Kalimantan Timur menghasilkan hampir 6.5 juta tan baja setahun, di mana 50 peratus ditujukan untuk eksport.

"Menjaga jaminan bekalan makanan Indonesia juga bermakna menjaga jaminan bekalan makanan serantau. Jaminan bekalan makanan tidak boleh dilihat sebagai isu domestik di Indonesia sahaja," kata Pengarah PT Pupuk Kalimantan Timur.

"Kita juga harus menjaga jaminan bekalan makanan serantau . Apatah lagi Pupuk Kaltim sebagai perusahaan urea terbesar di Asia Tenggara, sudah tentu kita mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga jaminan bekalan makanan rantau itu," tambahnya.

Para petani bergantung kepada baja untuk menjamin penghasilan yang baik, dengan membekalkan nutrien yang seimbang ke dalam tanah.

Mereka juga cuba mengurangkan kebergantungan kepada baja yang mengandungi kimia, dan sebaliknya menghasilkan baja organik daripada najis haiwan.

"Memang baja organik ini sangat baik. Banyak manfaatnya, sisa di sini banyak, jadi kami berminat untuk merubah cara pemikiran para petani yang terus menggunakan baja kimia," kata Waryana, seorang petani dari Jawa Barat.

Namun, menurut para pakar, peralihan daripada baja bukan organik kepada yang jenis organik dililit pelbagai cabaran.

"Terdapat persoalan ekonomi politik dalam hal ini yang harus diselidik dengan betul. Sekiranya berlaku perubahan atau peralihan dari kimia ke organik, bagaimana dengan ekonomi perusahaan-perusahaan baja di Indonesia?," kata Ayib Said Abdullah, penyelaras Gabungan Kebangsaan Rakyat Bagi Jaminan Bekalan Makanan.

"Apakah baja Indonesia dapat berubah tanpa kehilangan pendapatannya? Bagi saya, itu pilihan yang harus dilaksanakan, yang logik dan harus diambil jika kita betul-betul inginkannya. Supaya negara ini mempunyai jaminan bekalan makanan yang mencukupi," tambahnya.

Permintaan untuk baja, baik jenis kimia mahu pun organik, dijangka terus meningkat memandangkan bahan nutrien itu memainkan peranan penting dalam sektor pertanian.

Para pemain industri serta golongan petani saling melengkapi sedang mereka memacu langkah ke hadapan bagi menjamin jaminan bekalan makanan untuk Indonesia.
 
Sumber : CNA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan