Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Songket dan Samping - Simbol keanggunan Melayu yang kekal relevan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persiapan busana menjelang lebaran sering kali menonjolkan dua warisan tradisi yang menjadi simbol keanggunan dan adat, iaitu songket dan samping.

Namun, di sebalik populariti pakaian yang menjadi lambang status dan kemegahan bangsa Melayu sejak sekian lama, cabaran dalam mengekalkan minat generasi muda terhadap pakaian tradisional ini semakin ketara.

Mengapa samping begitu penting sebagai pelengkap busana tradisional Melayu?

Penerbit Roslinda Rahmat bawakan perkongsian seorang pengumpul khazanah Melayu dan juru dandan yang memperjuangkan pelestarian songket dan samping dengan sentuhan inovasi terkini, hanya di BERITA+.

SONGKET DAN SAMPIN: DUA PEJUANG PELESTARIANNYA

Minat mendalam Encik Rossman Ithnain terhadap khazanah warisan Melayu berputik selepas pulang dari Amerika Syarikat.

Pertemuan dengan seorang pengumpul barangan warisan mencetuskan kecintaan beliau terhadap kain songket dan kain samping, yang menjadi sebahagian daripada busana tradisional Melayu.
Rossman Ithnain gemar memakai songket ke majlis-majlis rasmi atau keramaian. (Gambar: Rossman Ithnain)
Bagi memastikan keaslian dan kelengkapan koleksinya, pengumpul itu turut menambah buku serta foto-foto lama sebagai rujukan.

"Apabila saya ada soalan, saya akan melihat pada buku rujukan saya. Bagi saya, satu koleksi tanpa konteks, tanpa cerita, tidak ada makna, tidak ada jiwa," jelas Encik Rossman.

Beliau turut berkongsi tentang sejarah pembuatan kain songket. "Dari bacaan dan kajian saya, pembuatan kain songket mungkin bermula pada abad ke-16 hingga ke-17. Para penenun dibawa masuk daripada mungkin Palembang ke Pantai Timur Malaysia, di bawah naungan diraja, dibayar gaji dan mereka menenun kain songket hanya untuk kegunaan orang bangsawan atau kerabat diraja. Jadi, songket adalah fabrik yang eksklusif pada era itu."

Namun, dengan peredaran zaman, kain songket menjadi lebih terjangkau.

"Kain-kain songket menjadi lebih terjangkau, terutama setelah para penenun kain itu meninggalkan istana dan membawa kemahiran mereka ke luar. Hari ini, songket telah menjadi simbol masyarakat Melayu, terutamanya dalam majlis perkahwinan di mana pengantin sering memilih untuk mengenakan busana berasaskan songket bagi menyerlahkan keanggunan mereka sebagai 'raja sehari'," tambahnya.

Antara koleksi berharga beliau adalah kain songket tertua yang berasal seawal tahun 1950-an.

Menurut Encik Rossman, kain songket pada era tersebut lebih cenderung kepada motif klasik yang mendapat inspirasi daripada alam semula jadi.

"Saya memang lebih cenderung kepada songket mungkin tahun 50-an, 60-an. Kalau kita lihat gambar-gambar lama, memang selalunya pengantin akan memilih baju songket bunga bertabur," katanya.

Motif yang sering digunakan dalam songket era tersebut termasuk tampuk manggis, kesemak, dan bunga raya.

Dari segi warna, beliau menjelaskan bahawa kain songket pada waktu itu hanya menggunakan satu warna sahaja seperti merah jambu, hijau kenanga, merah pulasan, dan merah ikan, yang dipadankan dengan benang emas atau perak.

"Tidak macam sekarang, kita tidak gunakan istilah seperti hitam manis atau merah delima. Kita gunakan warna asas sahaja - merah, biru, hijau," tambahnya.

CARA MERAWAT SONGKET DAN PERKEMBANGAN WARISAN SONGKET SINGAPURA

Barangan antik sering dianggap semakin bernilai dengan bertambahnya usia, namun pandangan itu tidak sepenuhnya tepat, menurut pengumpul khazanah Melayu, Encik Rossman Ithnain.

"Tidak semestinya. Kita melihat kepada mutu kain songket dan betapa halus tenunannya ataupun benang emas yang digunakan dan berapa rumit coraknya. Itu bagi saya yang akan menambah nilai kepada kain, bukan usia atau umur kain itu," jelas Encik Rossman.

Beliau turut menekankan pentingnya penjagaan yang betul bagi kain songket, terutamanya dalam iklim lembap Singapura yang boleh mengakibatkan kerosakan.

"Harus dijaga dengan baik sebab kain semua adalah bahan organik. Kalau tidak dijaga dengan baik, akan reput," kongsinya.

Encik Rossman juga berkongsi beberapa petua untuk merawat dan menjaga kain songket.

"Dulu-dulu selalunya orang menggunakan asap kemenyan untuk membersihkan. Kalau tidak pun, sekarang kira-kira setiap tiga bulan perlu dikeluarkan untuk dianginkan. Pengancamnya adalah serangga, dan kadang-kadang dimakan oleh gegat. Untuk mengatasinya, kawan saya di Indonesia menggunakan lada putih atau apa yang mereka panggil 'merica'. Bagi yang boleh, simpanlah di dalam ruang berhawa dingin yang suhunya terkawal. Cara menyimpannya pula harus secara digulung, supaya tidak ada lipatan untuk merosakkan kain. Dan gunakan juga kertas bebas-asid sebagai lapisan sewaktu digulung," kongsi beliau.

Selain itu, Encik Rossman juga menceritakan tentang sejarah Songket Singapura, khususnya pada era 1950-an, di mana terdapat motif geometrik yang popular di kalangan masyarakat.

"Dalam era 50-an, pernah ada songket yang bermotif geometrik. Songket itu menjadi popular. Dinamakan Songket Temasek atau Songket Singapura sebab ianya hanya boleh didapati, dibeli di Singapura. Di mana ianya dibuat, kebanyakan orang tidak tahu. Tetapi setelah mungkin sepuluh tahun, Songket Singapura itu terus hilang dan tidak lagi popular. Mujur pada hari ini kalau kita ke kedai-kedai antik atau ke pasar karat di Malaysia, masih boleh didapati Songket Singapura. Motifnya geometrik. Walaupun elemen tradisional seperti pucuk rebung, bentuk desainnya adalah geometrik. Saya juga ada foto ayah saya semasa muda, dan pakcik-pakcik saya juga, yang memakai kain samping geometrik Songket Singapura," ujarnya.

Dengan adanya usaha pengumpul seperti Encik Rossman, warisan Songket diharap terus terpelihara untuk generasi akan datang, memastikan keindahan budaya Melayu tidak luput ditelan zaman.

INOVASI SAMPIN DEMI GALAK PELESTARIAN PEMAKAIANNYA

Di sebuah lokasi di Woodlands, juru dandan Wan Huzarman Wan Azlan Shah, mengumpul koleksi songket untuk pakaian pengantin.

Sebagai pencinta warisan, beliau juga aktif menyemai pemahaman mendalam mengenai pemakaian samping kepada setiap pengantin lelaki yang didandannya.

"Samping diciptakan untuk menutup aurat seperti untuk lelaki, dari atas pusat sampailah ke lutut. Orang dulu-dulu tiada baju dalam. Maka untuk mengelakkan ternampak apa yang tidak sepatutnya nampak, itulah diciptakan samping untuk menutup aurat. Jadi bila kita bersilat, tidak nampak lutut dan ada yang tidak pakai baju pun masih menutup aurat pusat dia. Seperti wanita dulu-dulu juga - mereka pakai samping juga, dan juga pasal hendak tutup punggung yang merupakan auratnya" jelas Encik Wan.

Namun, dalam era moden ini, makna pemakaian samping, terutama ketika lebaran, sering dilupakan.
Wan Huzarman merasa selesa apabila lengkap bersampin. (Gambar: Wan Huzarman/Facebook)
Namun bagi Encik Wan Huzarman, samping tetap menjadi simbol warisan Melayu yang harus diteruskan.

"Sampin itu pelengkap pakaian tradisional sebenarnya. Tanpa samping, sebenarnya takkan nampak segak, takkan nampak menawan," tegasnya.

Bosan mendengar alasan bahawa samping sukar dipakai, Encik Wan mengambil inisiatif untuk menghasilkan 'samping instant' yang lebih praktikal, namun tetap mengekalkan elemen tradisional.

"Ramai belia generasi baharu tidak hendak belajar, semuanya hendak ringkas, jadi saya ciptakan 'samping instant'. Ia ringkas untuk mereka pakai supaya nampak rapi dan segak. Kita ini hendak cuba kekalkan agar mereka pakai, kalau boleh, biar hari-hari mereka pakai. Pergi majlis makan malam ke, pergi acara ke, pergi jemputan ke, kalau boleh pakai macam datuk nenek moyang kita dahulu pakai," luahan harapan Encik Wan Huzarman.

Sambutan terhadap 'samping instant' rekaannya amat menggalakkan, dengan 2025 masuk tahun ketiga penjualannya.

"Tahun ini saya mengambil tempahan sebanyak 150 set. Itu termasuk samping untuk anak kecil dan dewasa. Saya tidak sanggup hendak menjahit lebih banyak lagi," dedah Encik Wan.

SONGKET DAN SAMPIN LAMBANG BUDAYA YANG PERLU TERUS DIHARGAI

Hari Raya menjadi waktu istimewa untuk menghidupkan semula budaya pemakaian songket dan samping, melambangkan keanggunan serta kemuliaan lebaran.

Berkat usaha pengumpul seperti Encik Rossman dan pencinta warisan seperti Encik Wan Huzarman, warisan ini terus terpelihara dan disesuaikan dengan gaya hidup moden, menjadikannya kebanggaan kita, terutama pada Hari Raya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan