Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Siri Black Box Teater Kami mahu gilap bakat baharu dalam penulisan dan pengarahan teater

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pelbagai inisiatif untuk membangunkan tenaga kerja seni yang berkemahiran diusahakan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) untuk menyemarakkan lagi sektor seni, budaya dan warisan tempatan bagi lima tahun akan datang.

Untuk laporan BERITA+ kali ini, wartawan Roslinda Rahmat mengikuti usaha Teater Kami untuk menggilap bakat dalam penulisan dan pengarahan teater untuk menjadi pelapis kumpulan seni itu.

USAHA UNTUK TERUS GILAP BAKAT SENI TEATER, TERUTAMA PENGARAH DAN PENULIS

Sebuah pementasan akan berkesan apabila kesemua ciri yang perlu ada, dipenuhi - gabungan kreatif seni visual, muzik, tari dan lakonan.

Penulis skrip harus mahir mentafsir idea kepada naskhah dengan jalan cerita yang berkesan, manakala pelakon harus menghidupkan watak dengan cara yang meyakinkan.

Tugas pengarah tidak kurang penting.



Mereka memikul tanggungjawab untuk menghidupkan visi pementasan dan membimbing hala tuju keseluruhan persembahan.

Namun sayangnya, dunia seni teater Melayu setempat kekurangan bakat dan perlukan pelapis, kata Pengarah Artistik, Teater Kami, Atin Amat kepada wartawan Roslinda Rahmat.

"Bakat penulis dengan pengarah itu agak terhad. Saya boleh kira. Kalau sekarang yang aktif, saya, saya sendiri. Tetapi saya tidak condong kepada penulisan, saya lebih condong kepada pengarahan. Lagi seorang - Alin Mosbit yang mungkin condong kepada kedua-duanya sekali. Seorang lagi ialah Zizi Azah. Tetapi sekarang dia tidak ada di Singapura. Dia di New York. Dahulu pun pengarah yang saya ingat semasa saya baharu bergiat adalah seperti Nadiputra, Lut Ali, orang lama E. F. Kamaludin.. Saya pun tidak tahu sudah ke mana dia sekarang," keluh Atin Amat.

Maka untuk pastikan pementasan bermutu yang berterusan, Teater Kami mempersembahkan Siri Black Box atau pementasan Peti Hitam untuk menggilap bakat-bakat sedia ada dan mencungkil bakat-bakat baharu.



"Siri Black Box adalah untuk melihat sejauh mana saya boleh berkembang sebagai seorang pengarah dan penulis. Rancangannya untuk kami buat sebanyak dua kali pada setiap tahun, tetapi kita buka kepada sesiapa sahaja penulis atau pengarah baharu yang ingin mengetengahkan cerita-cerita mereka. Kerana, di Singapura ini, saya rasa kita kekurangan penulis-penulis skrip Melayu," dedah Penulis dan Pengarah, Siri Blackbox Teater Kami, Moli Mohter sewaktu ditemui wartawan di pejabat Teater Kami di Cairnhill Arts Centre.

Cik Atin yang dikenali sebagai 'orang kuat teater' menambah: "Pada dasarnya, apabila kami tubuhkan Teater Kami itu, memang sasaran kami untuk membangun bakat yang ada. Pada akhir tahun 1992, kami mulakan dengan siri Remaja Kami. Ada empat siri yang kita jalankan. Tujuannya memanglah untuk membangunkan bakat-bakat baharu yang terbiar. Pasal masa itu, selepas masuk festival teater remaja anjuran Kemuning itu, masa itu memang tengah 'hot'. Ramai orang juga terlibat. Dan selepas festival teater itu, bakat-bakat itu macam tidak ke mana.

"Jadi saya cuba usahakan untuk kumpulkan mereka dan memberi mereka platform untuk membuat persembahan, di mana saya jumpa mereka dan jelaskan apa yang kita hendak lakukan untuk mereka. Dan mereka bersetuju. Waktu itu, dibahagi-bahagikan siapa yang suka berlakon, siapa yang suka menulis, mengarah dan buat kerja-kerja belakang pentas. Jadi dari situlah terbitnya bakat-bakat pertama yang Teater Kami usahakan. Seperti sekarang yang sudah bernama besar, macam Noor Effendy Ibrahim, Sani Hussin, Rosita Hussin, Alin Mosbit, Siti Hajar Gani, Ariati Tyeb Papar. Fared Jainal yang sekarang merupakan pengarah yang tidak asing di Teater Ekamatra," kata pemimpin Teater Kami, Cik Atin.

'BOHONG' DAN 'JANJI' PEMENTASAN YANG DIHARAP CETUS PERBINCANGAN MENDALAM DI KALANGAN PEMINAT TEATER

Siri Black Box kali ini mengembangkan dua karya baharu berjudul ‘Bohong’ dan ‘Janji’.

Salah seorang pelakonnya ialah Rizal Aiman, yang turut memainkan watak sebagai seniman jalanan dalam pementasan 'Janji'.

"Saya memainkan watak 'Ali' dalam 'Bohong' - seorang kawan yang suka menipu tanpa memanfaatkan dirinya. Dan saya rasa ramai orang juga boleh akur dengan watak Ali ini sebab mungkin dulu-dulu kita pun mesti ada kawan-kawan yang suka menipu, yang suka bercakap besar. Dan mesti pun kita pernah ditipu oleh kawan-kawan kita dahulu dan macam mana kita hendak teruskan persahabatan kita selepas kepercayaan ini sudah tidak ada lagi?" kata Rizal.

Cik Moli pula menerangkan tentang satu lagi drama yang bakal dipentaskan.

"'Janji' yang mendapat inspirasi daripada buku 'If Cats Disappear From This World'. Buku ini sudah menjadi filem Jepun sebenarnya. Tetapi apabila saya membaca buku itu, saya terfikir, baiklah, ini pemahaman orang-orang Jepun. Tetapi kalau kita orang Melayu buat perjanjian dengan syaitan seperti itu, apa yang akan berlaku? Jadi, saya cuba adaptasi daripada cerita itu kepada cerita-cerita orang-orang Melayu dan apakah kemahuan kita ataupun apa yang kita sanggup korbankan supaya kita boleh lebih sihat?"

Para pelakon yang menjayakan pementasan ini merupakan peserta Program Latihan Pelakon di bawah bimbingan Cik Moli.



"Saya memainkan watak Andi dalam pementasan 'Janji'. Dia mendapat berita bahawa dia cuma ada satu minggu lagi untuk hidup. Jadi, apa yang Andi akan utamakan dengan masa singkat yang dia ada, sebelum terlambat?" kata pelakon Fandy A.

"Latihan Teater Kami ini semakin memperhalusi teknik vokal saya. Ia juga memberi kita ruang untuk mengarah atau menulis pementasan", tambah pelakon muda, Rizal Aiman.

Masing-masing pelakon yang menjayakan program latihan itu menyimpan hasrat untuk mempertingkat keupayaan sebagai penulis atau pengarah pada suatu hari nanti.

Amirah Yahya, yang memainkan watak Juli dalam 'Bohong' dan watak Murni dalam 'Janji' biasa berlakon di televisyen dalam drama-drama terbitan saluran Mediacorp Suria.

"Berlakon dalam wadah teater ini dapat memberi saya ruang untuk saya memperkasakan lagi bakat dan kemahiran saya dalam lakonan. Tetapi pengarahan adalah salah satu bidang yang mana saya hendak sangat mencuba. Platform yang baik untuk kita yang ingin mencuba sesuatu yang baharu atau mengasah kemahiran kita, baik dari segi lakonan atau di belakang tabir," kongsi beliau.

Pementasan kembar di bawah siri Black Box oleh Teater Kami akan dipentaskan mulai Jumaat 19 Julai hingga Ahad 21 Julai di Teater Kami Black Box, Cairnhill Arts Centre.

Pementasan yang disokong Majlis Seni Kebangsaan dan Dana Kesenian itu juga diharap mencetus perbincangan mendalam di kalangan hadirin.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan