Skip to main content

Singapura

BERITA+ SIFA 2025 UMBILICAL KAKOKI: Meraikan identiti budaya SG

Melangkaui batasan apa yang boleh dicapai oleh sesebuah festival seni.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Melangkaui batasan apa yang boleh dicapai oleh sesebuah festival seni.

Begitulah tema ‘Lebih Daripada Sebelumnya’ atau 'More than Ever' Pesta Seni Antarabangsa Singapura (SIFA) 2025, yang akan berlangsung dari Jumaat, 16 Mei hingga 1 Jun.

SIFA merupakan pesta seni pentas utama Singapura. Ia anjuran Arts House Limited dan dikomisyenkan Majlis Seni Kebangsaan.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), SIFA meraikan identiti budaya tempatan yang dinamik serta pandangan berani ke arah masa depan.

Festival tahun ini membuka tirai di Astaka SIFA yang julung kali diadakan di Bedok Town Square, sebuah ruang awam yang diubah menjadi pentas pelbagai disiplin seni.

Antara persembahan pembuka tirai adalah 'KaKoKi', oleh kumpulan genderang Nadi Singapura.

Wartawan Roslinda Rahmat meninjau persembahan 'KaKoKi' dan satu lagi produksi bertajuk Tali Pusat atau ‘Umbilical’.

MENJULANG WARISAN, MENJUNJUNG EMOSI

Dalam dunia yang sentiasa berubah, dua persembahan terbaru di Singapura - 'Umbilical' dan 'KaKoKi' - mengajak penonton menyelami akar sejarah, warisan, dan emosi dengan pendekatan yang mendalam dan penuh inovasi.

'Umbilical' adalah sebuah persembahan multimedia yang diilhamkan daripada peristiwa bersejarah pemisahan Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965.

Gabungan pergerakan tubuh, muzik eksperimental, visual artistik dan kecerdasan buatan (AI) menjadikan karya itu satu pengalaman pementasan yang unik.
Satu babak daripada ‘Umbilical’ memaparkan Rizman Putra membuat pergerakannya di atas pentas. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
"'Umbilical' mengkaji tentang emosi pada waktu itu. Tak tahu apa keadaan kalau dia pilih Malaysia, apa akan terjadi? Kalau dia pilih Singapura, apa akan terjadi? Jadi dia runsing dan situasi pun bagi dia kira miskin, macam susah tiada pekerjaan pasal Singapura belum lagi dibangunkan pada waktu itu," jelas Zul Mahmod, Seniman Muzik bagi pementasan 'Umbilical' semasa ditemui di ruang latihan mereka yang terletak di Chai Chee.
Zul bergabung bersama dua lagi seniman, Rizman Putra (pergerakan) dan thesupersystem (visual) untuk membentuk sebuah persembahan yang menyerupai tubuh manusia, di mana setiap elemen seni berfungsi seperti organ yang hidup dan bernafas bersama.
Seniman bunyian, Zul Mahmod dari ‘Umbilical’. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)

Rizman Putra, satu-satunya individu di atas pentas, menyampaikan naratif bukan dengan kata-kata, tetapi sepenuhnya menerusi gerakan tubuhnya.

"Saya tidak menggunakan kata-kata. Hanya menggunakan pergerakan. Rakan pentas saya adalah projeksi visual dengan muzik. Jadi di atas pentas itu, saya berdialog dengan mereka - projeksi visual dan muzik itu. Lantas untuk menjiwainya, saya harus faham apa yang dipersembahkan daripada segi projeksi visual ataupun muzik. Itulah cabaran terbesar bagi saya," kongsi, Rizman Putra.

Dengan bantuan AI, gambaran masa lalu dihidupkan semula dalam bentuk seni visual, menyampaikan emosi dan kekeliruan rakyat biasa sewaktu detik pemisahan.

"Kita tidak berbual tentang politik. Kita berbual pasal insan sehari-hari, macam orang di tepi jalan, macam orang yang ada keluarga di seberang tambak," jelas seniman visual bagi pementasan 'Umbilical' yang hanya ingin dikenali menerusi nama seninya, thesupersystem.

Konsep 'Umbilical' jauh berbeza daripada teater tradisional. Ia mengetengahkan pendekatan kontemporari yang mencabar persepsi umum terhadap pementasan seni.

"Mungkin bagi penonton yang suka menonton teater yang tradisional, ia sangat berbeza kerana pengalaman yang baru ini sangat penting. Jadi kalau kita tidak dapat merasai satu persembahan yang baharu, kita tak tahu pada masa depan, apa yang akan berlaku. Kita menggunakan teknologi ini agar dapat mencetus satu persembahan yang baru, yang kontemporari," ujar Rizman.

Beliau turut menggambarkan 'Umbilical' sebagai sebuah ruang pementasan yang mewakili tubuh manusia di mana setiap elemen seni adalah organ yang menyumbang kepada emosi kolektif.

"Mungkin untuk memahami konsep persembahan ini, di dalam ruang itu seperti dalam tubuh-badan seseorang. Jadi elemen-elemen seperti seni visual pergerakan, muzik itu semua adalah satu organ yang hidup. Jadi kita berfungsi seperti manusia di dalam persembahan itu, jadi penonton dapat merasai emosi itu," katanya.

Dan seperti tajuknya, 'Umbilical' atau tali pusat menjadi metafora kepada hubungan yang tidak pernah benar-benar terputus.

"Ia berlainan daripada teater biasa. Kan kita biasa menggunakan skrip, kita menggunakan idea? Dan seperti setiap latihan itu, kita akan soal-siasat. Adakah ini ok? Ini boleh terjadi tak?," tambahnya.

Walaupun mungkin kelihatan asing bagi sesetengah khalayak, terutamanya dalam masyarakat Melayu, persembahan itu sebenarnya menawarkan ruang untuk penonton mendekati seni kontemporari dengan perspektif yang lebih luas dan reflektif.

SENI SEBAGAI CERMIN MASYARAKAT

Jika 'Umbilical' mengangkat sejarah menerusi pendekatan eksperimental, 'KaKoKi' pula membumikan pencarian identiti melalui paluan genderang dan gerak tubuh.

Ia sebuah persembahan yang tidak hanya bersifat artistik, tetapi juga bersifat reflektif terhadap kehidupan kota dan masyarakat Melayu masa kini.

Pengarah Persembahan 'KaKoKi', Riduan Zalani berkata ia "Persembahan yang menggabungkan penggunaan alat-alat muzik Melayu kita dalam satu suasana kontemporari. Semoga ia menyemarakkan semangat masyarakat Melayu kita untuk bersama meneliti pergerakan budaya dan kesenian di Singapura."

Di bawah bimbingan Riduan serta Penolong Pengarah Artistik Nadi Singapura, Mohammad Nizarfauzi Norlie, setiap elemen dalam 'KaKoKi', daripada paluan gendang hingga hayunan tangan, membawa makna tersirat, penuh lapisan simbolik dan emosi.

Mohammad Nizarfauzi Norlie dari Nadi Singapura. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
"Frasa seperti ‘biji yang ditanam, darah yang mengalir’ membawa makna yang mendalam tentang warisan, pengorbanan dan harapan. Setiap kali kita pukul gendang ataupun setiap gerak yang kita buat dan setiap senandung, menjadi saluran bagi puisi itu untuk bersuara secara visual, emosi dan rohani," ujar Nizar.

Bagi Riduan, pentas 'KaKoKi' juga menjadi ruang untuk menyuarakan kekuatan dalaman masyarakat daripada cabaran yang dilalui seharian, hinggalah ke harapan yang dibina dalam diam.

"Untuk kita menyelami kesedaran diri ini dan apa yang membawa makna yang lebih mendalam. Saya bersama teman-teman merasakan bahawa kedamaian di hati seseorang itu lebih penting. Walaupun ribut taufan melanda, akan tetapi saya tetap teguh berdiri dengan membuat sesuatu yang membawa kebaikan dan manfaat kepada semua. Jadi, menggunakan pergendangan ini dengan muzik, dengan pentas yang disediakan, kami mengharap 30 atau 35 minit persembahan itu dapat membawa penonton sama merasakan fasa-fasa atau emosi-emosi yang wujud apabila kita menatap kehidupan," ujar Riduan.
Riduan Zalani ingin memburu sesiapa yang mematikan semangat. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Gerak tubuh yang ditampilkan dalam 'KaKoKi' berpunca daripada pemerhatian jujur terhadap kehidupan seharian masyarakat kota.

Dari situlah lahir empati serta kesedaran yang memperkaya seni persembahan.

"Membuka mata dan hati saya. Yang paling menyentuh adalah ketika kami berkongsi dengan anggota-anggota Nadi Singapura tentang pengalaman mereka membesar dalam masyarakat yang serba berubah. Dari situ, saya sedar bahawa seni bukan hanya tentang estetika tetapi juga tentang kejujuran dan keberanian untuk menyuarakan realiti. dan kolaborasi ini memperkaya karya kami. Betapa kuatnya kuasa kolektif itu untuk kami mencipta seni yang berakar pada komuniti itu sahaja," kongsi Nizar.

Dalam dunia yang sering mendesak kita untuk melupakan akar budaya, 'KaKoKi' berdiri sebagai satu peringatan bahawa denyutan nadi warisan bangsa masih kuat berdegup.

Kata Riduan dengan tegas, "Saya ingin memburu sesiapa sahaja yang membunuh dan mematikan semangat! Dengan ketiadaan satu institusi seni, adakah ia melambangkan kita tidak boleh maju ke hadapan bersama tradisi dan warisan kita? Semoga semangat, denyutan nadi terus berdenyut seantero nusantara, dan mungkin seluruh dunia," doanya.

'Umbilical' dan 'KaKoKi' membuka tirai SIFA 2025 hujung minggu ini.

Daripada multimedia avant-garde hingga paluan genderang Melayu, kedua-duanya mengingatkan kita bahawa dalam dunia moden, emosi dan warisan tetap nadi kehidupan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita