Skip to main content

Singapura

BERITA+: SGFR Store, The French American Bakery - dua jenama tempatan kembangkan perniagaan meski landskap runcit suram. Apa rahsia kejayaannya?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Mar 2026 06:03PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 01:59AM
  • SGFR Store dan The French American Bakery berjaya membuka cawangan baharu di pusat beli-belah utama Singapura walaupun landskap runcit mencabar.
  • SGFR Store menutup beberapa cawangan lama untuk menampung kos dan memilih lokasi strategik, dengan fokus pada demografi milenial dan dewasa muda.
  • The French American Bakery menilai trafik pelanggan dan menyediakan dana simpanan sebelum membuka cawangan, memastikan kestabilan jualan dan operasi.
  • Kartina Rosli menekankan keputusan perlu berdasarkan analisis kewangan dan kesesuaian pasaran, bukan sekadar aspirasi meningkatkan profil jenama.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Di tengah landskap perniagaan runcit yang mencabar, masih terdapat perniagaan yang terus berkembang pesat, membuka cawangan baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Antaranya ialah SGFR Store dan The French American Bakery, yang masing-masing telah memperluaskan operasi mereka pada awal tahun ini.

Persoalannya, apakah faktor yang mendorong langkah berani ini?

SGFR STORE BUKA DUA CAWANGAN BAHARU DALAM TEMPOH SEBULAN; TEMBUSI PUSAT BELI-BELAH UTAMA

Bukan satu tetapi dua cawangan baharu SGFR Store dibuka di pusat beli-belah awal tahun ini, di Bedok Mall dan Northpoint City dalam tempoh sebulan.

Malah, kedua-duanya dibuka di pusat beli-belah utama di bawah CapitaLand dan Frasers Property, pertama kali bagi SGFR Store selepas tiga tahun bertapak.
Related article image
Pengasas SGFR Store, Mohamed Haikkel Firdhaus. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Kami juga menjadikan (cawangan itu) lebih besar. Saya rasa ia hampir seganda lebih besar daripada semua kedai SGFR yang lain,” ujar Pengasas SGFR Store, Mohamed Haikkel Firdhaus.

Kini, SGFR Store memiliki lapan cawangan di serata Singapura.
Related article image
Pengasas SGFR Store, Mohamed Haikkel Firdhaus menyelia operasi cawangan baharu di Bedok Mall. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
SGFR Store ialah sebuah kedai yang menjual snek dan gula-gula antarabangsa. Namun, sejak pertengahan 2025, syarikat itu mula menghasilkan produk sendiri, yang kini merangkumi sekitar 60 peratus daripada keseluruhan barangan yang dijual di kedai.
Related article image
Produk "Goal Crunch" antara yang dihasilkan SGFR Store sendiri. Produk sedemikian kini merangkumi sekitar 60 peratus daripada keseluruhan barangan yang dijual di kedai. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ketika kebanyakan peruncit memilih mengambil pendekatan berhati-hati, SGFR Store sebaliknya memilih untuk melangkah berani dalam mengembangkan jenamanya.

Menurut Encik Haikkel, yang berusia 24 tahun, langkah menembusi pusat beli-belah utama itu bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses membina asas yang kukuh terlebih dahulu.

“Kami memerlukan keupayaan untuk membayar kos sewa yang lebih rendah terlebih dahulu dan membina keyakinan itu sebelum kami boleh menembusi salah satu pusat beli-belah utama di Singapura, di mana sewanya adalah 3 atau 4 kali ganda,” jelasnya.

Bagi membuka cawangan di Bedok Mall dan Northpoint City, SGFR Store menutup sekurang-kurangnya tiga cawangan, termasuk di Bukit Timah Plaza dan Siglap Centre.

Langkah ini sebahagiannya membantu menampung kos pembukaan satu cawangan baharu yang mencecah hampir S$100,000.
Related article image
Cawangan SGFR Store di Bedok Mall. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ini ditambah pula dengan kos sewa bulanan di lokasi di pusat beli-belah utama seperti di CapitaLand Malls dan Frasers Property yang mencecah lima angka, iaitu empat kali lebih tinggi berbanding pusat beli-belah lebih kecil.

“Jika anda tidak mempunyai keupayaan untuk memasarkan diri anda dengan baik atau kesedaran jenama anda tidak cukup kukuh, anda mungkin tidak dapat menarik orang untuk datang,” kata Encik Haikkel.

Ini lebih ketara memandangkan sekitar 80 peratus pelanggan mereka terdiri daripada golongan milenial dan dewasa muda.

Mengulas lanjut mengenai demografi tersebut, beliau berkata:

“Saya rasa golongan milenial dan dewasa muda adalah mampan untuk kami kerana mereka sudah bekerja dan mereka sudah mempunyai pendapatan untuk mencuba beberapa snek tular ini. Jadi kami melabur agak banyak dalam memasarkan produk kami.”

APAKAH ISYARAT DI SEBALIK PENEMBUSAN KE PUSAT BELI-BELAH UTAMA?

Timbul persoalan, apakah makna di sebalik langkah sesuatu jenama menembusi pusat beli-belah utama?

Anggota Lembaga Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMCCI), Cik Kartina Rosli, yang juga merupakan Pengasas Tin Communications menjelaskan:

“Apabila jenama tempatan berjaya menembusi pusat beli-belah utama di bawah CapitaLand atau Fraser Property, ia menghantar isyarat atau signal bahawa jenama tersebut mempunyai kredibiliti jenama yang diyakini.
Related article image
Anggota Lembaga SMCCI, Cik Kartina Rosli, yang juga merupakan Pengasas Tin Communications. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Namun, menurut Cik Kartina, keinginan untuk meningkatkan profil jenama sahaja tidak mencukupi untuk menembusi pusat beli-belah.

Faktor seperti demografi pelanggan dan kesesuaian jenama turut menjadi pertimbangan penting sebelum sebarang keputusan dibuat — lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sewa yang terus meningkat.

Struktur sewa serta tempoh kontrak yang panjang boleh memberi tekanan besar terhadap aliran tunai sekiranya jualan tidak mencapai sasaran. Selain itu, kedudukan jenama dan profil pengunjung turut boleh menjejaskan prestasi perniagaan.

Related article image
Anggota Lembaga SMCCI, Cik Kartina Rosli. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Keputusan ini perlu dibuat berdasarkan analisis data unjuran kewangan dan kesesuaian pasaran. Bukan semata-mata hanya kerana aspirasi mereka untuk meningkatkan profil jenama,” jelas Cik Kartina.

THE FRENCH AMERICAN BAKERY KETEPI DANA SIMPANAN SETIAP KALI BUKA CAWANGAN BAHARU BAGI NILAI PRESTASI
 
Related article image
Antara produk yang ditawarkan di cawangan The French American Bakery di CapitaSpring. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Bagi bakeri tempatan The French American Bakery, jumlah pelanggan yang membeli produknya menjadi kayu ukur dalam keputusannya menambah cawangan.

Bermula dengan cawangan sulung di Haji Lane, kini ia memiliki lima cawangan, dengan yang terbaharu di CapitaSpring.
Related article image
Pengarah The French American Bakery, Encik Hamano Shinichi. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Yang paling penting ialah trafik yang tinggi, tetapi kualiti trafik juga penting. Ini kerana ramai pelanggan lalu-lalang di kedai, tetapi mereka perlu singgah di kedai dan membeli-belah,” kata Pengarah The French American Bakery, Encik Hamano Shinichi.

Menurutnya, tempoh tiga hingga enam bulan pertama amat penting untuk menilai sama ada sesuatu lokasi mampu menjana jualan stabil serta membina kesedaran jenama.
Related article image
Encik Hamano Shinichi berbual bersama salah seorang kakitangannya di cawangan The French American Bakery di CapitaSpring. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
“Kerana trend pasaran dan penggunaan pasaran naik turun. Kadang-kadang dalam musim puncak, tidak begitu ramai asas pelanggan. Walau bagaimanapun, jika anda cuba untuk bertahan semua perniagaan dalam tiga bulan dan hingga enam bulan, ia dianggap sihat,” jelas Encik Hamano Shinichi.

Cik Kartina turut menekankan pentingnya dana simpanan tambahan sebelum menilai prestasi perniagaan masing-masing.

“Simpanan 6 hingga 12 bulan diperlukan untuk melihat sejauh mana prestasi perniagaan di pusat beli-belah dan sebagai dana simpanan atau "buffer", sekiranya jualan tidak stabil, ia membantu perniagaan bertahan sementara menilai prestasi dan menampung kos operasi jika berlaku kekurangan aliran tunai,” kata Encik Shinichi.

Dalam landskap runcit yang ada pasang surutnya, setiap keputusan untuk berkembang datang dengan risiko tersendiri.

Bagi perniagaan seperti SGFR Store dan The French American Bakery, kejayaan bukan sekadar membuka lebih banyak cawangan.

Hakikatnya, setiap langkah perlu dipastikan mampu bertahan dan berkembang dalam jangka panjang.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita