Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Semangat satu-satunya kumpulan kompang wanita di S'pura untuk terus hidupkan seni persembahan itu

Bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana, paluan kompang boleh dianggap sebagai penyeri majlis perkahwinan orang Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana, paluan kompang boleh dianggap sebagai penyeri majlis perkahwinan orang Melayu.

Hingga ke hari ini, terdapat lebih 10 kumpulan kompang yang masih lagi aktif di Singapura.

Jika biasanya kumpulan kompang lebih menampilkan anggota lelaki, lain pula halnya bagi kumpulan yang satu ini - kesemua mereka kaum Hawa.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Orang selalu kalau nampak kumpulan wanita mereka akan 'wah' besar. Lelaki selalunya paluannya lebih kuat, lebih deras dan paluan wanita adalah lembut.

"Lagu-lagu dia selalunya tak ada beza. Cuma kalau seni kata sama. Kalau bahagian lelaki bawa dia akan menjadi garang sikit. Waktu perempuan bawa dia akan jadi lembut," kata Penasihat dan Guru, Sri Kandi RIA, Cik Aridah Hadi.

Kumpulan itu ditubuhkan pada 1980, sebagai sebahagian daripada Persatuan Ikrab RIA yang dimulakan oleh abang Cik Aridah sendiri.

Sebahagian besar anggotanya merupakan pemain kompang lelaki.

Minat bermain kompang dalam kalangan anggota wanita ketika itu mencetuskan idea untuk menubuhkan cabang wanita kumpulan itu yang diberi nama Sri Kandi RIA.



"Pada zaman dahulu, ramai juga kumpulan wanita. Kita dimulakan sebab kita ramai ahli wanita. Ramai ahli wanita jadi kita nak cuba kekuatan wanita itu bagaimana," ujar Cik Aridah.

Ia kini satu-satunya kumpulan kompang wanita di Singapura yang masih bertahan selepas empat dekad.

Dengan sokongan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Jurong Spring, mereka dapat berlatih di kelab masyarakat tersebut sehingga enam jam setiap minggu, bagi mempersiapkan diri untuk undangan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan.

Bergantung kepada permintaan majlis, kumpulannya boleh menerima sekurang-kurangnya S$400 bagi sesebuah majlis.

"Umpamanya kita keluar, kita mendapat wang sagu hati tapi biasanya kita akan bagi-bagi pada mereka dan jumlah berapa peratus itu kita akan masukkan ke dalam dana kami dan dana itu akan digunakan bila kita nak lakukan sesuatu. Umpama kita nak pergi ke luar negara, atau kita nak buat sesuatu program, kita akan ambil dari dana itu," kata Cik Aridah.

Namun memandangkan kebanyakan permintaan adalah bagi kumpulan lelaki, Cik Aridah menyelitkan beberapa anggota wanitanya untuk menyokong persembahan tersebut.

"Selalunya mereka akan mengundang pihak bahagian lelaki sebab kirakan pada mereka wanita ini mungkin lembut ke apa. Jadi apa yang kita lakukan, kita akan campurkan. Kemudian kita akan buat persembahan.

"Dalam arena ini, kebanyakannya adalah lelaki. Perempuan harus kuat semangat dan kita harus berlatih bersungguh-sungguh," jelas Cik Aridah.

ERATKAN SILATURAHIM KELUARGA MELALUI KOMPANG

Menariknya juga, hampir kesemua 14 anggotanya juga merupakan ahli keluarga Cik Aridah sendiri.

Ia juga adalah satu usaha untuk mengeratkan silaturrahim keluarganya sejak dulu lagi.

(Gambar: Sri Kandi RIA)

"Itu misi abang Kak Aridah supaya kita menyatukan adik beradik, kita saling berjumpa tiap-tiap minggu. Jadi kita, tidaknya kita berpisah," tambahnya.

Selain membuat persembahan di majlis-majlis tempatan, kumpulan itu juga giat menyertai pertandingan dan menjelajah ke luar negara untuk membuat persembahan.

"Pertama yang kita kembara adalah di Kuala Lumpur. Kemudian kita ke Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan yang terakhir sebelum COVID-19, kita ada ke Karimun, Indonesia," jelasnya.

(Gambar: Sri Kandi RIA)

Meskipun permintaan bagi persembahan kompang dari kumpulan wanita tidak sebanyak dahulu, Cik Aridah berharap lebih ramai anak muda, khususnya golongan wanita akan tampil menjadi pelapis dalam seni tersebut.

Bagi tujuan itu, kumpulannya juga akan menganjurkan sebuah pertandingan kompang pada bulan hadapan.

Dengan itu, mereka berazam untuk meningkatkan semula taraf seni persembahan kompang di Singapura.

Cik Aridah berkongsi harapan: "Setelah sekian lama kirakan kumpulan wanita tenggelam di Singapura. Jadi itulah sebab kita bawa balik setidak-tidaknya kumpulan wanita ini akan dikenalkan kembali."

Bukan sahaja melawan stigma, srikandi-srikandi itu tekad berjuang mempertahankan seni, bukan sahaja demi pertalian silaturahmi tapi juga untuk memartabatkan adat dan tradisi.

3 PERBEZAAN PERSEMBAHAN KOMPANG LELAKI & WANITA

1. Setiap kumpulan kompang biasanya mempunyai antara lapan hingga 10 anggota.

Namun, kumpulan wanita memerlukan anggota yang lebih ramai bagi mendapatkan bunyi paluan yang lebih kuat.

2. Dari segi pemakaian , tanjak atau songkok wajib dipakai untuk kaum lelaki manakala kaum wanita pula diperlukan memakai tudung bagi menghormati sesebuah majlis yang dihadiri.

3. Setiap persembahan kompang lazimnya mengambil masa antara lapan hingga 15 minit bergantung kepada lagu yang dipersembahkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan