Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Semakin ramai peminat seni pedang kuno Eropah

Filem-filem seperti 'Gladiator' dan 'Kingdom of Heaven', yang berlatarbelakangkan Empayar Rom dan abad pertengahan, sering memukau penonton dengan adegan pertempuran dan pertarungan pedang yang epik.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Filem-filem seperti 'Gladiator' dan 'Kingdom of Heaven', yang berlatarbelakangkan Empayar Rom dan abad pertengahan, sering memukau penonton dengan adegan pertempuran dan pertarungan pedang yang epik.

Di Singapura, minat terhadap seni mempertahankan diri sejarah Eropah (HEMA) dari zaman tersebut semakin mendapat perhatian.

Bahkan, jumlah peserta yang terlibat dalam kegiatan itu semakin meningkat di sekitar tiga akademi HEMA yang ada di negara ini.

REALISASIKAN MINAT FILEM ABAD PERTENGAHAN MENERUSI AKADEMI LAWAN PEDANG

Pertarungan epik zaman Medieval, yang merangkumi adegan pertempuran, perlagaan pedang, dan kapak, telah menarik minat Muhammad Faris Abdul Rahim, 30 tahun.

Faris, yang bekerja sebagai penganalisa keselamatan, berkata: "Saya tertarik dengan sejarah zaman Medieval dan sebelumnya, terutamanya cara orang bertempur. Saya juga suka membuat kajian, terutama jika ada perkara menarik dari zaman tersebut. Selain itu, saya gemar bermain permainan seperti 'Total War Games', yang lebih fokus kepada strategi dan taktik."

Namun, minatnya tidak hanya terhad di skrin sahaja.

Untuk merealisasikan minatnya, Faris menyertai Akademi Bastion HEMA (Historical European Martial Arts) sejak 2022.

Di akademi tersebut, impiannya untuk menjadi seorang wira zaman dulu seakan-akan menjadi kenyataan.

Faris mempelajari seni pedang Medieval sambil mendalami manuskrip kuno dari abad ke-13.

Apa yang diajar di Bastion HEMA bukan sekadar rekaan, tetapi ilmu yang berakar dari tradisi dan sejarah yang sebenar.

Pengasas Bersama akademi itu, Cik Langley Qu berkata: "Apa yang kami ajar dan pelajari di sini adalah dari manuskrip asal yang telah diwariskan oleh para guru Jerman, terutamanya tradisi Jerman. Kami mempelajari dan mengajarnya seperti mana ia dipraktikkan dalam manuskrip tersebut."

"Kami perlu mempelajarinya dengan mendalam. Menerusi gambar-gambar, kami cuba tafsir apa yang cuba diajar oleh para guru," jelas beliau lagi.

KESELAMATAN DIUTAMAKAN, KELAS IKUT KEMAHIRAN PESERTA

Di akademi Bastion, keselamatan sentiasa diutamakan walaupun dalam sesi "pertempuran".

Setiap gerakan dipantau dengan teliti oleh jurulatih berpengalaman, seperti Usaid Alfatih, 30 tahun.

Para penggiat dilengkapi dengan senjata yang dibuat daripada bahan seperti styrofoam, kayu, dan nylon untuk memastikan latihan berlangsung dengan selamat.

Untuk pengalaman berlawan yang lebih autentik, terdapat juga senjata yang diperbuat daripada besi, digunakan dalam latihan yang lebih realistik.

"Yang besi, memang berat. Kalau pedang satu tangan, beratnya satu kilo. kalau pedang dua tangan pula, beratnya hampir 2 kilogram. Tetapi, besi ini, tidak tajam. Hujungnya lembut, jadi apabila kita membuat tikaman, pedang itu menjadi fleksibel," jelas Encik Usaid.

Walaupun kelas-kelas di Bastion HEMA terbuka kepada semua, ia dibahagikan mengikut tahap kemahiran setiap peserta.

"Untuk ikuti kursus asas dan kami ada senarai semak, serta sesi penilaian di mana kami mempunyai panel jurulatih untuk menguji teknik dan ketahanan sebelum mereka maju ke tahap seterusnya," ujar Cik Qu.

CABAR TAHAP KECERGASAN, BUKAN SEKADAR HIDUPKAN IMAGINASI DALAM FILEM

Berlawan pedang bukan sekadar untuk memenuhi fantasi epik seperti yang sering digambarkan dalam filem.

Sebaliknya, ia adalah aktiviti fizikal yang menguji kekuatan, daya tahan, dan kecergasan.

Meskipun Encik Faris telah menyertai Bastion HEMA selama dua tahun, beliau mengakui bahawa latihan yang diikutinya masih tetap memenatkan dan mencabar.

"Menyertai Bastion HEMA telah membuka minda saya untuk tahu apa yang fiksyen dan apa yang benar. Kalau dalam filem, boleh lihat orang akan lawan secara berterusan, tetapi apabila kita melakukannya, setelah beberapa pusingan lawan, saya sudah tercungap-cungap," kongsi Encik Faris.

MINAT SEMAKIN BERKEMBANG, JUMLAH PESERTA NAIK LEBIH 20 KALI GANDA

Sejak diasaskan hampir lapan tahun lalu, minat terhadap kegiatan di akademi tersebut kian meningkat.

Cik Qu berkata: Kami ada kira-kira 130 ahli sekarang ini. Ia merupakan jumlah yang besar. Pada mulanya, kumpulan kami hanya kira-kira lima orang sahaja."

"Untuk saya, minat dalam seni ini belum capai puncaknya kerana media global kini sedang mengembangkan minat terhadap seni ini menerusi program-program TV atau permainan. Saya tidak rasa minat dalam seni ini akan mendatar," tambah beliau lagi.

Encik Usaid pula menambah: "Dari segi masyarakat Melayu, memang meningkat. Dahulu, saya seorang saja pelajar Melayu, sekarang sudah ada sekurang-kurangnya 10 peserta bangsa Melayu di akademi ini."

Untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Bastion HEMA telah mula menawarkan pelbagai kelas, termasuk yang khusus untuk kanak-kanak dan wanita.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan