Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Semakin ramai orang Melayu berminat main golf; ramai sertai wisata golf ke luar negara sejak sempadan dibuka

Sejak sempadan dibuka semula, semakin ramai yang bercuti ke luar negara bukan sekadar beriadah tetapi juga untuk bersukan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejak sempadan dibuka semula, semakin ramai yang bercuti ke luar negara bukan sekadar beriadah tetapi juga untuk bersukan.

Salah satunya ialah sukan golf dan ini sehinggakan ada rombongan wisata golf ke negara-negara jiran. 

Dalam masa lima tahun kebelakangan ini, semakin ramai masyarakat Melayu juga didapati mula berjinak-jinak dalam sukan itu.

GOLF SUKAN VERSATIL - BOLEH DIMAINKAN SEMUA LAPISAN USIA

Sepanjang 30 tahun, golf sudah menjadi sebahagian daripada hidup Encik Zaf Shaari sehingga menjadi satu sumber rezeki bagi dirinya.

Menerusi lelaman 'GolfplusOneMedia' yang dimulakannya, beliau dapat berkongsi maklumat tentang sukan itu di samping acara-acara dan kejohanan yang dianjurkannya di dalam dan luar negara.

"Saya melihat lebih ramai pemuda pemudi menceburi permainan ini melalui pergi ke tempat seperti 'driving range', sebelum mereka bermain di lapangan. Saya melihat ada peningkatan dalam masyarakat kita. Mungkin anak-anak muda bermain dengan bapa mereka," kata Encik Zaf.

Ini memandangkan sukan golf ini katanya sesuai dimainkan semua peringkat usia.

"Berbanding sukan-sukan yang lain seperti bola sepak atau futsal, anda tidak boleh meletak seseorang yang berusia 70 tahun untuk bermain bola dengan seseorang yang berusia 25 tahun tapi dalam sukan golf, yang lebih tua boleh bersaing dengan pemuda," tambah Encik Zaf.

SANGGUP BELANJA BERIBU DOLAR JADI AHLI 'COUNTRY CLUB' KERANA HOBI

Untuk bermain golf di Singapura, lazimnya seseorang itu perlu menjadi ahli sesebuah 'country club'.

Namun kos tersebut boleh mencecah sehingga S$30,000 setahun.

Lantaran itu, sesetengah pemain di sini 'melepaskan gian' di negara-negara jiran kerana kosnya yang lebih dimampui dek kadar pertukaran mata wang dan peraturan kelab yang lebih fleksibel.

Bagi Encik Zak Hashim, yang mula bermain golf sejak awal tahun 2000, beliau menjadi anggota salah sebuah 'country club' di Johor, Malaysia.

Apabila sempadan ditutup dek COVID-19, hobinya juga terhambat.

"Selama dua setengah tahun saya tidak bermain golf. Apabila diberitahu sempadan dibuka semula pada April lalu, saya pun pulang ke 'range' untuk berlatih supaya dapat bermain," kata Encik Zak.

"Dalam seminggu, saya akan turun ke padang sekitar tiga hingga empat kali. 
Kalau dibandingkan dengan mata wang Singapura dengan Malaysia, cuma perlukan S$30 boleh main golf di Malaysia. Kalau di Singapura, paling kecil pun S$120."

Tugasnya sebagai Pengurus Besar dalam sektor Makanan dan Minuman (F&B) juga memberinya kesempatan untuk kerap ke seberang tambak.

"Sekiranya kalau saya bertugas ke luar negara, saya akan membawa set golf untuk bermain, kebanyakan di Indonesia dan Malaysia," jelas Encik Zak.

Seorang lagi peminat golf, Encik Jamal Saini turut mempunyai keanggotaan di 'country club' luar negara.

Beliau yang mula bermain sejak 1997,  mengambil keputusan untuk menjadi anggota di kelab NSRCC di Changi iaitu khusus buat anggota dan bekas anggota perkhidmatan negara.

"Sewaktu COVID-19 kerana kita tidak boleh masuk ke Malaysia, jadi ada 'offer'. Jadi saya menjadi anggota selama 5 tahun tetapi di Malaysia, saya sudah lama menjadi anggota. Itu adalah keanggotaan seumur hidup," kata Encik Jamal. 

Dia mengeluarkan belanja sekitar S$2,000 untuk keahlian tersebut.

Tugasnya sebagai pemandu Grab juga memberinya masa untuk 'turun padang' sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Walau bagaimanapun, beliau mengeluh juga kerana terkadang susah mendapat slot untuk bermain golf.

"Agak susah juga nak main di sini sebab anggotanya terlalu ramai. Jadi kita harus mengambil giliran. Kadang-kadang kalau nasib tak baik kadang-kadang satu bulan pun tak dapat main di sini," ujarnya. 

LEBIH MURAH & FLEKSIBEL ANTARA SEBAB RAMAI MAHU BERMAIN DI LUAR NEGARA 

Bagi memenuhi permintaan para pemain golf Singapura yang mahu cuba bermain di padang-padang golf di luar negara, Encik Zaf turut menawarkan khidmat wisata golf. 

Menurutnya, Indonesia merupakan salah satu destinasi popular dalam kalangan pemain golf tempatan, khususnya masyarakat Melayu kerana lebih mudah berkomunikasi dan pilihan makanan yang ada.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Di kawasan Nongsapura, Batam misalnya, terdapat beberapa padang golf yang sudah sekian lama menjadi 'port' pemain Singapura kerana saiz padangnya yang luas dan pemandangannya yang indah.

Di samping itu, Encik Zaf juga menyaksikan semakin ramai orang Melayu yang berjinak-jinak dalam sukan ini. 

Sejak 2016, jumlah pemain golf dari kalangan masyarakat Melayu meningkat antara 30 hingga 50 peratus.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Terdapat peningkatan semenjak sempadan dibuka. Dua minggu yang lalu, semasa satu kejohanan di Jakarta, Indonesia, saya membawa pemain golf dari Singapura dan Malaysia dan majoriti pemain-pemain golf adalah dalam lingkungan 70 peratus masyarakat kita. Jadi ia satu petanda yang baik yang masyarakat kita sangat aktif dalam golf," ujar Encik Zaf.

Encik Zaf berharap supaya lebih ramai yang bersikap terbuka kepada sukan tersebut dan menyangkal bahawa golf adalah satu sukan yang mahal.

"Kalau nak mulakan bermain golf, jangan beli peralatan yang baru kerana ia mahal. Pinjam dahulu dan kalau anda memang berminat dengan permainan golf, mungkin boleh membeli peralatan yang terpakai.

"Anda juga boleh mendapatkan khidmat pemain golf profesional dipanggil 'golfpro' untuk mengajar asas permainan golf'," nasihat Encik Zaf.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut tinjauan yang dilakukan di Instagram BERITAmediacorp, hanya 38 peratus daripada pengikut kami yang mahu mencuba sukan golf.

Namun kata orang tak kenal maka tak cinta. 

18 PADANG GOLF INTERAKTIF BERTEMAKAN WATAK DISNEY DAN PIXAR

Sempena cuti sekolah ini, ada peluang bagi bagi membawa seisi keluarga mencuba bermain golf di tarikan golf mini 'Pixar Putt'.

Tarikan bergerak itu kini membuat perhentian pertamanya di Asia iaitu di Singapura, selepas Amerika Syarikat dan Australia.

(Facebook/Pixar Putt Asia)

Ia menampilkan 18 'padang golf' dengan watak-watak popular Disney dan Pixar untuk menarik minat si cilik di samping mendedahkan mereka kepada sukan golf.

Lebih menarik lagi, ia juga mengandungi elemen-elemen interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.

'Pixar Putt' terletak di Waterfront Promenade, berdekatan Marina Bay Sands dan dibuka setiap hari.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan