BERITA+: Sekolah-sekolah pupuk rasa cinta terhadap bahasa & budaya Melayu dengan bangsawan
Usaha menarik minat golongan pelajar kepada seni lakonan bangsawan terus dipergiat melalui pertandingan seperti yang dianjurkan syarikat seni tempatan, Opera Academy.
SINGAPURA: Usaha menarik minat golongan pelajar kepada seni lakonan bangsawan terus dipergiat melalui pertandingan seperti yang dianjurkan syarikat seni tempatan, Opera Academy.
Ia menawarkan pengalaman luar biasa untuk para pelajar mempamerkan minat mereka terhadap bahasa ibunda dan lebih menghargai budaya dan seni Melayu.
Demi memburu kemenangan, para peserta seperti Mulhim Mahmud dari Sekolah Menengah Bukit Batok (BBSS) perlu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk menjiwai watak dalam sebuah pementasan bangsawan.
Dalam pertandingan Piala Bangsawan ini, Mulhim perlu menghidupkan watak ketua daerah 'Demang Lebar Daun'.
Ini juga kali pertama Mulhim mewakili sekolahnya untuk pertandingan antara sekolah itu.
"Saya sangat meminati akan bahasa dan budaya Melayu. Saya dapat mendalami dan menguatkan kesayangan saya terhadap budaya dan bahasa Melayu ini. Dengan pertandingan ini, saya dapat belajar lagi banyak dan mengenalkan seni bangsawan," kata Mulhim, 13 tahun.
(Facebook: Opera Academy)
Pertandingan itu menarik penyertaan enam sekolah.
Mereka terdiri daripada Sekolah Rendah Teck Whye, Sekolah Rendah Unity, Sekolah Rendah Evergreen, Sekolah Menengah Bukit Batok, Sekolah Menengah Sembawang dan Sekolah Anglo-Chinese (Bebas).
"Matlamat pertandingan Piala Bangsawan ini ialah pertama sekali untuk melestarikan seni bangsawan melalui sekolah-sekolah dan juga secara tidak langsung ia menaikkan lagi nama bangsawan. Kita menaikkan nama bangsawan, kita kembalikan kegemilangannya bangsawan melalui pelajar-pelajar, melalui sekolah-sekolah," kata Pengurus Kanan, Kurikulum & Program Jangkauan Opera Academy, Iqah Enriquez.
GUNAKAN PENDEKATAN LEBIH SERONOK UNTUK PELAJARI BANGSAWAN
Setiap kumpulan perlu mementaskan bangsawan selama 10 minit berdasarkan skrip 'Raja Lela' yang diberikan penganjur.
Bukan setakat lakonan, para peserta turut dinilai dari segi persembahan nyanyian dan tarian.
Bagi pihak sekolah pula, penyertaan dalam pertandingan sebegini merupakan sebahagian usaha pihak BBSS untuk mendedahkan para pelajarnya kepada pelbagai bentuk seni dan budaya Melayu.
"Kita mahu memperkenalkan keindahan dan cantiknya budaya Melayu ini sendiri dari segi seni suara, syair atau dikir barat. Kita berikan keprihatinan tentang adab dan juga adat Bahasa Melayu ataupun budaya Melayu itu sendiri," kata guru bahasa Melayu BBSS, Muhammad Hafiz Yusof.
Ia juga diharap dapat membina keyakinan mereka terhadap penggunaan bahasa Melayu.
Cikgu Hafiz menambah, "Mereka lihat betapa bahasa Melayu ini merupakan sesuatu yang berfungsi bukan sekadar di dalam kelas sahaja tetapi boleh digunakan di luar darjah. Kami cuba untuk selarikan dengan apa yang mereka belajar, apa yang mereka lihat dalam kertas peperiksaan itu dengan pengalaman peribadi mereka yang pihak sekolah cuba sediakan."
Para pelajar yang mengambil bahagian turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Opera Academy.
"Bahasa, nada, lenggok, adat, gerak dan deria dan kita terapkan teras-teras ini pada para pelakon muda kita dalam bengkel bangsawan. Kami juga menggunakan teknik daya permainan dalam mereka mempelajari bahasa istana dan juga pembelajaran atau lakonan bangsawan. Jadi kita terapkan nilai-nilai yang seronok untuk mereka mempelajari bangsawan," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Opera Academy, Noor Azhar Mohamed.
Bukan sahaja belajar mendalami watak, menyanyi dan menari, para pelajar juga perlu siapkan sendiri prop dan kostum.
Ia memberi mereka peluang mengenali pelbagai jenis pakaian diraja selain pakaian tradisional Melayu yang sudah lazim dilihat.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Pengorbanan dan kerja keras Mulhim dan teman-temannya selama tiga bulan ternyata berbaloi.
Pada 22 Oktober 2023, BBSS dinobatkan juara dalam kategori sekolah menengah.
Ia turut membawa pulang hadiah Busana Terbaik dan Pelakon Sokongan Lelaki Terbaik.
"Kita berasa gembira kerana kita telah memasukkan banyak usaha dan banyak masa kita. Pertandingan ini juga diadakan semasa peperiksaan kita juga. Tengah rasa risau dengan bagaimana kita mesti berfikir tentang peperiksaan akhir tahun kita dan pertandingan ini. Kita rasa teruja mendapat pertama untuk pertandingan ini," ujar Mulhim.
(Facebook: Opera Academy)
SEKOLAH RENDAH TECK WHYE BERJAYA TARIK MINAT PELAJAR TERMASUK YANG BUKAN MELAYU
Bagi kategori sekolah rendah pula, ia dijuarai oleh pasukan darjah tiga Sekolah Rendah Teck Whye (TWPS).
Ia turut membawa pulang hadiah bagi Busana Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
"Mereka sangat memahami jalan cerita seperti yang diberikan skrip dan lakonan mereka sangat berkesan sebab memahami. Busana mereka sangat-sangat sesuai dengan skrip yang diberi dan juga dapatlah kita tengok ketekunan para pelajar dalam melakonkan watak-watak mereka," kata Pengurus Kanan, Program Jangkauan, Legasi & Warisan di Opera Academy, Syazza Stoffa.
(Facebook: Opera Academy)
TWPS juga satu-satunya sekolah yang menghantar dua pasukan untuk bertanding - pasukan darjah tiga dan darjah lima.
"Kami ingin memperkenalkan bangsawan kepada para pelajar supaya pelajar dapat mengetahui tentang masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Saya juga ingin para pelajar didedahkan kepada teater Melayu. Para pelajar didedahkan dengan kosa kata yang kurang digunakan. Kemahiran berpidato mereka juga dapat dipertingkatkan kerana mereka menyebut perkataan dengan sebutan yang betul, dengan melenggokkan nada mereka dengan lebih sesuai," kata guru bahasa Melayu, TWPS, Nur Shabrina Mohd Afendi.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Berkat sokongan kedua orang tuanya serta pengalaman berlakon dalam pementasan teater dan televisyen ternyata memberikan kelebihan kepada Zickry Ilhan Ahmad Irwin, 9 tahun .
"Saya pelajari tentang macam mana gunakan suara istana, apa lenggok-lenggok dia dengan cara untuk bersyair. (Cita-cita) Nak masuk macam Suria atau macam Channel 5, Sunny Side Up," kata Zickry yang turut memenangi Pelakon Lelaki Terbaik.
Menerusi pertandingan itu juga, sekolah itu berjaya menarik minat para pelajar pelbagai kaum kepada seni bangsawan.
"Setelah kami menunjukkan pementasan kita kepada seluruh sekolah, mereka bertanya jika mereka juga boleh masuk bangsawan, jika mereka boleh masuk pertandingan drama dan sebagainya. Pelajar-pelajar yang lain juga telah berminat untuk masuk pertandingan sebegini dan minat mereka dalam Bahasa Melayu juga telah meningkat," kata Cikgu Shabrina.
(Gambar: Syawal Yusoff)
OPERA ACADEMY SERU KERJASAMA DENGAN KUMPULAN KEBUDAYAAN LAIN UNTUK LESTARIKAN BANGSAWAN
Opera Academy juga merancang untuk menarik lebih ramai peserta, bermula di peringkat tadika hingga ke institusi pengajian tinggi untuk edisi Piala Bangsawan 2024.
Ia berharap untuk bergabung dengan perkumpulan-perkumpulan seni dan budaya yang lain di Singapura untuk melestarikan seni bangsawan.
(Facebook: Opera Academy)
"Kita ingin bekerjasama dengan mereka untuk mempertinggikan lagi Bangsawan di Singapura. Insya-Allah dari masa tiga atau lima tahun yang berikutnya, kami akan mempamerkan Bangsawan Singapura di Asia Tenggara di sini," kata Pengarah Perancangan Korporat & Perkhidmatan di Opera Academy, Zaid Ismail.
Selain acara pertandingan, Opera Academy turut menganjurkan Festival Bangsawan untuk mendekatkan lagi masyarakat dengan seni warisan bangsawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.