Skip to main content

Singapura

BERITA+: Sanggup belanjakan $10,000 untuk hias lori ala 'dekotora' dari Jepun

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Sanggup belanjakan $10,000 untuk hias lori ala 'dekotora' dari Jepun

'Dekotora' atau seni hiasi dan ubah suai lori sebegini sudah popular di Jepun sejak tahun 70-an. (Gambar: Danish Aiman)

SINGAPURA: Sebagai seorang pemandu lori dan treler, jadual harian Encik Rozaily Aswadi, 37 tahun agak rutin.

Ini sehinggalah beliau mendapat idea daripada media sosial untuk menghiasi lori bak 'Transformer'.

Budaya menghiasi dan ubah suai lori itu sebenarnya sudah popular di Jepun sejak tahun 70-an.
 

"Main lori ini memang kita ikut dari Jepun. Jadi kita orang sama-sama kongsi kita punya hiasan. Macam mana kita buat kita punya seni dan kita kongsi sesama kita selepas itu kita hias kerana 'Dekotora' itu maksudnya trak seni hiasan. 'Deko' iaitu hiasan, 'tora' maksudnya trak jadi trak seni hiasan," jelas Encik Rozaily kepada wartawan Danish Aiman.

BELANJAKAN $10,000 UNTUK HIASI LORI

Barangan untuk hiasi lori itu juga dibelinya secara online dari Jepun.

Secara keseluruhannya, Encik Rozaily sudah membelanjakan sehingga $10,000.

Minatnya makin menjadi-jadi apabila berjumpa kawan-kawan dengan minat yang serupa.

Mereka juga tubuhkan kumpulan "Abam Abam Trailer SG" pada 2014.
 

Related article image
Antara yang hadir "Light Festival" ini merupakan anggota Abam Abam Trailer SG. (Gambar: Danish Aiman)
"Mula-mula bagaimana ia ditubuhkan, saya rancang macam ingat suka-suka sahaja. Kita panggil 'thetujuh' ahli yang pertama kerana ada tujuh orang, jadi tujuh ahli yang pertama ini kita buat pengiring majlis perkahwinan, jadi daripada situ ramai sambutan yang banyak. Jadi bila kita tubuhkan itu memang semua orang dah ada latar belakang main lori ini," kongsi Encik Rozaily yang juga merupakan Presiden Abam Abam Trailer SG.

Daripada tujuh orang, mereka kini sudah ada 300 ahli dari dalam dan luar negara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Menurut Encik Rozaily, di Singapura sahaja ada sekitar 40 buah kumpulan 'dekotora'.

PAMERKAN HIASAN SAMBIL BERTUKAR IDEA

Untuk meraikan semangat kebersamaan dalam kalangan mereka, anggota kumpulan itu serta ahli keluarga mereka adakan perjumpaan untuk pamerkan hiasan lori masing-masing dan bertukar idea pada setiap hujung minggu.

Perjumpaan yang dipanggil "Light Festival" itu mempamerkan lori dan seni perhiasan trak daripada beberapa kumpulan 'dekotora' di Singapura.

Setiap pengubahsuaian yang dilakukan merupakan inspirasi dan ilham daripada pemandu itu sendiri.
 
Related article image
Gambar: Danish Aiman

"Saya rasa gembira kerana dapat jumpa kawan-kawan semua. Macam biasa selalunya nampak di jalan begitu sahaja. Hari ini dapat ketawa-ketawa dengan mereka, lepak," kata salah satu anggota kumpulan Shikeishu, Encik Muhammad Afdzal, 27 tahun

"Kita dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain. Di Singapura ramai juga yang main hobi ini. Jadi kita tidak memilih kaum. India, Cina ataupun Melayu kita. Apa yang kita tahu ialah kita dapat main hobi ini bersama. Jadi mengeratkan lagi silaturahim kita," kongsi salah satu anggota kumpulan Abam Abam Trailer SG, EncikMuhammad Afif Amzelah, 29 tahun.

TANGANI TANGGAPAN NEGATIF SEGELINTIR MASYARAKAT

Dalam menganjurkan perjumpaan sebegitu, ada beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira Encik Rozaily dahulu.

Bagi aksesori dan lampu hiasan pula, ia akan hanya dipasang bila ada perjumpaan dan kemudian ditanggalkan semula bagi mematuhi peraturan LTA.


"Tentu sekali kalau kita buat benda sebegini, kita akan tengok tempat. Kita tidak melanggar peraturan bangunan yang kita buat itu, kita tidak buat bising, kita tidak buang barang sembarangan, jaga keselamatan semua. Untuk pengubahsuaian kita kalau acara sahaja kita akan pasang barang-barang untuk kita tunjukkan apa yang kita ada di lori kita masing-masing. Jadi kalau kita sudah mula kerja seperti hari biasa, kita akan buka semua barang-barang. Kita menjaga kenderaan syarikat ini dengan selamat," jelas Encik Rozaily.

Namun hobinya itu kata Encik Rozaily, tidak diterima dan disenangi semua. Ada yang sehingga mengaitkan kumpulannya itu dengan kumpulan samseng.

"Macam mereka cakap membazir duit, memekak, kadang-kadang ada yang memanggil kita cekik darah tetapi itu semua kita letak tepi, kita tunjukkan yang kita tidak seperti itu. Kita memang daripada apa yang kita punya kumpulan lori ini semua memang tidak ada kena mengena dengan 'gangsterism', apa-apa benda yang orang kata yang tidak sedap di pandang mata. Kita semuanya sebagai keluarga sahaja," kata Encik Rozaily.

Related article image
Gambar: Mohd Rozaily Aswadi
Selain perjumpaan sebegitu, kumpulan "Abam Abam Trailer SG" juga anjurkan kegiatan lain termasuk kerja-kerja amal.

Ini termasuk mengagihkan barangan keperluan asas termasuk makanan kepada golongan yang memerlukan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita