Skip to main content

Singapura

BERITA+: Ruang untuk wanita SG berkumpul, berkarya, dan berkembang bersama

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di Singapura, ruang-ruang kreatif kini cuba memenuhi keperluan khusus golongan wanita.

Ruang-ruang itu membuka peluang kepada golongan itu meluangkan masa dan mencari keyakinan dalam suasana yang lebih selesa.

Wartawan Fatyn Afiqah Abdul Samad menyertai sendiri dua inisiatif sebegitu yang mana masyarakat seni itu menjadi tempat untuk wanita saling memberi inspirasi dalam bidang kreatif.
Related article image
Lukisan dihasilkan peserta WIP Club. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
BERKARYA BERSAMA MENGHIDUPKAN SUASANA KREATIF

Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk berkarya.

Namun bagi sesetengah wanita, ruang yang selamat dan komuniti yang memahami memainkan peranan penting dalam proses kreatif mereka.

Dan bersama kumpulan W.I.P Club, golongan wanita dapat meluahkan segala arus ilham tanpa batasan, tanpa perbandingan.

Bagi Nur Aisyah Shamsul Jalala, seorang artis sepenuh masa, idea untuk memulakan ‘WIP Club’ pada Januari 2025 lahir daripada pemerhatiannya terhadap minat wanita terhadap seni.

Cik Aisyah berkata: "Pada mulanya saya nampak ramai yang ingin melakukan seni lebih pada tahun ini. Jadi saya fikir, kenapa tidak kita kumpulkan mereka yang mempunyai minat yang sama untuk buat seni bersama-sama."

"Satunya sebab semua wanita, mereka lebih selesa. Dan semasa kita membuat seni itu, cerita-cerita peribadi atau pengalaman yang mereka boleh dikongsi. Ia adalah satu saluran untuk mereka meluahkan perasaan," tambah beliau."

Sesi-sesi Work-In-Progress di bawah inisiatif Lait Hepines diadakan sebulan sekali untuk sang hawa menghasilkan karya seni bersama.

Kegiatannya sering diadakan di kafe, malah ada juga peserta yang membuka rumah mereka untuk dijadikan ruang berkarya.
Related article image
Cik Nur Aisyah Shamsul Jalala, pengasas Lait Hepines dan WIP Club. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
Suasananya santai dan terbuka kepada pelbagai bentuk seni daripada lukisan hingga sulaman.

Menurut Cik Aisyah, para peserta sesi-sesi W.I.P Club kebanyakannya terdiri daripada golongan bekerja, anak muda, mahupun suri rumah.

Beliau berkata: "Terutamanya ibu-ibu juga, mereka ada rutin harian yang padat. W.I.P Club ini seperti satu ruang untuk berehat untuk mereka, jadi satu 'me time'. Buat seni beramai-ramai, aliran kreatif itu lebih mengalir. Jadi mereka rasa lebih bersemangat untuk berkarya."

Di penghujung sesi, para peserta pulang dengan karya yang siap dihasilkan, di samping pengalaman dan kenangan bersama komuniti kreatif tersebut.

Bagi Halimah Daud, yang bekerja dalam bidang seni, kehadiran ke sesi sebegitu membuka peluang untuk berkenalan dengan individu lain yang mempunyai minat berbeza.


“Dapat jumpa kawan-kawan yang mempunyai minat berbeza. Ada yang suka melukis, ada yang minat sulaman. Jadi kita dapat kenal lebih ramai orang, berkongsi maklumat dan saling membantu. Kita juga boleh beri sokongan antara satu sama lain dalam apa yang kita lakukan,” kongsinya

Selain membina jaringan sosial, ruang sebegitu juga membantu mengurangkan tekanan yang sering dialami apabila berkarya secara bersendirian.


“Banyak perkongsian pengalaman. Ramai juga wanita dan rakan-rakan perempuan, jadi suasananya sangat selesa dan selamat. Kalau buat seorang diri, kadang-kadang boleh jadi tertekan. Tapi bila buat bersama, perbualan itu boleh menenangkan keadaan, jadi kurangkan tekanan,” kongsi Nur Aliffah Nasrun pula.

Menariknya juga, W.I.P Club bukan sahaja untuk berkarya, bahkan menjadi platform untuk para peserta meneroka potensi hasil seni mereka.

Masyarakat seni itu melangkah setapak lagi dengan menganjurkan sebuah ‘Art Market’ kecil-kecilan.

Melalui acara itu, peserta W.I.P Club berpeluang menjual hasil karya mereka sekali gus menjadi satu pengalaman yang membantu meningkatkan keyakinan diri sebagai penggiat seni.

“Daripada situ, kami saling tolong-menolong, berkongsi tip dan idea termasuk bagaimana untuk menjual karya, cara menetapkan harga dan sebagainya. Jadi ia menjadi satu pengalaman yang sangat bermakna, dan mendorong mereka untuk terus berkarya,” kongsi Cik Aisyah.
Related article image
Komuniti wanita Her Narrative. (Gambar: Her Narrative)
WANITA KUKUHKAN KEYAKINAN DALAM BIDANG FOTOGRAFI

Daripada kanvas ke kamera, satu lagi wadah khas untuk golongan wanita dianjurkan oleh Her Narrative.

Roslina Saz, yang lebih sedekad berkecimpung dalam industri bergambar, menubuhkan Her Narrative pada Jun 2025.

Menerusi sesi 'photowalk' bersama jurugambar wanita sahaja, para peserta merakam detik-detik di sekeliling mereka dalam suasana santai dan berkumpulan.

Cik Roslina berkata: "Her Narrative adalah sebuah platform khas untuk wanita dalam bidang fotografi, videografi dan juga mencipta kandungan. Di dalam industri ini, kebanyakannya masih lelaki, jadi mempunyai ruang yang selamat itu saya rasa amat penting supaya mereka mempunyai teman untuk berbual dan berkongsi pengalaman dan cabaran sebagai seorang kreatif wanita."
 
Related article image
Cik Roslina Sazali, pengasas Her Narrative. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
Sepanjang pengalamannya, Cik Roslina menyedari bahawa ramai wanita berbakat dalam bidang itu, namun sering berdepan dengan cabaran untuk membuktikan kemampuan mereka.


"Sejujurnya saya ingin melihat lebih ramai wanita berkembang dan berjaya. Ramai sebenarnya yang sangat berbakat tetapi kurang keyakinan diri, jadi mempunyai ruang yang selamat untuk mereka belajar dan mencuba itu sangat penting," ujar Roslina.

Program-program yang dianjurkan Her Narrative juga bermatlamat mengasah kemahiran para peserta wanita dalam bidang penggambaran.

Menurut Cik Roslina, ia menjadi lebih penting lagi terutama dengan permintaan untuk kemahiran golongan tersebut untuk acara-acara tertentu.

Beliau berkata: "Sejak kebelakangan ini, saya perasan lebih ramai yang meminta kreatif wanita seperti acara di masjid, konvensyen muslimah, dan juga pengantin perempuan yang lebih selesa dengan jurugambar wanita."

"Kebanyakan pelanggan, terutama pengantin, berasa lebih selesa kerana aurat terjaga dan emosi mereka juga lebih terjaga sepanjang sesi penggambaran," tambah Cik Roslina.
 
Related article image
Antara bengkel dianjurkan Her Narrative. (Gambar: Her Narrative)
Bagi membina keyakinan dan kemahiran para peserta, Her Narrative juga kerap menganjurkan bengkel termasuk melalui kerjasama dengan jenama seperti Nikon, serta menjemput jurugambar wanita dari luar negara untuk memimpin sesi latihan.

"Bengkel itu sendiri adalah untuk memupuk keyakinan di antara kreatif-kreatif wanita berkongsi pengalaman Dan berkongsi cabaran semasa mengambil gambar di luar. Dan berkongsi pengalaman dengan orang dengan dengan penggiat lain yang sudah berpengalaman," luah Cik Roslina.

Sama ada untuk berkarya, berkongsi cerita, atau sekadar mencari masa untuk diri sendiri semakin ramai wanita kini menemui tempat mereka bersama masyarakat kecil yang saling memahami.
Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita