Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Rozana Ellias: Pejuang barah payudara enggan serah kalah, aktif bersukan demi pemulihan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cik Rozana Ellias, 60 tahun, tabah mengharungi ujian sebagai seorang pejuang barah payudara.

Beliau memilih untuk tidak menyerah dengan meneruskan kegiatan bersukan yang menjadi kegemarannya.

Ia bukan sahaja membantu beliau dalam pemulihan fizikal, tetapi juga memberikan kepuasan dan kebahagiaan yang tidak ternilai.
 
(Gambar: Rozana Ellias)
ENGGAN SERAH KALAH PADA PENYAKIT BARAH PAYUDARA

Saya memang aktif dan badan memang tidak pernah rasa sakit. Tetapi di akhir tahun 2020, masa COVID, saya menemui ketulan pada payudara. Apabila saya pergi berjumpa doktor, ia sudah berada di tahap 3A dan sudah merebak ke nodus limfa. Jadi dengan cepatnya doktor suruh lakukan pembedahan mastektomi, jalani rawatan kemoterapi dan radioterapi," kongsi Cik Rozana kepada Rosli A Razak.

Ibu kepada empat orang anak ini memilih untuk bersikap positif dan enggan membiarkan penyakit itu memakan dirinya.

Ini meskipun beliau belum bebas barah sepenuhnya.

"Semasa membuat rawatan kemoterapi dan radioterapi, saya tidak boleh keluar rumah. Saya merasa sedih sangat. Jurulatih saya berkata saya boleh sambung semula apabila sudah sihat. Jadi itu menjadi motivasi saya.

"Kemudian doktor juga nasihatkan saya supaya bersenam sekurang-kurangnya tiga jam seminggu untuk keluarkan peluh. Kawan-kawan juga beri galakkan," kata Cik Rozana lagi.

Kata-kata tersebut serta sokongan kuat suaminya Encik Samri Samat dan anak-anak mereka, menjadi pendorong utama untuknya terus berjuang dan tidak menyerah kepada penyakit.
Cik Rozana Ellias bersama suami Encik Samri Samat

TERUS AKTIF BERSUKAN, SERTAI PERTANDINGAN KETTELBELL

Selain bekerja sepenuh masa sebagai eksekutif pemasaran produk, rutin mingguannya termasuk berbasikal sejauh 50 kilometer, bermain tenis, mengangkat berat di gim, serta menari.

Di samping itu, beliau juga berlatih mengangkat kettlebell bersama teman-temannya ini sekali dalam seminggu.

"Pada waktu COVID, kami semua tidak boleh keluar rumah. Jadi, kami beli kettlebell secara dalam talian, dan saya bersama kawan-kawan berlatih dengan jurulatih secara dalam talian juga. Kami belajar 'swing', 'snatch', dan banyak lagi yang menarik. Selepas COVID, kami akhirnya bertemu dengan jurulatih kami secara bersemuka.

"Komuniti Kettlebell di Singapura sebenarnya kecil sahaja. Jadi, apabila kami terlibat dalam sukan ini, jurulatih berkata, 'Berlatih membuat swing setiap minggu pun tidak akan berguna jika tidak ada matlamat yang tinggi. Jadi, sasarannya adalah untuk bersaing dalam pertandingan. Memang ada pertandingan setiap tahun, sama ada di Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, atau kadang-kadang di Hong Kong. Matlamatnya adalah untuk kami semua mempunyai sasaran dan setiap minggu kami berlatih untuk mencapainya," kata beliau.

Beliau berlatih bersama-sama dengan Cik Siti Jamillah Elle, 57 tahun dan Fadhillawati Tahir, 50 tahun.

"Komuniti kami, kawan-kawan yang kami ada itu penting. Bila kami ada rakan-rakan yang sealiran, kami akan dorong diri sendiri atau satu sama lain untuk terus menjadi kuat. Terus jadi sihat. Oleh kerana kami sudah berumur, kami harus bergantung pada diri sendiri untuk lakukan perkara-perkara yang kami hendak buat," kata Cik Siti Jamillah Elle.

Atas galakkan jurulatihnya, Cik Rozana menyahut cabaran untuk bertanding secara serius.

"Pertandingan itu bukan hanya untuk yang berusia 30-an atau 40-an sahaja. Jurulatih berkata kami perlu belajar semula teknik yang betul untuk kemahiran teknikal. Alhamdulillah, pada bulan Oktober 2023 , saya mencapai 198 repetisi dalam masa 10 minit dengan kettlebell seberat lapan kilogram. Selepas itu, seperti biasa, jurulatih berkata kami perlu naik ke 12 kilogram kerana lapan kilogram sudah tidak mencabar lagi," seloroh Cik Rozana.

Jurulatih mereka Encik Abdul Muhaimin Yusof dari Strength Avenue berkata: "Untuk mereka yang berumur, perlu pentingkan keselamatan. Teknik mesti betul. Jadi, apabila mereka datang untuk latihan, kami pastikan kami beri tumpuan kepada usaha untuk membetulkan teknik mereka.


Mereka yang berumur perlu memberitahu jurulatih tentang masalah kesihatan atau isu mereka. Dari situ jurulatih boleh sesuaikan latihan untuk mereka. Khususnya, untuk mereka yang berumur."
 

(Gambar: Rosli A Razak)
RAIH TEMPAT PERTAMA KATEGORI LEGENDA 60 TAHUN KEJOHANAN KETTLEBELL

Lantaran itu, beliau, Cik Siti Jamillah dan Cik Fadhillawati Tahir mengambil bahagian dalam Kejohanan Kettlebell IKO Terbuka Malaysia 2024 di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Mereka dalam kalangan lebih 100 peserta berumur antara 22 hingga 66 tahun yang datang dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, China, dan Filipina.

Cik Rozana berjaya melakukan 122 snatch untuk meraih tempat pertama dalam kategori Legenda 60 tahun.

Jelas usia mahupun cabaran kesihatan tidak menjadi penghalang untuk Cik Rozana melakukan kegiatan yang dicintainya.

"Kakak-kakak semua, dan juga anak saudara saya. Ada yang menyokong, tetapi ada juga yang berkata, 'Sudahlah, umur sudah 60 tahun, duduk diam-diam saja.' Namun, kita harus terus melakukan apa yang kita suka," ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan