Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: 'Rentas Sastera Nusantara' rai wanita melalui teater puisi, muzikal dan taridra

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menyediakan platform bagi tiga negara untuk menjalin persahabatan melalui seni persembahan dan sastera.

Itulah yang disajikan acara "Ruang II: Rentas Sastera Nusantara" anjuran Variasi Performing Arts dengan kerjasama Teater Puisi dan Muzikal oleh Nusantara Art & TITIS dari Malaysia dan Sanggar Seni Lembayung dari Indonesia.

Acara bertemakan 'Wanita Agung Dunia' yang diadakan bersempena Bulan Bahasa 2024 itu disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

PERSEMBAHAN DAN KARYA TIGA NEGARA

Pementasan teater tari muzikal berjudul "Bayangan" membuka tirai persembahan.

Muzikal interaktif itu diperkaya dengan deklamasi puisi dan berusaha menyentuh perasaan penonton melalui persembahan yang penuh emosi.

Bahasa yang digunakan begitu menyentuh jiwa, seperti dalam bait-bait “Terpacak perampas kesempurnaan seorang wanita!”

Karya yang diolah Md Faiz Othman dan Md Nizard Ali itu berdasarkan naskhah oleh penulis muda, Raditya Secondtama, 20 tahun, yang sedang menjalani Perkhidmatan Negara.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
"Mesej yang saya ingin sampaikan merupakan bagaimana wanita-wanita di Singapura memiliki cabaran-cabaran untuk menjadi suri rumah tangga atau pun seorang wanita di rumah yang merupakan sebuah 'pekerjaan' yang sulit. Saya harus memikirkan tentang perlambangan-perlambangan dan juga tentang persoalan.

"Bagaimana wanita di Singapura ini seperti dihantui oleh sebuah bayangan yang seperti mengekang mereka daripada melakukan kegiatan seharian mereka atau melakukan hal-hal yang mereka inginkan," dedah Raditya kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Sekitar 50 peserta dari seluruh Nusantara menjayakan Ruang II: Rentas Sastera Nusantara, yang berlangsung di ruang eksklusif Variasi, MatchBox, di Kallang Place.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
Edisi sulung Ruang I: Rentas Sastera Nusantara dianjurkan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tahun 2019, sejurus sebelum COVID-19.

"Kami hendak naikkan taraf seni sastera Melayu dan kita tahu keindahan seni sastera Melayu ini. Kami juga ingin memperkenalkan hasil-hasil karya-karya sasterawan-sasterawan kita kepada generasi muda. Menggunakan seni sastera ini lebih kreatif, interaktif dan inovatif.

"Kami ingin menarik lagi ramai minat anak-anak muda kita supaya mereka dapat bergiat aktif dan menghargai keindahan seni sastera Melayu. Kami juga ingin bekerjasama dan mengetahui lebih banyak lagi tekniknya dan juga mungkin cara-cara kita mengendali sastera dan bagaimana dapat persembahkan sastera dengan lebih baik," kongsi Raja Hamzah Raja Zulkifli, Pengarah Artistik, Variasi Performing Arts.

TEMA 'WANITA AGUNG' PAPARKAN PENGORBANAN DAN SEMANGAT

Tema "Wanita Agung Dunia" dipersembahkan melalui naskhah-naskhah yang mengangkat pengorbanan dan semangat wanita Melayu.

Ia bukan sahaja menggambarkan ketegaran hati, tetapi juga menunjukkan bahawa kata-kata wanita hebat boleh menjadi sumber kekuatan dan inspirasi.

"Tanpa wanita, kita tidak ada di sini. Pengorbanan mereka sering kali tidak diluahkan, tetapi melalui persembahan ini, kita dapat berkongsi rasa dan pengalaman wanita-wanita hebat di dunia ini," ujar Raja Hamzah.

Pelakon wanita dari Nusantara Arts, Shasha Masella, berkongsi, "Sebagai wanita, ibu, dan isteri, perasaan ini memudahkan saya melakonkan watak yang diberikan. Saya juga dapat mengenali ramai kawan dan bertukar pendapat mengenai seni."
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
Malaysia diwakili oleh TITIS dengan persembahan "Rumah Kosong," karya A. Samad Said, yang menceritakan kehidupan seorang wanita yang ditinggalkan sendirian.

"Setiap karya seni menguji keupayaan kita. Penting untuk menyampaikan cerita tanpa kehilangan maksudnya. Banyak pesanan yang Pak Samad sampaikan melalui karya-karyanya," kata Iryanda Mulia Ramly, Pengarah dan Penulis Skrip Nusantara Arts.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp

Cik Norhazelin Shahril menambah, "Karya A. Samad Said adalah antara yang unggul dan sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Pementasannya sentiasa dinantikan."

DAPAT SOKONGAN BADAN-BADAN SASTERA SERANTAU

Sanggar Seni Lembayung dari Indonesia pula mempersembahkan naskhah lama karya Raja Aisyah Sulaiman, yang diolah menjadi persembahan tarian dan drama, atau taridra, yang penuh tenaga.

"Kami berusaha menelaah setiap naskhah untuk mencipta gerakan koreografi yang dapat menginterpretasikan dan menggambarkan isi naskhah tersebut. Apa yang paling menonjol adalah pengenalan budaya serumpun antara Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Kami saling bertukar ilmu untuk menampilkan karya sastera dalam bentuk teater, tarian, muzik, dan lain-lain," ungkap Mellyana Anggraini, Pengarah Artistik dan Ketua Kumpulan Sanggar Seni Lembayung, Riau, Indonesia.

"Sebagai penonton, saya sangat terhibur. Kolaborasi yang ditampilkan amat mantap, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penggiat seni yang terlibat. Syabas kepada barisan pelakon dan ahli muzik," puji Cik Norhazelin, seorang penonton.

RANCANGAN UNTUK PERLUAS KEPADA BRUNEI DARUSSALAM

Dengan kejayaan pementasan Ruang II, Variasi merancang untuk melibatkan Brunei Darussalam dalam Ruang III tahun hadapan.

"Rentas Sastera Nusantara adalah pelan kerja kami selama tiga tahun. Ini adalah kali kedua, dan kami merancang untuk kali ketiga mungkin pada tahun hadapan. Selain Malaysia, Singapura, dan Indonesia, kami juga akan mengundang dan mengajak Brunei Darussalam untuk bekerjasama," dedah Raja Hamzah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan