Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ Rap Angin Ahmar: Suhaimi Yusof hasilkan lagu dan gerakan tari yang diharapkan jadi ikutan ramai

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: "Be S.M.A.R.T. lah, Be S.M.A.R.T. lah..." atau "Jadilah Bijak, Bijak Elak Strok."

Dengan lirik yang ringkas dan penggunaan 'Singlish', personaliti tempatan Suhaimi Yusof menyampaikan mesej penting tentang mengenali dan mencegah strok.

Lagu rap berjudul 'Be Stroke S.M.A.R.T.' dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri diserang angin ahmar pada usia 55 tahun.

RAP DIILHAMKAN SELEPAS TERSELAMAT BERKAT KETANGKASAN PASUKAN PARAMEDIK

"Peranan saya adalah untuk membuat orang tersenyum, tetapi akhirnya kemurungan itu berlaku pada diri saya sendiri! Rasanya seperti dinding yang saya bina selama ini runtuh! Saya tidak sangka — eh, saya kena strok? Tetapi saya ini tidak tua sangat!"

Begitulah perdebatan dalam fikiran Suhaimi Yusof sewaktu serangan angin ahmar berlaku pada April 2024.

Kecekapan pasukan paramedik yang memberikan bantuan dalam tempoh hanya 10 minit memberi inspirasi kepada Suhaimi untuk mencipta lagu yang menekankan pentingnya ketangkasan dan pengetahuan dalam mencegah strok.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
Menurut Suhaimi Yusof, yang ditemui di bangunan Academia SGH, di mana Peningkatan Perkhidmatan Strok (SSI) terletak, "Barulah saya sedar bahawa strok boleh berlaku kepada sesiapa, pada bila-bila masa, tidak kira usia. Ia sangat berkait rapat dengan gaya hidup kita."

Suhaimi juga mengakui kepentingan kepantasan paramedik.

"Bersyukurlah di Singapura, kita mempunyai pasukan paramedik yang sangat pakar. Tindakan mereka sangat pantas. Dalam masa kurang 10 minit, ambulans sudah sampai. Tidak sampai 10 minit selepas itu, saya sudah tiba di hospital. ‘Wow’! Barulah saya faham betapa kritikalnya masa ketika strok berlaku."

Kata-kata Suhaimi ini memberikan perspektif berharga mengenai kepentingan tindakan pantas dalam serangan strok.

CEPAT DIBERI RAWATAN, CEPAT PULIH

Dalam masa kurang sebulan, Suhaimi bukan sahaja pulih tetapi juga menghasilkan lagu rap tentang pengalamannya dan kaedah pencegahan secara kreatif.

"Rap ibarat ceramah berirama. Fuh, ceramah berirama, itulah rap! Rap ‘old school’ – gaya lama, seperti M.C. Hammer dan 'Ice Ice Baby'. Supaya dapat diterima oleh pelbagai etnik. Jadi, lagu ini dibuat dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu," jelas Suhaimi sambil tersenyum.

Apabila ditanya tentang kesan angin ahmar ke atas dirinya, Suhaimi berkata, "Apabila strok berlaku, nombor satu, kita perlu ingat F.A.S.T. Muka kita akan terjejas. Ada orang mungkin sebelah kiri jatuh, tetapi saya kena di tengah! Orang nampak muka saya biasa, tetapi saya terasa seperti pakai 'goggle'! Saya hidup dalam dimensi berbeza.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
"Bila saya guna cerita ini dalam lagu, ‘I got a story I must tell everybody’... 'Stroke can hit anybody’... semua itu betul. Saya jumpa orang berumur 26 tahun yang kena strok. Seorang lagi, 17 tahun! Ahli sukan? Saya ahli makan! Jadi, nak buat apa? S.M.A.R.T. Kerana strok boleh dielakkan. Saya tidak pernah periksa kesihatan dahulu, ingatkan saya ‘Superman’. Bila terkena, doktor jadi kawan baik."

Suhaimi menegaskan bahawa pencegahan adalah kunci, dan mesej dalam lagunya bertujuan menyebarkan kesedaran.

Beliau telah berkongsi pengalaman betapa pentingnya menjaga kesihatan untuk mengurangkan risiko angin ahmar, seperti berhenti merokok, makan secara sihat, dan mematuhi pengambilan ubat yang ditetapkan.

Menurut Pengerusi Peningkatan Perkhidmatan Strok (SSI) & Konsultan Kanan, Jabatan Neurologi, Institut Neurosains Nasional, Profesor Madya Deidre Anne De Silva, "Suhaimi terlibat dengan agensi-agensi pemerintah seperti Healthier SG, COVID-19, dan juga siri hiburan Melayu gov.sg, 'OK Syiok!', yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai kesihatan."

Dr Deidre menambah, "Video rap dan tarian Suhaimi, serta perkongsian beliau, menyampaikan mesej pencegahan angin ahmar dengan kaedah kreatif dan lucu. Gabungan fakta dan kelucuan ini membuatkan mesej lebih mudah diterima, kurang menakutkan, dan berkesan."

Dr Deidre menjelaskan dua perkara penting mengenai angin ahmar: "Pertama, 80 peratus angin ahmar boleh dicegah.

"Suhaimi mengingatkan kita dengan S.M.A.R.T.:
S – Hidup Bebas Asap Rokok
M – Makan Makanan Sihat
A – Gaya Hidup Aktif
R – Jalani Pemeriksaan Kesihatan Secara Tetap
T – Ambil Ubat Seperti Yang Ditetapkan

"Yang kedua, jika anda atau sesiapa yang mengalami gejala angin ahmar, hubungi ambulans segera. Gunakan F.A.S.T. untuk mengenal pasti tanda-tanda angin ahmar:
F – Muka Melendut
A – Kelemahan Lengan
S – Kesukaran Bertutur
T – Hubungi 995"

Sebagai Duta Kesedaran Strok untuk kempen 'Be Stroke S.M.A.R.T., Think F.A.S.T.', Suhaimi melibatkan banyak pihak, termasuk kenalan, karyawan perubatan, dan keluarga.

"Sewaktu di katil hospital, apa nak buat? Saya tulis lirik sendiri, fikirkan irama. Tiba-tiba jadi penggubah lagu! Saya beri kepada Amos kerana bukan sekadar susunan muzik, tetapi ini tentang cita rasa. Saya mahu tahu citarasa orang muda dan orang tua," dedah Suhaimi.

Amos Ang dari FLY Entertainment, yang bertanggungjawab menyusun muzik, berkata, "Mereka inginkan lagu dengan irama hip hop era lama yang sesuai dengan personaliti Suhaimi. Saya hanya ikut dan masukkan elemen dari muzik latar permainan 'online' seperti GTA, yang merujuk kepada rap dan hip hop pantai barat San Francisco. Mereka suka."

DARI RAP KE LAGU TRADISIONAL ATAU DIKIR BARAT

Dengan sambutan yang baik terhadap lagu rapnya, Suhaimi terdorong untuk meluaskan usaha, terutama memandangkan insiden angin ahmar yang lebih tinggi dalam masyarakat Melayu.

"Betul, terdapat insiden angin ahmar yang lebih tinggi dalam masyarakat Melayu. Kami telah bekerjasama dengan masjid, TV, radio, dan akhbar Melayu untuk membincangkan topik ini serta bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) untuk menyertakan kesedaran angin ahmar dalam aktiviti promosi kesihatan mereka. Inilah sebabnya Suhaimi dipilih sebagai rakan kongsi utama untuk kempen angin ahmar tahun ini," kata Dr Deidre

Suhaimi juga berkongsi rancangan untuk meluaskan usaha.

"Kami juga merancang untuk menghasilkan lagu itu dalam bahasa Melayu. Setiap etnik memiliki cita rasa berbeza. Mungkin versi Melayu itu akan memiliki elemen sopan santun. Saya kini mencari penyusun muzik Melayu untuk membantu 'melayukan' lagu ‘Be Stroke Smart’. Kami juga sedang berbincang dengan penulis lirik untuk menyesuaikan seni kata dengan budaya Melayu. Mungkin suatu hari, lagu ini boleh dihasilkan dalam bentuk dikir barat."

CABARAN MENARI DAN USAHA CIPTA RUTIN SENAMAN

Selain meningkatkan kesedaran, lagu rap 'Be Stroke S.M.A.R.T.' juga dijadikan cabaran menari di media sosial.

Ia menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan rutin senaman seperti yang ditarikan Suhaimi dalam video rapnya.

Gerakan tari tersebut dicipta Suhaimi bersama anaknya, Amirul, selepas menonton senaman terapi di YouTube.

Dengan bantuan SSI dan ahli fisioterapi dari Hospital Besar Sengkang, mereka memudahkan pergerakan tersebut agar lebih senang diikuti.

Suhaimi menambah, "Peranan saya adalah untuk mendekati orang ramai, meningkatkan kesedaran tentang strok, dan memberi inspirasi. Kumpulan seperti Kumpulan Kesihatan Woodlands juga boleh menggunakan konsep ini untuk mengembangkan rutin senaman mereka sendiri berdasarkan video muzik tersebut."
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan