Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Radio WARNA 942, RIA 897 hidupkan suasana lebaran dengan lagu raya

Semakin hampir Hari Raya Aidilfitri, para deejay Mediacorp Warna 942 dan Ria 897 semakin sibuk memenuhi permintaan para pendengar yang mahu menujukan lagu raya kepada orang tersayang.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semakin hampir Hari Raya Aidilfitri, para deejay Mediacorp Warna 942 dan Ria 897 semakin sibuk memenuhi permintaan para pendengar yang mahu menujukan lagu raya kepada orang tersayang.

Meskipun kini tersedia pelbagai platform baharu untuk mendengar lagu raya, saluran radio tetap menjadi pilihan ramai kerana seni mengatur lagu raya mengikut 'mood' dan interaksi antara deejay dan pendengar.

Di corong-corong radio Melayu juga, lagu-lagu raya malar segar lebih diminati dan menjadi permintaan ramai.

Ini meskipun saban tahun, pelbagai lagu raya baharu muncul untuk membangkitkan semangat dan suasana menyambut lebaran.

Berbeza pula di platform media sosial seperti TikTok di mana lagu-lagu raya baharu mudah raih perhatian ramai dan menjadi 'viral'.

'ALAMAK RAYA LAGI' LAGU RAYA PALING VIRAL

Antara lagu baharu yang menjadi viral tahun ini ialah lagu 'Alamak Raya Lagi' dendangan kumpulan trio Malaysia, De Fam.

Setakat 30 Mac, ia sudah meraih 3.4 juta tontonan di YouTube sejak diperkenalkan awal Mac.

Lagu gabungan genre pop dan irama tradisional itu juga tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai video parodi TikTok dengan lebih 47 juta tontonan setakat ini.

Sebelum ini, lagu 'Raya, Raya, Raya' nyanyian kumpulan Dolla yang diedarkan dua tahun lalu sudah ditonton sebanyak 21 juta kali di YouTube dan 39 juta di TikTok.

50 LAGU RAYA BAHARU DIHASILKAN SETIAP TAHUN

Populariti 'Alamak Raya Lagi' dan 'Raya, Raya, Raya' turut mendapat perhatian Pengarah Muzik Eksekutif Ria 897, Burhanudin Buang atau 'Brader Bo'.

Namun tidak semua lagu baharu akan masuk dalam senarai lagu raya dua stesen radio Melayu Mediacorp.

"Ada beratus lagu Hari Raya yang wujud. Industri muzik popular Melayu ini menghasilkan lagu-lagu Hari Raya setiap tahun. Mungkin antara 30 hingga 50 lagu baharu setiap tahun," kongsi Brader Bo kepada wartawan Syawal Yusoff.

"Saya harus membuat saringan, dari segi mana yang ada kualiti, mana yang saya rasa berpotensi mendapat perhatian para pendengar," tambahnya.

SENARAI LAGU RAYA WARNA 942; RIA 897 DIKEMASKINI DENGAN TELITI

Meskipun lagu raya terkini mendapat sambutan baik, 'aura' lagu raya klasik yang malar segar yang terus mendapat tempat di hati pendengar.

Lantaran itu, senarai lagu raya untuk Warna 942 dan Ria 897 dikemaskini dengan lagu baharu dan lama, dan dijadualkan dengan teliti.

Lagu-lagu raya diputarkan selama enam minggu mulai 23 Mac.

"Di RIA itu kami membuat usaha untuk memberi keseimbangan di antara yang klasik dengan yang baru. Untuk WARNA, mereka itu mempunyai lagu yang lagu Hari Raya klasik yang lebih banyak. Dimulakan dengan bilangan yang sedikit dahulu dan kami akan menambah bilangannya sehinggalah ke satu fasa di mana dia 'full blast'," ujarnya.

Formula tersebut sudahpun diamalkan sejak 15 tahun lalu.

"Kita sentiasa peka bila kita menjadualkan lagu. Misalnya kadang-kadang waktu-waktu yang senja-senja, kita akan selitkan lagu yang mungkin seperti lagu Siti Nurhaliza 'Air Mata Syawal', lagu Sanisah Huri 'Bersabarlah Sayang' ataupun apa sahaja lagu yang 'mood' seperti itu tapi mungkin pada waktu pagi mungkin pada Hari Raya yang pertama, nak bergembira," tambah Brader Bo.

LAGU RAYA DIKIR BARAT 'DI PINGGIRAN AIDILFITRI' ANTARA YANG PALING POPULAR

Salah satu lagu raya dalam senarai 'Hit' kedua-dua stesen adalah lagu kumpulan Dikir Temasek.

"Lagu raya dikir barat ‘Di Pinggiran Aidilfitri’ itu antara lagu yang yang amat disenangi kerana lagu itu juga unik kerana saya tidak rasa stesen-stesen radio di Malaysia memutarkan lagu itu ataupun ada lagu itu tapi ia sesuatu yang 'Uniquely Singapore' jadi lagu itu. Mungkin lagu-lagu klasik tidak payah fikir. Sudah tahu ia akan disenangi ramai dan diminta ramai," kongsinya.

LAGU KLASIK TERUS JADI SIULAN; BANGKITKAN NOSTALGIA

Sebuah lagi 'lagu wajib' pada musim perayaan ini ialah lagu 'Aidilfitri' gubahan Allahyarham Zubir Said.

Ia nyanyian asal Nona Asiah dan Kamsani yang dirakamkan semula oleh Sanisah Huri ketika usianya 20 tahun.

Lagu malar segar itu kekal popular dalam membangkitkan semangat dan nostalgia Hari Raya.

Menerusi tinjauan di Spotify, lagu itu sudah dimainkan lebih 3.7 juta kali setakat ini.

"Pasal ada mercun yang begitu kan? Nak kena ubah juga seni kata itu. Jadi seni kata itu ditulis oleh Cikgu Yusnor Ef. Lagu itu pula ada kena mengena dengan famili. Orang yang sudah dengar lagu-lagu itu memang faham," kata Sanisah Huri yang juga terkenal dengan lagu 'Sejak Ku Bertemu Padamu'.

Lebih manis lagi, lagu tersebut juga merupakan lagu Hari Raya yang pertama buat dirinya sejak mula menceburi bidang seni.

"Bila dengar Saloma menyanyikan lagu-lagu hari raya masa saya kecil-kecil dulu, kan? Jadi saya sangat gembira kerana saya dapat menyanyikan lagu Hari Raya. Itulah yang satu yang saya idamkan," kata Sanisah Huri.

LAGU 'AIDILFITRI' TERPAKSA DIRAKAM SEMULA SEBAB...

Namun lagu 'Aidilfitri' yang berkumandang di radio pada hari ini adalah versi yang dirakam semula.

"Seorang ustaz itu berkata, seni kata yang saya sebut ‘Allahu Akbar’ kan? Allah, Allah, Allahu Akbar. Hu-nya itu tak boleh panjang. Saya sedih (versi asal) tidak dapat disiarkan lagu itu tapi macam mana pun Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) masa itu dia cakap buat baliklah lagu itu. Yang pertama itu, pada saya lagi baik bunyinya. Masa saya menyanyi pun lagi seronoklah saya dengar," jelasnya.

LAGU RAYA SANISAH HURI MALAR SEGAR HINGGA KE HARI INI

Pada 1972, Cik Sanisah merakamkan sebuah lagu yang lebih syahdu, 'Bersabarlah Sayang', ciptaan Allahyarham Kassim Masdor dan Yusnor Ef.

Ia sangat popular sehingga ramai penyanyi lain yang berminat untuk merakamkannya semula.

Ini termasuk Anuar Zain, Wany Hasrita dan Allahyarham Saleem Iklim yang merupakan versi paling digemari Cik Sanisah Huri sendiri.

Beliau sendiri telah merakamkan semula lagu itu untuk satu projek kompilasi dipanggil 'Gema Lebaran Legenda' pimpinan komposer Malaysia, Ajai pada 2018.

Dengan 24 lagu, ia turut melibatkan artis-artis seperti Ramlah Ram, Salamiah Hassan, Yusni Hamid dan Fazli Zainal.

Pada tahun lalu, beliau diundang untuk sama-sama menjayakan sebuah konsert di Kuala Lumpur, Malaysia bersama artis-artis hebat termasuk Ziana Zain, Hail Amir dan Bob Yusof.

"Saya sangat gembira kerana dapat bersama-sama dengan artis-artis Malaysia ini kan meraikan Raya Sepanjang Zaman masa itu di Dewan Filharmonik PETRONAS. Saya idam-idamkan dan Alhamdulillah saya dapat menyanyi di tempat ini. Saya gembiralah dapat menyanyi bersama-sama mereka. Sambutan sangat meriah, ramai dan yang sangat saya tak dapat lupakan sekali Tun Sri Dr Mahathir dan isteri datang tengok kita menyanyi malam itu," kongsi Sanisah Huri.

ALUKAN LAGU BAHARU; KOLABORASI DENGAN ARTIS LAIN

Selepas lebih lima dekad dalam industri muzik, Cik Sanisah berharap agar lagu-lagunya kekal segar di ingatan para peminat.

Beliau juga terbuka untuk berkolaborasi dengan artis baharu atau mereka yang ingin merakamkan semula lagu lama tetapi dengan satu syarat: "Bagi saya kalau menyanyi ini gaya ada memang bolehlah tapi jangan banyak banyak stail pula nantikan. Cuma lagu tu pun jangan ubah lagu itu, itu sahaja."

Untuk Hari Raya ini, beliau akan membuat persembahan khas di Hab Tampines Kita pada Mei nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan