BERITA+: Program persiapan Ramadan untuk kanak-kanak pilihan ibu bapa sempena cuti sekolah
Mendidik kanak-kanak untuk berpuasa dengan cara yang kreatif. Itulah yang cuba diusahakan sekumpulan asatizah menerusi program 'Little Sa'im' yang dianjurkan pusat pendidikan SimplyIslam.sg sempena cuti sekolah baru-baru ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)
BERITAmediacorp: Mendidik kanak-kanak untuk berpuasa dengan cara yang kreatif.
Itulah yang cuba diusahakan sekumpulan asatizah menerusi program 'Little Sa'im' yang dianjurkan pusat pendidikan SimplyIslam.sg sempena cuti sekolah baru-baru ini.
Sejak dimulakan lima tahun lalu, pihaknya menyaksikan permintaan yang cukup menggalakkan daripada ibu bapa.
Tahun ini sekitar 50 peserta mengambil bahagian.
"Kita mengkhususkan program ini kepada kanak-kanak yang berusia 7 sehingga 12 tahun. Tujuan program kami adalah untuk mempersiapkan mereka pada Ramadan yang akan datang. Alhamdulillah kita selalu dapat pelajar yang datang setiap tahun jadi kita tahu yang ibu bapa mereka selalu percayakan aktiviti-aktiviti kami," kata Naib Pengetua, SimplyIslam.sg, Ustazah Inshirah Abdul Mutalib.
Bermula jam 10 pagi hingga 5 petang, jadual para peserta padat dengan pelbagai aktiviti berkaitan Ramadan.
LEBIH AKTIVITI 'HANDS ON' DITERAPKAN TAHUN INI
Misalnya aktiviti membuat manisan menggunakan makanan 'sunnah' seperti kurma, kacang dan madu lebah.
Bukan sahaja enak dimakan, makanan tersebut juga kaya dengan khasiat sekali gus, menggalak pemakanan sihat dalam kalangan si cilik lebih-lebih lagi dengan bulan Ramadan yang bakal menjelang.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Aktiviti tersebut juga ialah antara sajian terbaru program itu tahun ini.
"Tahun ini kita mengadakan lebih aktiviti 'hands-on' dan juga kami perhatikan kanak-kanak sering berminat untuk tahu tentang sahur dan berbuka puasa jadi kami menerapkan aktiviti di dapur seperti membuat 'granola bars' untuk membuat mereka teruja untuk Ramadan yang akan datang. Jadi mereka tahu apabila Ramadan nanti, ia tidak sahaja untuk menghalang dari makan dan minum, dan juga boleh dapat lebih manfaat dari Ramadan akan datang," ujar Ustazah Inshirah.
(Gambar: Syawal Yusoff)
KANAK-KANAK BOLEH HAYATI ERTI RAMADAN
Musim cuti sekolah bulan Mac kali ini yang jatuh seminggu sebelum Ramadan juga mendorong para ibu bapa seperti Cik Azlina Mohamed menghantar dua orang puterinya ke program tersebut.
"Saya nak mereka mempelajari lebih dalam tentang Ramadan. Bukan hanya setakat puasa sahaja tapi juga ibadah-ibadah lain yang mereka dapat lakukan pada bulan Ramadan. Jadi saya nak mereka lebih menghayati apakah itu Ramadan," katanya.
Beliau juga mengalu-alukan program tersebut kerana ia membantu ibu bapa seperti dirinya memberi penerangan yang lebih jelas kepada anak-anaknya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Mungkin anak-anak ini dia lebih senang mendengar penjelasan daripada guru-guru, asatizah. Mungkin kita pun ada kekurangan dari pihak kami. Jadi adanya program begini ia sangat membantu kami sebagai ibu bapa untuk anak-anak lebih memahami tentang Ramadan dan amalan-amalan di bulan yang mulia ini,"tambah Cik Azlina.
Pandangan serupa turut dikongsi Encik Muhammad Faridz Mohd Ridzwan yang menghantar anak lelakinya ke program itu.
"Jadi kanak-kanak itu lebih memahami kenapa kita berpuasa. Bukan sebab paksa mereka berpuasa. Jadi mereka minat berpuasa, jadi mereka nak berpuasa. Jadi itu sebab besar kenapa saya hantar dia ke sini," kata Encik Faridz.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain puasa, para peserta juga diperkenalkan kepada aspek-aspek lain agama dengan cara yang kreatif.
Misalnya, aktiviti membuat tasbih yang bukan sahaja seronok tetapi juga menggalak kanak-kanak untuk berzikir dalam bulan Ramadan.
Dengan menggunakan biji-biji manik berwarna-warni, para peserta dapat menggunakan daya kreativiti mereka untuk mengikat 33 biji manik kepada dawai yang disediakan.
Setiap seorang diberikan satu warna sahaja - iaitu langkah strategik untuk memupuk nilai berkongsi dalam kalangan para peserta.
LEBIH SEMANGAT UNTUK BERPUASA
Pada waktu Zuhur pula, para asatizah berkongsi tentang amalan dan cara-cara solat tarawih dan Aidilfitri.
Berpandukan buku kerja yang diberikan kepada setiap pelajar, para asatizah di SimplyIslam.sg ini juga memberi penerangan tentang makna Ramadan dan malam-malam khas seperti Lailatul Qadar.
Ini membuatkan para peserta semakin berkobar-kobar untuk mula berpuasa.
Antaranya ialah pasangan adik-beradik, Saeda Salman Baladram, 7 tahun dan Nur Salman Baladram, 12 tahun.
"Sebab saya sudah di darjah dua. Saya mahu berpuasa sepenuh hari. Pada awal pagi kita boleh makan tetapi apabila azan berkumandang, kita tidak boleh makan lagi. Apabila tiba waktu Maghrib, kita boleh makan lagi pada waktu malam," kata Saeda.
Bagi Nur Salman pula, "Kadang-kadang saya minum air secara tidak sengaja (semasa bulan Ramadan). Jadi tahun ini, saya nak puasa penuh."
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Puasa itu paling penting untuk orang Islam. Bila kita puasa, 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan kita boleh beribadah kepada Allah," kata El Adam Abdullah, 10 tahun.
Pada akhir sesi, setiap peserta diberi sijil dan buku panduan yang mengandungi aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan bersama ibu bapa di rumah.
Ia diharap dapat terus mendorong mereka untuk berpuasa di bulan Ramadan akan datang.
Menurut SimplyIslam.sg, banyak lagi program akan disediakan buat para pelajar kelas madrasahnya sepanjang Ramadan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.