BERITA+: Program latihan APSN bantu golongan berkeperluan khas kemahiran dapat pekerjaan
Dengan latihan khusus, peluang pekerjaan bagi individu berkeperluan khas kini lebih luas lagi dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif.
SINGAPURA: Dengan latihan khusus, peluang pekerjaan bagi individu berkeperluan khas kini lebih luas lagi dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif.
Usaha pertubuhan agensi khidmat sosial seperti APSN misalnya, membantu memperkasakan para pelatihnya yang kurang daya intelek supaya mereka juga boleh bekerja dan mencapai potensi mereka yang sepenuhnya.

Antara mereka yang sudahpun meraih manfaat daripada program latihan berkenaan ialah Zabrina Lee, 25 tahun.
Beliau antara 260 pelatih yang mempunyai sindrom down dan kekurangan daya intelek dan sedang menjalani latihan vokasional mereka di Pusat untuk Orang Dewasa, APSN yang terletak di Jalan Ubi.
"Setiap hari, saya bangun awal pagi. Saya akan makan tengah hari di Eunos dahulu sebelum datang ke sini untuk mula bekerja,"kongsi Zabrina kepada wartawan Syawal Yusoff tentang rutin seharian beliau.
TAWARAN BEKERJA SELEPAS TAMAT LATIHAN
Di situ, Zabrina diberi tanggungjawab sebagai kru F&B di kafe yang sebilangan besarnya dikendalikan oleh para pelatih.

Menerusi kerjasama dengan syarikat ANDES by ASTONS, kafe itu dibuka bagi memberi golongan berkeperluan khas sepertinya pengalaman bertugas di perusahaan F&B.
Ini juga bermakna, mereka akan ditawarkan pekerjaan di cawangan-cawangan rangkaian makanan itu apabila tamat latihan mereka.
"Kami mempelajari perkara seperti memasak, menyediakan hidangan panas dan sejuk. Kami belajar bagaimana untuk lakukan tugas kasir, mengira wang adalah sukar. Jurulatih akan membantu saya mempelajari cara mengira wang," kata Zabrina, yang gemar menari dan main sukan badminton.
Sejak menjalani latihannya hampir setahun yang lalu, Zabrina kini berasa lebih yakin dan ghairah untuk memulakan pekerjaan sepenuh masanya menjelang April nanti.

PROGRAM LATIHAN DISESUAIKAN MENGIKUT TAHAP KEMAHIRAN, MINAT INDIVIDU
Di APSN, program latihan disesuaikan mengikut tahap kemahiran serta minat setiap individu.
Bagi para pelatih yang mahir membuat kuih dan pencuci mulut, mereka berpeluang mengasah kebolehan mereka di bakeri yang juga terletak di perkarangan Hab Masyarakat Kembangan Chai Chee.
"Kami melakarkan program mengikuti keperluan mereka dengan mengadakan alat seperti cetak untuk mereka membuat biskut. Jadi apabila mereka membuat produk mereka, ia sama setiap hari. Jadi ini dapat membantu membimbing mereka agar mereka tahu apa yang mereka buat itu," kata Jurulatih (Bakeri), Pusat untuk Orang Dewasa APSN, Nurhidayah Md Ali.

Selain menyediakan pencuci mulut untuk kafe itu, mereka juga ditugaskan membuat kuih-muih untuk dijual semasa musim perayaan.
Ini juga antara langkah untuk mempersiapkan mereka bagi realiti kesibukan tugas di luar kelak.
"Apabila kami membuat produk-produk mengikut perayaan, mereka akan lebih peka. "Oh sebenarnya dekat luar perayaan ini diraikan dan ini semua adalah sambutan yang besar". Ini supaya apabila mereka keluar bekerja, mereka tidak terkejut 'Mengapa banyak tempahan semasa musim Krismas?' Kami melatih mereka supaya mereka tahu masa-masa sibuk dan bukan sibuk," tambah Cik Hidayah.

Sebagai jurulatih, Cik Hidayah juga perlu memantau prestasi 15 pelatih di bawah bimbingannya.
Ini agar beliau dapat memastikan peranan yang diberikan betul-betul serasi dengan mereka, sekaligus dapat bantu mereka dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai.
"Kami harus memanfaatkan kekuatan individu. Mungkin ada yang takut memegang pisau, jadi kami akan meminta mereka menimbang barang dan bahan-bahan. Ada yang tidak tahu membaca nombor. Jadi kami akan meminta mereka membentukkan biskut-biskut," kata Cik Hidayah.
Dengan sokongan pekerjaan dari syarikat-syarikat berbilang industri, lebih 60 pelatih APSN kini sudahpun berjaya mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.
Selain ANDES by ASTONS, syarikat-syarikat lain seperti Bollywood Farms, Cloop, dan Wildness Asia antara syarikat inklusif yang menyokong usaha APSN.
"Majikan berkongsi maklum balas bahawa pelatih kami sangat bersungguh-sungguh dan mereka sentiasa bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu. Dengan ini, mereka sentiasa merasakan bahawa pelatih kami juga boleh melakukan semua tugas seperti pekerja tetap mereka dan mereka juga harus diberi peluang dan peluang untuk bekerja di bidang lain juga," kata Pembimbing Kerjaya, Firashikin Zulkifli.

SOKONGAN UNTUK PARA PELATIH DAN MAJIKAN
Sokongan yang diberikan kepada para pelatih juga berterusan, walaupun sesudah mereka tamat tempoh latihan.
Bahkan para majikan juga akan turut dibantu agar dapat menjalinkan hubungan kerja yang positif dengan para pelatih yang diambil bertugas.
"Kami juga mendidik majikan cara berkomunikasi dengan pelatih dan membantu mereka memahami keperluan dan keupayaan pelatih. Kami melibatkan diri dengan syarikat yang bekerjasama dengan kami untuk memastikan kemahiran pelatih tetap kekal relevan dengan 'pelatihan semula' jika terdapat perubahan sistem pekerjaan," tambah Cik Firashikin.

Cik Nurhidayah pula menambah: "Tidak semua orang tahu bagaimana untuk menangani mereka apabila mereka ada 'meltdown' ataupun cabaran-cabaran seperti perhatian yang singkat dan selainnya dan kami berkongsi dengan para majikan bagaimana untuk hadapinya apabila mereka melalui situasi-situasi tertentu."
Sejak hampir 50 tahun yang lalu, APSN sudahpun membantu lebih 6,000 individu berkeperluan khas dalam mencapai potensi mereka yang sepenuhnya.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.