Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Prasekolah PCF dan NTUC sedia program holistik dan terkini; pastikan mutu pendidikan kekal tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp:Pendidikan prasekolah adalah anak kunci bagi memberikan anak-anak permulaan terbaik dalam kehidupan.

Oleh itu, pemerintah komited untuk memberi setiap kanak-kanak permulaan kehidupan yang baik tanpa mengira latar belakang mereka.

Dalam bahagian pertama siri prasekolah, BERITAmediacorp ke dua pusat kendalian pengendali prasekolah terbesar setempat untuk mempelajari program serta sokongan yang disediakan.


TUKAR SEKOLAH SUPAYA LEBIH BERSEDIA UNTUK DARJAH SATU

Cik Fatma Osman dan suaminya Muhd Shafi Rafi pernah menghantar anak mereka, Muhammad Fatih ke tajaka privet sebelum ini.

Tarikannya, suasana dan pendekatan pembelajaran awal kanak-kanak yang lebih pelbagai.

Namun, sejak tahun lalu, Cik Fatma, memindahkan Fatih ke pusat NTUC First Campus My First Skool.

"Ia satu pendedahan yang baik. Ia mendedahkannya kepada bukan sahaja murid-murid tempatan tetapi daripada berbilang negara. Namun apabila kami fikir apa yang dia perlukan untuk memasuki darjah satu di sekolah nasional, kami rasa mungkin lebih baik mengalihkan dia ke pusat yang mempunyai kurikulum yang lebih standard," jelas beliau.

Terdapat kira-kira 1,900 prasekolah berlesen yang dikendalikan lebih 500 pengendali.

Sebahagian besar dikendalikan syarikat swasta, pusat-pusat pengendali utama dan pengendali rakan kongsi.

My First Skool, PCF Sparkletots dalam kalangan lima pengendali utama.

Pengendali utama yang menerima geran pemerintah mesti memenuhi kewajipan tertentu seperti yuran kekal berpatutan dan mempunyai tempat yang mencukupi.

Ini selain diiktiraf Akreditasi Rangka Kerja Prasekolah Singapura (Spark) dan menepati piawai Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Namun keutamaan bagi ibu bapa bukan setakat kurikulum yang ditawarkan sahaja.

"Kami memilih prasekolah yang memberi tumpuan kepada masyarakat Melayu/Islam dan ia sangat penting kerana mereka mengajar Bahasa Melayu. Tetapi kami tetap mengutamakan persekitaran yang lebih pelbagai.
Apa yang ada dalam sekolah itu daripada segi sumber dan persekitaran dan juga menanya tentang pengalaman guru-guru," kongsi cik Fatma.

Jelas selain persekitaran yang bersesuaian, guru-guru prasekolah yang menyokong rasa ingin tahu kanak-kanak sangat penting.

Ini memastikan mutu pembelajaran yang ditawarkan setara atau mungkin lebih baik daripada yang ditawarkan pusat-pusat swasta.


"Kami mempunyai pakar kurikulum dan pedagogi yang khusus. Mereka akan memikirkan bagaimana kita dapat mengukuhkan kurikulum kami. Dan sudah tentu, di pusat itu sendiri, seperti yang anda lihat di Wisma Geylang Serai, anda akan melihat bahawa sentiasa ada ciri-ciri khusus seperti ciri-ciri warisan dan budaya Melayu," kata Pengarah Urusan My First Skool Cik Thian Ai Ling.

Satu lagi pengendali prasekolah adalah PCF Sparkletots.

Ia pengendali prasekolah terbesar dengan lebih 40,000 kanak-kanak berdaftar di kira-kira 360 prasekolahnya di merata negara.

Pengetua Eksekutif, Kawasan Timur Laut, PCF Sparkletots Cik Noriyaton Yunos memberitahu BERITAmediacorp bahawa Pakar kurikulum PCF bukan setakat mewujudkan kurikulum yang holistik, malah mengkaji dan mempertingkatkan kurikulum secara teratur.

"Pusat kami menyediakan persekitaran yang kondusif agar minda kanak- kanak dapat dirancang, sesuai dengan usia mereka. Setiap perjalanan pembelajaran kanak kanak di PCF SparkleTots, diperkayakan dengan pelbagai pengalaman berharga dan inter disciplinari," kata beliau.

Semua kanak-kanak prasekolah Sparkletots kendalian Yayasan Masyarakat PAP kini berpeluang menimba ilmu baru menerusi program pendidikan ^yang memberi tumpuan kepada inovasi dan teknologi.

Mereka belajar tentang topik-topik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik, Rekaan dan Keusahawanan, atau STEMIE.

PEMERINTAH KOMITED SEMUA KANAK-KANAK DAPAT PERMULAAN BAIK

Landskap pendidikan terus diperkukuhkan untuk menepati keperluan pembelajaran masa ini.

Oleh itu, pemerintah telah meningkatkan pelaburan dalam sektor itu termasuk usaha membina kemahiran dan mengasah kepakaran kakitangan pendidikan awal kanak-kanak.


"Latihan dan peningkatan kemahiran guru secara berkala sudah disediakan untuk memastikan pendidik dapat menyampaikan pembelajaran yang berkualiti.

"Pendidik awal kanak kanak di PCF menjalani sekurang-kurangnya 1200 jam latihan melalui kursus latihan profesional mereka. Kursus-kursus itu direka untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi guru yang berkesan di dalam bilik darjah," dedah Cik Noriyaton.

NTUC First Campus pula, kata Cik Thian mempunyai sebuah unit pembangunan pembelajaran yang membangunkan program pembelajaran dan profesional yang diperlukan.

Ia bukan sahaja guru tetapi juga pengetua,beberapa penyelia pusat dan juga para pemimpin.

PELBAGAI PROGRAM BANTUAN UNTUK PASTIKAN KANAK-KANAK TIDAK TERCICIR

Di peringkat nasional, pemerintah telah menyatakan komitmen akan terus membantu ibu bapa di Singapura untuk menguruskan tekanan membesarkan anak dan memberi setiap daripada mereka permulaan yang baik dalam hidup.

Selain daripada skim yang tersedia di peringkat nasional yang diberikan oleh ECDA, bahagian amal PCF juga melanjutkan subsidi yuran dan program-program lain untuk memenuhi keperluan kanak kanak PCF SparkleTots.

"Untuk kanak-kanak yang memerlukan sokongan pembelajaran tambahan, kami menyediakan perkhidmatan seperti pendidikan inklusif (InSP) dan sokongan pembangunan dan sokongan pelajaran (DS-LS)," kata Cik Cik Noriyaton lagi.


PCF SparkleTots juga bekerjasama dengan KickStart Singapore untuk memantau kehadiran kanak kanak yang berisiko tinggi dan memastikan mereka menerima sokongan yang tepat kepada keperluan khusus mereka.

"Bagi kanak-kanak yang mungkin datang dari keluarga yang lebih memerlukan, sama ada mereka berpendapatan rendah atau mungkin keluarga mengalami beberapa cabaran kerana situasi keluarga, pihak My First Skool perlu bekerja dengan pelbagai agensi bukan hanya pemerintah. Adakalanya kami bekerjasama dengan para pekerja sosial dan sebagainya," jelas Cik Thian.

Sebagai pengendali utama, NTUC First Campus adalah inklusif dan memastikan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak boleh diakses oleh semua. Oleh itu, kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mempunyai keutamaan kemasukan ke pusat prasekolah My First Skool.

Dana amal NFC - Dana Bright Horizons - juga menyediakan sokongan kewangan dan sosial tambahan kepada keluarga, untuk membolehkan anak-anak mereka berintegrasi dengan baik dengan rakan sebaya mereka dan kerap menghadiri prasekolah.

Inisiatif ini membolehkan NFC meneruskan misinya untuk mencipta masa depan yang cerah untuk setiap kanak-kanak dan keluarga mereka.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan