Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Prasekolah khas Melayu/Islam tawar kurikulum menyeluruh termasuk pendidikan agama & budaya

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Oleh kerana mahu memupuk nilai-nilai murni, memberikan pendidikan serta asuhan agama yang kukuh, Cik Azlinda Arba'in mendaftarkan anak-anaknya di Pusat Tajaka Ilham.

"Kami tertarik dengan empat bahasa yang ditawarkan oleh Pusat Tajaka Ilham. Selain daripada Bahasa Inggeris dan Melayu, mereka juga menawarkan Bahasa Arab dan Mandarin. Sebagai ibu yang bekerja sepenuh masa, masa saya bersama anak-anak agak terhad jadi di Ilham mereka sudah didedahkan dengan Nasyid, dengan doa-doa harian dan solat. Jadi bagi kami ibu bapa, ia dapat membantu kami," ujar Cik Azlinda.

Ini lebih-lebih lagi untuk mempersiapkan anaknya bagi Ujian Kemasukan Darjah 1 Madrasah Sepenuh Masa.

9 KELAS PENGAYAAN PERCUMA TURUT DITAWARKAN

Selain menyepadukan pengajian Islam di dalam kurikulum akademiknya, Pusat Tajaka Ilham juga menawarkan kelas-kelas pengayaan tanpa memerlukan ibu bapa membayar kos tambahan.

"Kita ada sembilan program yang percuma untuk kanak-kanak di sini kerana kita rasa macam semua kanak-kanak di Singapura, mereka tak perlu, tak ketinggalan. Ada sekolah, mereka akan sediakan untuk budak-budak yang ibu bapa mereka bayar untuk masukkan kelas pengayaan tertentu," kongsi salah seorang guru di Pusat Tajaka Iham, Cik Nurul Ashikin Amat Johari.

Antara kelas pengayaan yang disediakan termasuk kelas seni lukis, drama, 'Phonics' dan sebagainya.
Selain bidang agama dan budaya, pusat ini juga menekankan pentingnya bagi mempersiapkan murid-murid dengan kemahiran digital.

Walaupun kanak-kanak itu baru berusia lima tahun sahaja mereka sudah pandai menggunakan pelbagai peralatan digital.

Antara peralatan tersebut termasuk iPad, kamera dan komputer riba.

Ini dianggap penting supaya mereka tidak ketinggalan dalam mengikut rentak arus globalisasi semasa.

Bagi menyuburkan potensi kanak-kanak dalam segala aspek perkembangan, mereka juga dilatih dengan kemahiran-kemahiran motor penting.

KURIKULUM SEJAJAR DENGAN ALIRAN UTAMA

Di samping keunikan yang ditawarkan pusat prasekolah Melayu dan Islam ini, mereka juga memastikan kurikulum mereka sejajar dengan aliran utama.
Ini bagi memastikan murid-murid tidak ketinggalan dalam pelajaran apabila mereka masuk Darjah 1.

Pengetua tadika di Masjid Al-Istiqamah, Cik Shalwana Jumahat berkata, "Kurikulum sekular kami adalah lakaran kerja oleh Kementerian Pendidikan Singapura (MOE) di mana ia mendapat sokongan juga daripada Agensi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECDA) di Singapura, di mana ia menyerupai kurikulum-kurikulum yang terdapat oleh pusat-pusat pra sekolah di serata negeri ini"

"Apa yang membezakan kurikulum kami dengan kurikulum tadika atau prasekolah di luar sana adalah kami memberikan peluang untuk anak-anak didedahkan kepada pendidikan Islam," tambah beliau.

TUMPUKAN LATIHAN MAIN PERANAN

Di tadika Masjid Al-Istiqamah itu juga, latihan main peranan juga banyak dilakukan.

Dalam sesi main peranan di kantin sekolah misalnya, ia bukan sahaja memperkenalkan mereka kepada konsep mengira wang tetapi juga bantu membangunkan kemahiran sosial dan komunikasi mereka.

Ini termasuk mengajar mereka membuat pesanan makanan dan memahami konsep baki wang.
Pihak tadika juga prihatin dalam mempersiapkan para murid untuk berinteraksi dan berkawan dengan rakan daripada kaum lain apabila mereka ke sekolah rendah.

"Seminggu, atau dua minggu sekali, kami akan membawa mereka ke kedai berhampiran, kedai-kedai ‘minimart’ di mana sepanjang perjalanan itu mereka akan bertemu dengan pakcik, makcik yang bukan golongan Melayu/Islam. Mereka akan katakan ‘Hello’ atau perkongsian tentang diri mereka. Ini memberi mereka keyakinan diri untuk bergaul dan memahami bahawa konteks sosial kami di Singapura amat pelbagai, ia memerlukan persefahaman bahawa kita bekerja dengan harmoni, dengan cara berbilang kaum," ujar Cik Shalwana kepada BERITAmediacorp.

Ini di samping mendedahkan para murid kepada hal ehwal semasa menerusi keratan akhbar yang dilampirkan di tembok bilik-bilik darjah.
Bagi tadika Masjid Al-Istiqamah dan Pusat Tajaka Ilham, meskipun kelebihan pendidikan agama dan budaya itu ditawarkan, perkara asas iaitu kurikulum dan pendidikan menyeluruh tetap diutamakan mereka bagi mempersiapkan pelajar bagi peringkat pendidikan mereka yang seterusnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan