Skip to main content

Singapura

BERITA+: Piala Dunia buka peluang warga asing kongsi budaya dengan masyarakat SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jul 2026 09:50PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 02:21AM
  • Piala Dunia FIFA di Singapura menjadi peluang bagi warga asing seperti Cik Chaimaa Khairani dari Maghribi dan Cik Hiromi Horibe dari Jepun berkongsi budaya mereka.
  • Cik Chaimaa memperkenalkan budaya Maghribi melalui hidangan tradisional dan menonton perlawanan bersama rakan-rakan di balai rakyat.
  • Cik Hiromi, ahli Kelab Sakura, kerap bertemu komuniti Jepun dan menggunakan media sosial untuk memperkenalkan budaya Jepun kepada masyarakat tempatan.
  • Acara bola sepak ini bukan sekadar sukan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara pelbagai budaya dan membina persahabatan di Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Piala Dunia FIFA bukan sekadar menyatukan peminat bola sepak dari seluruh dunia.

Di Singapura, perlawanan itu turut menjadi wadah buat warga asing di Singapura berkongsi budaya dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

KONGSI BUDAYA MAGHRIBI BERSAMA MASYARAKAT DI SINGAPURA

Bagi Cik Chaimaa Khairani yang berasal dari Maghribi, beliau memilih untuk memanfaatkan peluang itu bersama rakan-rakannya di Singapura.

Sejak 2024, Cik Chaimaa sudahpun menetap di Singapura dan menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di sini.

Namun pada awalnya, ada juga yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap budaya Maghribi.


Apabila saya katakan yang saya orang Maghribi, mereka akan bertanya di manakah Maghribi? Kemudian saya akan beritahu ia di Afrika. Kita mempunyai budaya yang berbeza, kita ada dari Afrika, Sahara dan Amazigh iaitu orang Berber, penduduk asal Magrhibi. Malah serta Andalusia dan kewarganegaraan lain," kongsi Cik Chaimaa Khairani, 24 tahun bersama wartawan Danish Aiman.

Malah, Cik Chaimaa melihat peluang ini untuk berkongsi budaya negaranya dengan rakan-rakannya di Singapura dan salah satu cara adalah menerusi hidangan asal Maghribi.
Related article image
Roti Maghribi dan teh pudina antara hidangan yang disajikan (Gambar: BERITAMediacorp/Danish Aiman)
"Sebenarnya sebagai seorang Maghribi di Singapura, cara kegemaran saya ialah melalui makanan kerana makanan membolehkan kita untuk menyentuh hati mereka. Jadi saya suka menjemput rakan-rakan sama ada dari Maghribi ataupun Singapura dan memasak hidangan Maghribi untuk mereka seperti Tagine Magrhibi, roti Magrhibi, teh pudina dan sebagainya," jelas Cik Chaimaa.

Meskipun berjauhan dari tempat kelahirannya, sokongannya terhadap pasukan Maghribi tidak pernah putus.

Cik Chaimaa akan hadir bagi setiap permainan bola sepak di balai rakyat berdekatan dengan rumahnya.
Related article image
Cik Chaimaa bersemangat menyokong pasukan Maghribi pada setiap perlawanan (Gambar ihsan: Chaimaa Khairani)
"Semasa perlawanan yang pertama, saya berasa agak sedih kerana tidak ramai orang yang meraikan perlawanan itu atau menyokong negara saya. Mungkin hanya sekitar 10 hingga 15 orang sahaja. Kita hanya duduk sahaja, tidak sama seperti di negara saya di mana kita semua akan meraikannya di luar, di mana-mana sahaja sepanjang masa. Namun, pada perlawanan kedua dan ketiga, saya mendapati lebih ramai orang yang datang. Malah, ada juga orang Melayu yang akan merakam video bersama-sama, mengabadikan detik-detik indah itu sambil meraikannya dengan bendera kami serta lagu-lagu kami," "kata Cik Chaimaa.

BERTEMU RAKAN-RAKAN DARI JEPUN LEBIH KERAP PADA MUSIM PIALA DUNIA

Bagi Cik Hiromi Horibe yang berasal dari Jepun pula, pertandingan itu membantunya untuk bertemu dengan rakan-rakan yang lain dari Jepun lebih kerap.

Beliau yang berasal dari Nagoya, Jepun sudahpun menetap di Singapura sejak 2016 lagi.
Related article image
Cik Hiromi Horibe, 39 bertemu dengan rakan-rakan yang lain dari Jepun (Gambar: BERITAMediacorp/Danish Aiman)

"Saya berpindah ke Singapura bersendirian pada 2016 kerana kerja. Jadi saya sudah menetap di sini selama 10 tahun sekarang tetapi saya dilahirkan dan dibesarkan di Nagoya, di wilayah Aichi. Bandar kami terkenal sebagai tempat mengilang jadi tidak ramai orang yang akan ke sana tetapi ia tempat yang cantik. Saya juga pernah menetap di Taiwan sebelum Singapura. Saya sayangkan Jepun tetapi saya juga suka untuk melihat budaya lain juga," kongsi Cik Hiromi Horibe, 39 tahun bersama wartawan Danish Aiman.

Beliau juga merupakan salah seorang anggota Kelab Sakura yang dikenali sebagai "Japanese Muslims in Singapore" yang ditubuhkan sejak 2017.

Dengan adanya kumpulan seperti itu, mereka dapat berkongsi pengalaman dan memberi sokongan dalam mengharungi kehidupan di negara asing.

"Kebelakangan ini kita ada banyak acara jadi mungkin sekali atau dua kali sebulan. Saya juga menyertai acara mereka dan juga kami ada seperti perjumpaan di rumah. Jadi kita akan pergi ke rumah seseorang ahli dari Kelab Sakura, kita akan membawa makanan ringan dan minum kopi bersama dan juga berkongsi maklumat untuk saling menyokong antara satu sama lain," jelas Cik Hiromi.

MEDIA SOSIAL KENALKAN BUDAYA JEPUN KEPADA LEBIH RAMAI ORANG

Menurut Cik Hiromi, melalui wadah-wadah seperti media sosial juga, lebih ramai orang berpeluang untuk mengenali budayanya dengan lebih mendalam.

Related article image
Video budaya Jepun mengemas stadium viral di media sosial (Gambar: TikTok/Lojinha Do Turcao)
"Semasa perlawanan sebegini, pihak media sering menonjolkan penyokong Jepun membersihkan stadium selepas perlawanan jadi saya fikir ia benar-benar mempamerkan sebahagian yang indah dari budaya saya. Terutama sekali rakan-rakan bukan warga Jepun juga kadangkala meghantar video tersebut kepada saya dan memuji budaya saya. Saya rasa ini juga merupakan cara yang baik untuk mengeratkan hubugan antara satu sama lain," kata Cik Hiromi sambil tersenyum.

Meskipun Piala Dunia FIFA bakal menutup tirai, namun bagi kedua-dua individu ini, musim perlawanan itu bukan sekadar meraikan kehebatan sukan tersebut.

Lebih dari itu, ia merupakan satu sambutan kepelbagaian budaya dan persahabatan antarabangsa, yang bakal terpaut dalam memori sebagai "trofi" kemenangan bagi para peminat sukan bola sepak.
Sumber : BERITA Mediacorp/DA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita