BERITA+ PESTA PENULIS SG: 200 program berbilang bahasa; himpun 300 aktivis seni, sastera dan budaya
Pesta Penulis Singapura (SWF) 2024 sampai ke kemuncaknya pada hujung minggu ini, 17 November.
Bermula 8 hingga 17 November, acara tahunan itu menghimpunkan 300 penggiat seni, budaya dan sastera dari dalam dan luar negara, kali ini.
3 KUMPULAN BERGABUNG, USAHA LESTARI SENI PANTUN
Dalam program sempena Pesta Penulis Singapura (SWF), para peserta berpeluang untuk mempelajari dan menikmati karya-karya yang diberi nafas baharu.
Persembahan dimulakan dengan usaha menggabungkan pantun-pantun asli bersama irama muzik tradisional, menghasilkan lantunan lagu dan syair yang memukau.
Buat julung-julung kalinya, acara tersebut menyatukan tiga kumpulan pantun — Kelana Pantun Temasek, Sesaga Pantun Merlion, dan Pantunism.
Dengan itu, penonton dapat menyaksikan tiga gaya persembahan pantun yang berbeza, masing-masing menawarkan keunikan tersendiri.
"Keindahan pantun terletak pada bahasa, pada ritma dan pada penggunaan bahasa yang bijaksana. Ia dapat menyampaikan idea, menyampaikan emosi menyampaikan apa sahaja pemikiran kita dengan cara yang halus dan juga simbolik. Menerusi metafora dan kiasan, pantun dapat membawa kita ke ruang imaginasi yang lebih menarik," ujar anggota, Sesaga Pantun Merlion & Syairpura, Cik Khaziah Yem sewaktu diwawancara.
Seni pantun dipercayai berakar sejak sebelum abad ke-14 dan berkembang pesat dalam kalangan masyarakat pada kurun ke-17 hingga ke-20.
Namun, dengan kemajuan zaman dan pengaruh Barat, pantun kini lebih dilihat sebagai khazanah budaya yang semakin dilupakan.
Untuk itu, kumpulan-kumpulan tersebut berusaha menghidupkan semula seni pantun dengan menyesuaikannya dengan konteks dan trend semasa, sambil tetap menghormati peraturan dan adab tradisinya.
"Kita perlu perubahan dalam melestarikan pantun. Perlu gunakan media sosial agar generasi muda dapat melihat pantun itu bukan sahaja sebagai sastera lama, tetapi sebagai aset yang bernilai dalam budaya kita. Oleh itu, saya ada juga mengadakan bengkel untuk mengajar pantun. Dan saya sebagai pendidik, memupuk minat pelajar-pelajar kita seawal darjah satu. Dan mereka mengatakan bahawa mereka mencintai bahasa Melayu. Malah, mengaku bahawa subjek kegemaran mereka adalah bahasa Melayu. Kalau murid-murid sudah dapat mengatakan begitu, saya rasa itu satu kejayaan," ujar Cik Khaziah pula.
TAMPILKAN 200 PROGRAM BERBILANG BAHASA, 300 AKTIVIS SENI, BUDAYA DAN SASTERA
Usaha itu diharapkan dapat diteruskan oleh generasi muda untuk memastikan seni pantun terus dilestarikan, agar keindahannya kekal dihargai oleh masyarakat. Seperti yang diusahakan oleh Kelana Pantun Temasek yang diasaskan-bersama oleh Nur Aisyah Lyana, Annas Mahmud dan Ahmad Faqih.
Acara itu adalah sebahagian daripada lebih 200 program dalam Pesta Penulis Singapura (SWF) 2024, yang melibatkan 300 penggiat seni, budaya, dan sastera.
Dengan tema ‘Dalam Alam Kami’, SWF 2024 menggabungkan pelbagai aspek penulisan sambil mengkaji semula hubungan antara manusia dan alam semula jadi.
Selain acara-acara fizikal, pelbagai kandungan digital juga ditawarkan, termasuk podcast.
Untuk program-program Melayu, kurator Aqmal Noor berusaha memberikan sentuhan kelainan yang segar dan menarik.
"Salah satu program itu kita kupas muzik Melayu dan juga alat muzik Melayu yang menggunakan kulit dan juga kayu kerana ia adalah sebahagian daripada alam kami. Saya menjemput pemuzik yang memang tidak asing lagi di Singapura, Riduan Zalani dan juga Azrin Abdullah. Juga ada satu lagi program di mana saya mengundang pengarah dan juga pelukis Adi Yadoni, Mahfuz Mazlan dan juga Rafaat Hamzah untuk membincangkan tentang bagaimana media massa dapat membantu kesedaran tentang isu-isu masyarakat, isu-isu alam semula jadi dan sebagainya."
SWF turut memberi peserta peluang untuk meraih ilmu daripada lebih 40 penulis tempatan dan antarabangsa melalui acara temu ramah, perkongsian penulis, bedah buku, dan ceramah.
Lebih banyak acara SWF dianjurkan dalam minggu terakhirnya.
Tegas Encik Aqmal, "Rugi kalau mereka tidak datang dan juga tonton persembahan, forum dan sebagainya. Mereka tidak dapat melihat atau mendengar apakah pandangan penulis yang sebenarnya ialah inteligensia masyarakat, yang akan membentukkan bagaimana masyarakat itu berfikir mungkin 10 tahun akan datang, 20 tahun akan datang. Jadi itu satu yang kita nak tahu pasal tentang masa depan ataupun tentang masa depan masyarakat kita. Kita kena dengar apa yang penulis tuliskan. Kerana mungkin dalam masa 10, 20 tahun ke hadapan, apa yang tinggal hanya buku di perpustakaan. Jadi, buku itu akan menjadi rujukan."
Perancangan untuk Pesta Penulis Singapura 2025 telah pun dikenalpasti.
"Untuk Pesta Penulis Singapura tahun depan, ada ura-ura dari pihak kami untuk memberi peluang dan juga ruang kepada penulis lebih senior, lebih mapan dan juga penulis-penulis muda, termasuk penulis-penulis daripada mungkin peringkat sekolah menengah dan juga sekolah pos-menengah untuk diketengahkan kepada masyarakat. Kerana kita ingin masyarakat Singapura kenal akan penulis-penulis yang lahir dan juga ada dalam Singapura sendiri. Jadi ini satu program yang mungkin tahun depan kita akan dapat tahu lebih lanjut," dedah Encik Aqmal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.