Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Peserta Hashimah Ali Rashid dan hos Siti Khalijah Zainal teruja jayakan NDP terakhir di Pentas Terapung Marina Bay

Sepanjang hampir dua dekad yang lalu, jadual Cik Hashimah Ali Rashid, 54 tahun mula padat setiap kalinya menjelang 9 Ogos.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sepanjang hampir dua dekad yang lalu, jadual Cik Hashimah Ali Rashid, 54 tahun mula padat setiap kalinya menjelang 9 Ogos.

Ini kerana ibu kepada tiga orang anak itu perlu membahagikan masa untuk menghadiri sesi-sesi latihan dan raptai setiap minggu untuk Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) dengan menguruskan rumahtangga dan pekerjaan.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Kali ini genaplah tahun yang ke-18 Cik Hashimah beraksi dalam segmen muzikal NDP.

Ini bermakna beliau telah menyertai setiap NDP sejak tahun 2004 kecuali pada 2020 apabila acara itu diadakan pada skala lebih sederhana dek langkah-langkah keselamatan COVID-19.

Tarian berbilang budaya yang bakal dipersembahkan beliau bersama-sama 270 peserta yang lain dari Persatuan Rakyat (PA) mengiringi nyanyian artis-artis tempatan  Rahimah Rahim, Jacinta Abisheganaden, Shabir dan Liu Ling Ling.

SERTAI NDP SEJAK 2004 BERSAMA KAKAK

Cik Hashimah mula menyertai NDP atas ajakan kakaknya.

Meski kurang berpengalaman dalam seni tarian pada ketika itu, beliau lebih aktif dalam kegiatan seni dan jasmani yang lain.

"Minat itu adalah. Saya pernah masuk kumpulan 'lion dance', senaman aerobik di balai rakyat dan Jawatankuasa Penduduk (RC) semua," kata Cik Hashimah.


(Gambar: Hashimah Ali Rashid)

Beliau dan kakaknya sama-sama mewarnai acara gah itu untuk beberapa tahun namun pada tahun ini, kakaknya tidak dapat turut serta atas sebab-sebab kesihatan.

"Sejak dia menjalani pembedahan, dia sudah tidak menyertai (NDP). Saya berasa sangat sedihlah tapi saya tidak boleh buat apa-apa," jelas Cik Hashimah.

"Saya menjadi wakil untuk keluarga lah," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Walau bagaimanapun beliau tidak kesunyian kerana dikelilingi teman-teman baru yang dikenalinya dan menjadi akrab menerusi sesi-sesi latihan serta saling bantu-membantu. 

"Saya lakukan tengok kawan kiri depan belakang semua. Kalau saya tak pasti, saya tanya saya punya ketua," ujar Cik Hashimah.

Menurut Cik Hashimah, beliau lebih terdorong untuk membuat persembahan demi anak-anak dan tiga orang cucunya.

"Saya mendapat sokongan daripada anak-anak saya dan cucu-cucu saya sebab mereka nak melihat nenek mereka 'masuk televisyen'," jelasnya.

PERNAH DITIMPA KEMALANGAN BEBERAPA MINIT SEBELUM MUNCUL DI PENTAS

Sesi-sesi latihan untuk NDP bermula sejak April tahun ini dan diadakan satu hingga dua kali seminggu, selama empat jam setiap sesi.

Bagi mengemaskan lagi gerak tarinya, Cik Hashimah seberapa boleh akan 'curi-curi' masa untuk berlatih sendiri di rumah.

"Kadang-kadang apabila saya tidak membuat apa-apa di rumah, saya joget. Sambil masak pun saya boleh joget juga pasal ada dengar lagu di radio Warna, saya akan joget, untuk kesihatan saya lah," kongsi Cik Hashimah, yang turut melakukan senaman seperti berlari-lari anak untuk menjaga daya fizikal dan mental.

(Gambar: Hashimah Ali Rashid)

Selain kenangan manis, ada juga memori yang tidak dapat dilupakan beliau sepanjang 18 tahun beraksi di NDP.

Selepas gigih berlatih berbulan-bulan, beliau tidak dapat muncul di pentas pada Hari Kebangsaan 2017 disebabkan kemalangan kecil yang berlaku hanya beberapa minit sahaja sebelum dijadualkan membuat persembahan.

"Saya ditimpa kemalangan. Sebelum kami membuat persembahan pada hari itu, kompang salah seorang peserta dengan tidak sengaja terlanggar muka dan gigi saya. Dua batang gigi saya patah dan saya terus dimasukkan ke hospital. 

"Saya tidak dapat membuat persembahan pada hari itu. Itu yang membuat saya berasa sangat sedih," kongsi Cik Hashimah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Pengalaman itu sesekali tidak mematahkan semangatnya bahkan membuatnya lebih terdorong untuk sama-sama meraikan ulang tahun negara sehingga ke hari ini.

Beliau juga belum terfikir untuk 'bersara' daripada membuat persembahan di NDP.

Beliau juga teruja dapat beraksi kembali di hadapan lautan merah putih di Pentas Terapung selepas dua tahun.

Lebih bermakna lagi buat dirinya, NDP kali ini merupakan yang terakhir di Pentas Terapung sebelum menjalani kerja-kerja binaan untuk dijadikan Dataran NS.

"Perasaan saya sangat sedih pasal di sana (Pentas Terapung) kawasannya sangat cantik dan pemandangannya luas jika dibandingkan dengan Padang atau Stadium Negara," tambah Cik Hashimah. 

Cik Hashimah adalah antara 4,500 peserta NDP tahun ini yang mengambil bahagian dalam acara-acara di darat, laut dan udara - yang dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu perbarisan dan persembahan.

NDP 2022 juga lebih meriah dengan kembalinya 25,000 penonton setiap minggu di Pentas Terapung Marina Bay.

4 KALI SITI KHALIJAH ZAINAL JADI HOS NDP

Selain para peserta persembahan seperti Cik Hashimah, tugas penting untuk menyemarakkan lagi suasana digalas empat pengacara NDP. 

Mereka terdiri daripada personaliti tempatan - DJ-DJ stesen 987 Joakim Gomez dan Sonia Chew, pelawak Rishi Budhrani dan pelakon drama dan teater, Siti Khalijah Zainal.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi Siti Khalijah, beliau amat bersyukur sekali lagi diberi kepercayaan mengacarakan NDP selepas menjayakan NDP 2013, 2014 dan 2019.

"Saya rasa tenaga kami harus 100 peratus atau lebih kerana penonton-penonton di sini sudah melihat kami sebelum acara secara langsung di TV. Kami harus 'memanaskan' mereka untuk pastikan mereka sudah siap untuk acaranya apabila 'live' di TV," kata Siti Khalijah. 

Sebagai hos, beliau juga perlu berdisiplin dengan menjaga suara dan membina keserasian dalam kalangan teman pengacara.

Semasa ditemui di acara raptai NDP, Siti Khalijah kelihatan bersungguh-sungguh menghidupkan suasana di Pentas Terapung Marina Bay. 

"Walaupun mungkin orang berkata ‘Oh ini satu latihan sahaja’, tetapi pada saya, saya menganggap setiap latihan itu seperti satu pementasan atau acara yang sebenar." 

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Sudah tentu dengan setiap acara 'live', memang ada kesilapan tetapi jangan risau, kami perlu teruskan. Bagaimana kita cuba menutup kesilapan membuat ia seperti sesuatu yang menyeronokkan!

"Lagipun saya ada tiga kawan pengacara yang saling bantu membantu antara satu sama lain," kata Siti Khalijah.

Dengan Pentas Terapung kembali bergema dengan sorakan para penonton, beliau lebih bersemangat untuk memeriahkan persembahan kali ini.  

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Setiap kali kami meminta mereka tepuk tangan, dengan sukarelanya mereka lakukan. Setiap kali kami meminta mereka menyanyi, dengan suka hatinya mereka lakukan. Jadi sebagai seorang pengacara, saya terima semangat mereka dan ia memberi saya lebih banyak semangat untuk melakukan tugas saya dengan lebih baik."

Menjelang 9 Ogos ini, kedua-dua Cik Hashimah dan Siti Khalijah tidak sabar untuk menghiburkan dan membangkitkan semangat patriotisme rakyat Singapura!

Inilah harapan dan impian mereka buat negara tercinta:

"Saya bangga sekali menjadi anak Singapura dan moga kita terus maju jaya dan pandang ke hadapan," kata Siti Khalijah.

Doa Cik Hashimah pula: "Singapura memang negeri yang paling amat saya suka. Kita doakan yang terbaik-baik untuk Singapura. Lebih kukuh bersama, majulah kita semua!"

Anda boleh menonton siaran langsung NDP 2022 pada Selasa, 9 Ogos nanti di saluran-saluran Mediacorp, meWATCH dan YouTube Mediacorp Entertainment bermula jam 5.30 petang.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan