BERITA+: Perniagaan di Kampong Gelam kian rencam pasca-COVID; lebih tumpu pelanggan tempatan
BERITAmediacorp: Kegiatan perniagaan di Kampong Gelam menyaksikan perubahan sejak kebelakangan ini.
Jika sebelum ini ia lebih tertumpu kepada para pelancong, kini pelbagai perniagaan kreatif muncul untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan terutama selepas pandemik COVID-19.
Ia menjadikan perniagaan di daerah Kampong Gelam semakin rencam.
Ini termasuk sebuah kedai menjual pelbagai potongan daging premium - sesuatu yang tidak biasa dilihat di daerah Kampong Gelam tetapi berjaya menarik pelanggan tempatan.
Sewaktu menetap di Australia beberapa tahun lalu, pemilik kedai 'A Company of Butchers', Encik Shaik Hafeez tertarik dengan konsep pasar raya daging yang bersih dan kering di negara itu lalu membawanya ke Arab Street dua tahun lalu.
"Kebanyakan suri rumah akan datang dan mereka akan tanya, daging apa yang sedap daging stik ataupun kalau mereka mahu 'tomahawk', mereka akan tanya jenis 'tomahawk' apa yang bagus. Sampai sekarang kami berterima kasih kepada suri rumah yang datang sokong kami kerana mereka merupakan segmen yang besar pasaran kami," kata Encik Shaik Hafeez.
PERUBAHAN CAMPURAN PERNIAGAAN
Kedai itu antara lebih 30 perniagaan baru yang dibuka sejak 2021 menggantikan perniagaan yang dahulu lebih bergantung kepada pelancong.
Ini menjadikan perubahan pada campuran jenis perniagaan di Kampong Gelam lebih ketara selepas pandemik.
Di beberapa kedai, sehingga 70% pelanggannya warga tempatan.
Daripada kedai makanan dan minuman berkonsep baru hingga ke kedai gaya hidup, ia mencerminkan trend pengguna dan pelaburan yang berubah di daerah Kampong Gelam dan sekali gus menjadi tapak untuk usahawan baru bereksperimen.
Salah satu perniagaan tersebut adalah ruang jual beli gaya hidup bagi pembuat seni kraf, usahawan dan seniman, Curbside Crafters di North Bridge Road.
Antara lain, ia akan bekerjasama dengan jenama-jenama milik peniaga Muslim, Tudung People dan GLOWco yang menyewa ruang kedai.
"Bukan hanya ruang runcit, Curbside Crafters bermula dengan visi untuk membina ruang yang sesuai dan kolaboratif bagi peniaga runcit dan F&B kecil memulakan proses keusahawanan yang membolehkan mereka untuk bekerjasama dan bereksperimen untuk memajukan perniagaan mereka," kata wakil Curbside Crafters kepada BERITAmediacorp.
Semangat bereksperimen juga ditunjukkan seorang lagi usahawan, Encik Ali Redha, pemilik Tarik Cafe.
Percubaan beliau berbaloi. Daya tarikan pelanggan berulang ke Tarik Cafe adalah teh tradisional sentuhan kreatif beliau.
"Pembaharuan yang saya letakkan di kedai saya adalah beberapa minuman baru macam teh koma-koma, teh masala dan teh tarik dan cara saya buat teh tarik pun lain daripada kedai-kedai yang lain, kita didih teh dan cara kita buat amat berlainan," kata Encik Ali Redha.
Dengan sambutan amat baik yang diterima, beliau berpindah daripada kedai kecil ke ruang lebih besar di Arab Street.
KEKALKAN SEMANGAT NIAGA KAMPONG GELAM
Tanpa yang lama, tiadalah yang baru. Rumah-rumah kedai Kampong Gelam pernah menempatkan para pedagang terdahulu.
Kini ia memberi laluan kepada para usahawan baru yang menyuntik pembaharuan demi memenuhi citarasa semasa.
Di sebalik idea segar muka-muka baru di Kampong Gelam, harapan Curbside Crafters adalah supaya daerah ini terus relevan di masa akan datang: "Kami harap Curbside Crafters tidak hanya memaparkan semangat inovasi tetapi juga sentiasa bersandar pada kekayaan warisan dan budaya Kampong Gelam."
"Saya juga harap lebih ramai orang akan datang dan menyokong peniaga-peniaga di kawasan Arab Street dan kawasan yang seterusnya seperti Kandahar St, Bussorah St, agar mereka tidak hilang ditelan zaman," kata Encik Shaik Hafeez.
PASTIKAN PENIAGA BARU FAHAM CIRI UNIK KAMPONG GELAM
Untuk mencapai misi tersebut, Perikatan Kampong Gelam (KGA) mengumpul maklum balas November lalu bagi membangunkan kawasan bersejarah itu.
Antara anggota utama KGA ialah Encik Ibrahim Tahir, pemilik Wardah Books di Bussorah Street.
"KGA telah menerima lebih 1,600 maklum balas dari berbagai kumpulan seperti para peniaga, kumpulan kemasyarakatan dan orang awam. Maklum balas yang luas ini penting kerana kita sedar bahawa Kampong Gelam ini bukan saja kawasan komersil, ini adalah kawasan budaya, kawasan warisan, kawasan sejarah, bagi semua lapisan masyarakat majmuk Singapura," dedah Encik Ibrahim.
Di sebalik keupayaan menarik perniagaan baru, kebanyakan pihak berkepentingan memberi maklum balas agar warisan Kampong Gelam dipupuk, dipelihara dan terus dipamerkan.
"Kami perlu bekerjasama rapat dengan mereka serta pihak pengurus hartanah untuk memastikan agar perniagaan warisan terus bertahan. Pada masa yang sama kita mesti berusaha agar penyewa baru di kawasan ini atau kedai-kedai baru lebih faham dan akur akan warisan dan ciri-ciri unik di Kampong Gelam,"
Ini mencerminkan komitmen untuk menghormati dan meraikan nilai-nilai yang membentuk identiti kawasan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.