BERITA+: Permintaan umrah meningkat; GSA baru tawar pengalaman unik

(Gambar: Abdel Ghani Bashir/AFP)
BERITAmediacorp: Permintaan bagi pakej-pakej umrah bangkit semula selepas terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19 sejajar dengan sektor pelancongan global.
Kerajaan Arab Saudi kembali menyaksikan peningkatan besar dalam jumlah jemaah umrah dari luar negara dengan sekatan-sekatan COVID-19 ditarik balik sejak Mac 2022.
Bagi musim umrah tahun 2022 hingga 2023, lebih 10 juta jemaah dianggarkan mengerjakan umrah.
Menurut firma penyelidikan pasaran Future Market Insights (FMI), pasaran pelancongan Haji Arab Saudi dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 7 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Nilai pasaran pelancongan Haji dan Umrah Arab Saudi pula dijangka mencecah AS$150 bilion pada tahun ini dan melepasi AS$350 bilion menjelang 2032.
PASARAN UMRAH LEBIH LUAS
Di dalam negara pula, ejen penyedia pakej umrah dan haji (GSA) menyaksikan lonjakan dalam permintaan bagi pakej-pakej umrah yang ditawarkan.
Namun ini juga disebabkan penyedia khidmat yang kurang berbanding sebelum COVID.
Hampir 30 peratus GSA di bawah AMTAS terpaksa gulung tikar akibat pandemik itu.
"Oleh kerana COVID, dua tahun tidak bergerak, ada ejen-ejen yang tutup dan tidak lagi melakukan urusan ejen pelancongan. Jadi asalnya kalau jumlah anggota kami sebanyak 46 agensi, tetapi yang sekarang bersama AMTAS, hanya 33," kata Presiden ejen-ejen pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz Tengku Mohd Fouzy kepada BERITAmediacorp.
Kerajaan Arab Saudi menyaksikan lonjakan besar jumlah jemaah sejak had maksimum ke atas jemaah umrah dari luar negara dimansuhkan pada Ogos lalu.
Disebabkan itu juga, setiap GSA mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar.
Tambahnya, setakat ini agensi-agensi di bawah AMTAS sudah menerima lebih 10,000 tempahan sehingga awal tahun depan.
Melihatkan potensi pasaran pascapandemik yang lumayan, sekumpulan usahawan muda terdorong untuk menawarkan khidmat umrah dengan strategi pemasaran yang baru.
Mereka adalah Karva Travel And Tours dan M3 Oasis Pte Ltd By Quins Travel & Tours.
KARVA TRAVEL TAWAR PAKEJ PREMIUM
Karva Travel And Tours oleh pasangan Rozza Ramli dan Jai Wahab menjalin kerjasama dengan syarikat Anwaar Al-Himam Umrah & Holidays.
Karva Travel And Tours yang dibuka secara rasmi pada September lalu menyasarkan jemaah dalam lingkungan usia 25 hingga 55 tahun.
Meskipun perancangan dan tempahan perjalanan umrah kini boleh dilakukan sendiri melalui platform digital Nusuk, pihak Karva percaya terdapat lagi ruang yang luas dalam pasaran yang belum dipenuhi.
Pengasas Karva International Encik Jai Wahab berkata: "Pelanggan sasaran kami adalah generasi baru dan mereka sering membuat perbandingan jenis perkhidmatan yang ada dalam pasaran. Mereka mahu yang terbaik dalam segi tempat penginapan, dalam segi logistik yang mudah, yang senang tetapi yang bertaraf lima bintang, ingin yang premium. Maka itu, kami rasa ada ruang di mana Karva Travel boleh memberikan khidmat."
Menurut Encik Jai, Karva hanya menawarkan pakej perjalanan menggunakan visa umrah yang dapat diproses dan dikeluarkan dalam masa beberapa minit sahaja.
Ini kerana adanya penyedia visa umrah di negara ini iaitu yang pertama di Singapura menerusi syarikat Anwaar Al-Himam Umrah & Holidays.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fahrudeen FM, trend jemaah sekarang sekarang adalah untuk mengerjakan umrah secara berpasangan atau dengan keluarga sendiri.
"Kami dapat menyesuaikan pakej mengikut kehendak pelanggan. Tidak seperti pakej lain, kami dapat menyediakan macam kata sekarang pakej yang disesuaikan khas. Kami dapat menyediakan pemandu dan kenderaan peribadi serta hotel di Mekah dan Madinah yang bertaraf lima bintang," kata beliau.
Khidmat sebegitu diinginkan para jemaah yang sibuk seperti pasangan suami isteri Raodah Zulkiflee dan Herman Haron.
"Jadual kami sangat padat. Berdasarkan pengalaman kami, kebanyakan GSA yang kami hubungi sudah ada jadual perjalanan yang sudah ditetapkan tetapi bersama Karva, saya dan suami boleh memilih berapa hari kami mahu berada di Mekah atau Madinah. Apa yang perlu kami sangat juga ialah kemudahan dari segi pengangkutan, hotel yang berdekatan dengan masjid dan juga umrah visa yang lebih terjamin.
"Karva juga dapat sesuaikan lawatan ke tempat-tempat yang belum kami ziarah sebelum semasa mengerjakan umrah pada masa lalu," kongsi Cik Raodah, seorang peniaga.
PAKEJ SASAR JEMAAH WANITA
Selain itu, Karva turut menawarkan pakej premium "Revival of Faith' bersama Ustazah Liyana Musfirah yang disasarkan kepada jemaah wanita dan keluarga mereka.
Beliau menjelaskan bimbingan tambahan dan pendekatan menyeluruh yang ditawarkan mengisi keperluan segmen pelanggan yang kurang pasti sama ada mereka bersedia untuk mengerjakan umrah.
"Sebenarnya, ramai murid saya yang belum lagi sampai ke tanah suci Makkah kerana mereka berasakan mereka ini tidak layak. Jadi mereka kata: 'ustazah saya tak solat 5 waktu, saya tidak pakai tudung, saya tidak puasa Ramadan secukupnya. Adakah tempat seorang seperti saya untuk dijemput ke tanah suci Mekah?
"Jadi Revival of Faith sebenarnya ingin mengundang mereka yang merasakan mereka tidak layak, yang merasakan mereka tidak warak mana, tidak alim mana, sebagai pintu laluan yang setiap Muslim adanya tempatnya di kota suci Mekah dan Madinah, jelas beliau.
PENGALAMAN BARU DAN UNIK OLEH M3 OASIS
Satu lagi pesaing baru yang muncul ialah syarikat M3 Oasis Pte Ltd.
Mereka juga menyasarkan golongan muda dan keluarga mereka.
Ia cuba memberikan pengalaman dan kenangan yang bermakna melalui kegiatan yang berbeza daripada pakej umrah umum.
"Kami berharap dan ingin pastikan jemaah kalau pergi sana akan merasa terkesan, mendapatkan kepuasan dan pengalaman yang lebih bermakna," kata pengarah dan pengasas M3 Oasis Pte Ltd Dr Abdul Malik Hassan.
Kumpulan terbesarnya yang seramai 42 orang bakal berangkat pada awal Januari tahun depan.
"Apabila kita pulang dari umrah, apa yang kita dapat di sana selain daripada ibadah. Bila kita balik, orang cakap mereka ke sana sini tetapi bagi saya yang penting adalah tentang sirah, sejarah, pengalaman tentang kecintaan Rasul dan sebagainya, kata pelanggan M3 Oasis Encik Sayuti Gani.
Encik Sayuti dijadual berangkat bersama 30 anggota keluarga dan teman-teman pada Januari 2023.
Antara pengalaman unik dan baru yang ditawarkan termasuk berbasikal ke Masjid Quba dan menjamu selera di ruang terbuka di Jabal Uhud.
"Kita kemungkinan ingin bermalam di Taif kerana di Taif itu selalu orang melawat pada siang hari. Kalau bermalam di Taif tu ada bermacam-macam aktiviti seronok dan Madinah pula kita akan adakan jamuan makan," dedah Dr Abdul Malik.
Berdasarkan permintaan pelanggan, syarikatnya juga sedang meneroka pakej umrah dan wisata ke destinasi bukan seperti lazimnya seperti Istanbul dam Baitulmakdis.
"Kami boleh perkenalkan pakej umrah bersama bola sepak, menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di United Kingdom. Kami boleh gabungkan percutian atau tengok bola.
Tidak semestinya orang yang minat bola sepak ini golongan lelaki sahaja. Wanita pun ada banyak yang minat bola sepak. Kalau tidak, mereka boleh pergi membeli-belah. Niat itu buat umrah dulu baru wisata," jelas pengarah M3 Oasis Pte Ltd Mohammad Mirza Salim.
Ia bercadang untuk menawarkan pakej tersebut pada Mac depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.