BERITA+ : Permintaan tinggi bagi kelas solekan
SINGAPURA: Video tentang mekap dan solekan sangat popular di platform-platform media sosial. Ia telah juga meningkatkan permintaan bagi kelas-kelas solekan.
Pengasas With Love Yumi dan seorang juru andam Wiwit A memberitahu wartawan Nur Arina Ahmad Anis bahawa kelas-kelas mereka menarik dua golongan, iaitu mereka yang tidak pernah mengenakan mekap ataupun yang ingin belajar trend terkini.
YUMI ACADEMY SUDAH TERIMA SEBANYAK 30 PENDAFTARAN DALAM 3 MINGGU
Salah satu teknik solekan yang diajar dalam bengkel YUMI Academy adalah cara terbaik untuk membentuk alis, memakai 'eye-shadow' atau pembayang mata yang sesuai dengan bentuk mata.
.jpg)
Sesi selama empat jam itu dikendalikan sendiri pengasas syarikat With Love Yumi, Cik Yumi Ayummi.
Sesi yang baru dilancarkan sekitar tiga minggu lalu itu sangat popular dan sudah disertai 30 peserta.
"Untuk pakai mekap ini bukan hanya untuk nampak cantik. Ia juga memberikan anda keyakinan, semangat. Apabila anda nampak cantik, anda berasa yakin. Saya juga rasa bila anda kelihatan elok, anda boleh melakukan kerja dengan lebih baik," kata Pengasas Cik Yumi Ayummi.
Setiap sesi dijalankan dalam suasana yang santai.
Selain belajar tentang teknik-teknik solekan, para peserta juga dibimbing tentang jenis produk yang sesuai dengan rona kulit dan wajah mereka.
Menurut Cik Yumi, para peserta datang daripada latar belakang yang berbeza-beza.
"Kenapa perlunya mekap? Bagi saya ia adalah lebih bagi keyakinan diri kerana saya pencipta kandungan dan saya juga pengacara majlis. Jadi saya mesti kelihatan cantik. Kata orang sedap mata memandang," kata Cik Lizan Raffee, salah seorang peserta yang menghadiri sesi tersebut.
Seorang lagi peserta, Cik Zafirah Zakaria pula dengan jujur memberitahu BERITA Mediacorp bahawa beliau sememangnya tidak 'pandai' bersolek.
"Saya selalu menghadiri acara-acara. Jadi kadang-kadang itu kalau pergi ke acara dan kalau tidak pakai mekap rasa macam malap sangat. Jadi saya hendak belajar cara bagaimana hendak 'enhance' sikit, mungkin tempat letak pemerah pipi (blusher), 'bronzer'. Sebab saya memang tidak tahu apa-apa tentang mekap jadi biasanya penjagaan kulit boleh, tetapi pakai celak (eyeliner) pun tidak pandai," dedah Cik Zafirah, 35 tahun.
MANFAAT BELAJAR MAKEUP DARIPADA GURU
Dalam pada itu, kedua-dua Cik Lizan dan Cik Zafirah berkata bahawa pengalaman belajar mengenakan mekap daripada guru jauh berbeza daripada mengikuti video tunjuk ajar di laman sosial.
Ini kerana mereka boleh bertanyakan soalan-soalan secara langsung selain memperoleh lebih banyak tip berguna.

Cik Yumi akur pentingnya untuk mengikuti trend bahan solekan yang berubah-ubah.
Meskipun sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri perkahwinan, beliau masih lagi mempertingkatkan diri untuk belajar tentang produk dan trend solekan terkini.
Cik Yumi berkata: "Kesilapan yang selalu dibuat pelajar tidak tahu tentang their 'undertones'. Sama ada mereka gunakan warna yang sejuk (cool), sederhana (medium), neutral atau hangat (warm). Jadi anda perlu belajar mengenai rona kulit dan bentuk wajah. Jadi mereka tahu bagaimana mana hendak ikut raut wajah, gunakan penyerlah (highlight), jadikan lebih menarik."
KENDALIKAN KELAS MAKEUP DI RUMAH SENDIRI
Juru andam, Wiwit A., yang dikenali sebagai 'YouTube Guru', turut menawarkan kelas andaman di rumahnya sejak 2011.
Kelas-kelas solekannya semakin popular dengan permintaan melonjak hampir 80 peratus selepas pandemik COVID-19.
"Pada pendapat saya ia disebabkan oleh pengaruh media sosial. Semua nak kelihatan cantik, sempurna. Belajar online berbanding dalam kelas berbeza," ujar Wiwit A., 34 tahun kepada BERITA Mediacorp.

Kelas-kelasnya menarik dua golongan peserta - mereka yang tidak tahu menyolek dan juga para juru andam yang ingin mempertingkatkan kemahiran masing-masing.
Antaranya termasuk, Cik Nazlin Hilal yang sebenarnya adalah guru yang mengajar Wiwit tentang solekan sekitar 16 tahun lalu.
"Memang kita perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran kita. Oleh itu, walaupun memang sudah biasa buat solekan tetapi ada juga kadang-kadang ada yang harus diperhalusi lagi," menurut Cik Nazlin.
Wiwit antara lain mengajar teknik menyolek dalam masa 30 minit sahaja!
Tambah Wiwit: "Ada juga yang datang dengan emak kerana mereka masih amat muda lagi. Saya ambil pelajar berusia semuda 16 tahun. Sesiapa yang minat mekap. Sebab saya pun mula menyolek bila saya 16 tahun selepas peringkat 'N'. Daripada situ minat saya timbul."
Mereka yang berminat untuk lebih mendalami bidang solekan boleh juga memanfaatkan Kredit Skills Future mereka untuk mengikuti kursus-kursus solekan di bawah latihan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.