Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Permintaan meningkat dorong kaum Adam jadi 'Pak Andam' & penggubah dulang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perkhidmatan tata rias pasangan pengantin dan menggubah dulang hantaran perkahwinan biasanya diceburi kaum hawa.

Namun, lebih ramai kaum lelaki kini yang menjadi Pak Andam kepada Raja Sehari.

Ini juga didorong dengan permintaan yang kian meningkat bagi perkhidmatan sedemikian.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut pemerhatian Muhammad Lam Zahud Ahmad Huzairi, 29 tahun yang sudah lebih 10 tahun menawarkan khidmat sebagai 'Pak Andam', kaum Adam kini lebih mementingkan ketrampilan mereka apabila bergelar 'Raja Sehari'.

Sewaktu musim cuti sekolah, Encik Lam Ahmad boleh menerima sehingga 30 tempahan.

Dengan permintaan yang tinggi, timbul pula persaingan.

"Masa saya baru-baru ceburi dalam bidang ini, boleh kiralah dengan jari berapa Pak Andam sahaja tapi sekarang, sudah ramai," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Walaupun kini terdapat banyak persaingan, Encik Lam tidak begitu bimbang kerana mempunyai keistimewaan tersendiri seperti cara beliau mengikat kain samping.

Sambil tertawa, beliau berkongsi: "Ramai pelanggan saya yang beri maklum balas, samping itu adalah samping ‘cinnamon roll’."

Minatnya kepada bidang itu juga tercetus semasa menjadi peragawan sambilan.

Selain mengikuti pelbagai kursus profesional, beliau banyak belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Meski akur dengan perubahan trend terkini, Lam memastikan ciri tradisional busana Melayu terus dikekalkan.

"Cara memakai tanjak yang betul, dokoh yang betul, samping yang betul. Jangan dilupakan capal. Itu adalah melestarikan kebudayaan kemelayuan kita.

"Ia adalah penting untuk tahu semua ini supaya generasi kita yang akan datang akan ikut. Ambil tahu tentang apa itu songkok, apa itu tanjak, apa itu samping, capal dan sebagainya. Kalau kita tak kekalkan, siapa lagi?," ujar Encik Lam.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain menjaga ketrampilan pengantin lelaki, beliau juga menjaga adab dan adat istiadat sepanjang majlis persandingan.

"Kita membantu mereka untuk permudahkan urusan mereka semasa majlis. Cara duduk dia, cara betulkan kain, betulkan samping dekat atas pelamin. Bergaya untuk gambar berpasangan atau berseorangan. Kalau perlu, adakan air untuk mereka. Kita sentiasa di samping mereka," kata Encik Lam.

"SERI PENGANTIN"

Meskipun dandanan bagi pengantin lelaki lebih ringkas, citarasa mereka juga kian pelbagai dengan pengaruh luar.

"Kebanyakan pengantin lelaki sekarang ada yang hendak gaya Korea, ada yang hendak gaya yang bersih. Kita lebih tumpukan kepada asas dengan ciri-ciri - kontur hidung dia sikit, garis rahang dan dahi.

"Pengantin lelaki ini tidak perlu banyak sangat pada muka sebab mereka hendak nampak segak, mereka hendak nampak kemas sahaja dalam majlis mereka," tambah Lam.

Ditanya sekiranya beliau ada menggunakan 'penyeri' yang lazim dikaitkan dengan bidang itu, ini jawapannya...

"'Seri Pengantin' itu tidak wujud bagi saya. Saya hanya bacakan Ayat Kursi sahaja. Saya akan bacakan lepas itu tepuk bahu (pengantin), okey keluar. Ini supaya majlis itu berjalan dengan lancar," jelasnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Permintaan bagi khidmatnya juga cukup memberangsangkan.

Selain mempromosikan khidmatnya di media sosial, Encik Lam Ahmad turut bergabung dengan syarikat-syarikat busana pengantin untuk menaikkan namanya.

Beliau dan pasukannya menguruskan sehingga tujuh pengantin lelaki hampir setiap minggu.

KEKALKAN ELEMEN TRADISIONAL DALAM GUBAHAN DULANG

Selain ketrampilan si pengantin lelaki, ada juga persiapan lain bagi majlis persandingan yang menarik ramai kaum Adam.

Selain berbakat dan kreatif, penglibatan mereka dalam bidang ini juga kerana minat dan keinginan untuk melestarikan budaya warisan Melayu.

Bagi penggubah dulang, Muhammad Indra Shahrudin, beliau cuba mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dalam setiap rekaan.

"Saya cuba selitkan elemen-elemen tradisional macam unsur-unsur dulang-dulang tembaga. Mereka (pelanggan) akan memilih tema ‘rustic’. Kita akan mengesyorkan macam unsur-unsur Melayu kitalah. Kalau bukan kita yang cadangkan, benda itu akan hilang," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Usahawan muda berusia 33 tahun itu menubuhkan jenama 'Dulang By Indra' tiga tahun lalu atas dorongan keluarga dan teman-teman.

Walaupun memulakan perniagaan di sewaktu pandemik COVID-19, permintaan bagi khidmatnya pada ketika itu tidak putus-putus.

Sehingga kini, perniagaannya semakin rancak.

Malah, beliau sudah menerima tempahan sehingga akhir tahun, termasuk juga daripada pasangan bukan Melayu.

"Biasanya tempahan-tempahan akan masuk dalam enam hingga sembilan bulan sebelumnya. Ada yang satu tahun. (Permintaan) mungkin 15 peratus, 20 peratus meningkat sebab saya perhatikan setiap tahun saya kena tambah dulang," tambahnya.

IMBANGI KERJAYA SEPENUH MASA SEBAGAI JURULATIH GIM DAN MINAT

Beliau menawarkan 25 jenis rekaan dan keunikan gubahannya terletak pada ikatan reben pada setiap dulang yang dihasilkan.

Harga bagi setiap dulang berharga di antara S$40 sehingga S$50.

Setiap minggu, Indra boleh menyiapkan tempahan lebih 80 dulang!

"Dua minggu sebelum majlis, mereka perlu menghantar barang-barang mereka kepada saya. Saya hanya akan mula menyediakan dulang seminggu sebelum majlis. Kemudian mereka boleh memilih untuk mengambilnya sendiri atau menggunakan khidmat penghantaran," kata Indra.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau juga perlu bijak mengimbangi masa antara minatnya ini dengan tugas sepenuh masa sebagai seorang jurulatih gim.

"Ia adalah tugas yang mencabar terutama kita kesuntukan masa atau terlalu banyak pesanan. Saya juga melakukan ini seorang diri jadi kadang-kadang tidak lambat, cuma pengantin nak cepat," katanya.

Buat masa ini, beliau merancang untuk memperluaskan lagi perniagaannya dengan menawarkan lebih banyak pilihan dan perkhidmatan perkahwinan termasuk khidmat andaman.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan