Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Permintaan bagi insurans haiwan peliharaan meningkat, semakin ramai sanggup bayar premium paling tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan pemilikan haiwan peliharaan yang kian meningkat dan kos perubatan yang semakin mahal, lebih ramai pemilik kini sedar akan kepentingan mendapatkan perlindungan insurans bagi haiwan peliharaan mereka.

Ada juga syarikat insurans yang menyaksikan permintaan bagi insurans jenis itu meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh setahun.

HABISKAN LEBIH S$2,000 UNTUK KOS KEMASUKAN HOSPITAL KUCING

Cik Hariati (kiri) dan kakaknya, Cik Junaida (kanan). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Antara pemilik haiwan peliharaan yang melihat kepentingan insurans itu ialah Cik Hariati Salleh dan kakaknya, Cik Junaida Salleh.

Adik-beradik itu kehilangan kucing pertama yang menjadi pujaan hati mereka, Ben, pada tahun 2019 akibat kegagalan ginjal dan sakit tua.

"Doktor menyarankan yang kucing saya perlu membuat semua pemeriksaan dan tinggal di hospital dalam jangka masa seminggu tetapi pada waktu itu, saya terfikir juga tidak ada insurans," kongsi Cik Hariati kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya tidak terfikir waktu itu untuk mengambil insurans dan saya juga terfikir tanpa insurans, bagaimana saya perlu membayar untuk kos kemasukan hospital, ubat-ubatan dan kos ke doktor haiwan semua. Bila kucing kita mati, kita masih perlu membayar kos doktor haiwan, dan kos kemasukan hospital menggunakan duit kita sendiri," tambah beliau.

Ben, kucing pertama Cik Hariati dan Cik Junaida. (Gambar: Hariati Salleh)

Pada ketika itu, Cik Hariati dan keluarga perlu mengeluarkan ribuan dolar untuk membiayai bil hospital kucingnya.

"Waktu itu, masa kucing saya sakit, kos kemasukan hospital adalah dalam anggaran S$2,000 lebih dan saya tidak mempunyai insurans untuk kucing saya. Jadi hendak atau tidak, saya terpaksa mengeluarkan (belanja) daripada kocek sendiri untuk bayar dahulu," jelas Cik Hariati.

AMBIL INSURANS BAGI 4 KUCING; BANTU PEMBAYARAN SEKIRANYA KUCING SAKIT

Cik Hariati dan Cik Junaida mendapatkan insurans untuk empat kucing mereka. (Gambar: Hariati Salleh)

Mengambil iktibar daripada kejadian sebelum ini, mereka mengambil keputusan untuk mendapatkan insurans haiwan peliharaan bagi empat lagi kucing mereka, selepas menghadiri Ekspo Kucing Disember lalu.

Mereka membeli insurans daripada syarikat Income Insurance.

"Saya ada membuat pertanyaan daripada syarikat-syarikat insurans tetapi mereka berkata insurans sewaktu itu hanya bagi (kucing di) rumah-rumah privet dan kondo sebab waktu itu, saya rasa undang-undang untuk menyimpan kucing di flat HDB belum lagi diluluskan. Jadi insurans tidak melindungi mereka dan saya faham waktu itu. Bila saya mendapat tahu yang ini semua sudah diluluskan (kucing dibenarkan di flat HDB), saya cepat-cepat mendaftar untuk perlindungan insurans untuk kucing," ujar Cik Hariati.

"Memandangkan kucing-kucing ini masih kecil lagi, berumur empat dan lima tahun, premium sebulan adalah dalam S$30 lebih (untuk seekor kucing). Jadi untuk empat kucing saya, kos premium itu adalah dalam S$100 lebih, yang pada saya dan kakak saya berpatutan dan kami masih mampu untuk membayarnya," tambah beliau.

Perlindungan insurans bagi haiwan peliharaan beri ketenangan untuk Cik Hariati dan Cik Junaida selepas kehilangan kucing pertamanya pada 2019. (Gambar: Hariati Salleh)

Perindungan insurans untuk kucing peliharaan itu juga memberi ketenangan buat adik-beradik itu.

"Waktu kucing saya yang dahulu masuk hospital, kita terserempak dengan salah seorang pemilik haiwan. Kita pun tanya dia berapa kos kemasukan hospital yang dia perlu bayar. Dalam S$10,000 kos kemasukan hospital sahaja untuk anjingnya. Itu yang buat kita sangat terkejut," kongsi Cik Junaida.

"Jadi saya rasa insurans itu penting untuk membantu kami. Sekiranya kucing saya ada penyakit atau masuk ke hospita, mungkin insurans boleh membantu kita dalam pembayaran kos hospital, kos ubat-ubatan sekiranya ada penyakit kronik seperti barah dan penyakit tua," tambahnya.

PERMINTAAN BAGI PELAN INCOME INSURANCE NAIK HAMPIR 10%

Syarikat Income Insurance tawar pelan insurans untuk haiwan peliharaan pada 2019. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Syarikat Income Insurance sudah menawarkan insurans bagi haiwan peliharaan sejak enam tahun lalu.

Sejak menawarkan pelan insurans 'Happy Tails' bagi kucing dan anjing peliharaan pada 2019, syarikat itu menyaksikan peningkatan dalam permintaannya .

Ini lebih-lebih lagi dengan trend semakin banyak haiwan peliharaan di Singapura.

Jumlah kucing peliharaan meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh empat tahun.

Bagi kucing peliharaan misalnya, jumlahnya meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh empat tahun kepada sekitar 94,000 pada 2023 menurut laporan Euromonitor International,.

"Permintaan untuk memiliki kucing dan anjing peliharaan bermula semasa COVID apabila semua berada di rumah. Jadi kita saksikan peningkatan mendadak dalam permintaan dan permintaan itu kini sudah menjadi perlahan tetapi kami masih melihat pertumbuhan yang sihat, hampir 10 peratus tahun ke tahun," kongsi Naib Presiden dan Ketua, Personal Lines, Income Insurance, Annie Chua,.

"Pemilik haiwan sedar bahawa secara lazimnya, jika mereka perlu membawa haiwan peliharaan ke doktor haiwan, bilnya boleh menjadi agak tinggi. Jadi sebagai contoh, jika kucing anda menghidap kekoyakan Ligamen Krusiat, bilnya boleh mencecah S$1,500," tambahnya.

Insurans yang ditawarkan itu antara lain menyediakan perlindungan bagi perbelanjaan perubatan sepanjang hayat untuk manfaat klinikal dan pembedahan serta rawatan kemoterapi untuk anjing dan kucing peliharaan.

PEMILIK HAIWAN DISARANKAN DAPATKAN INSURANS SEAWAL MUNGKIN

Bagi syarikat berkenaan, premium bagi kucing bermula dari sekitar S$260 setiap tahun, bergantung kepada usia kucing ketika mendapatkan insurans.

Para pemilik juga perlu tahu bahawa terdapat beberapa pengecualian termasuk masalah kesihatan sedia ada kucing peliharaan mereka sebelum mendapatkan insurans.

Naib Presiden dan Ketua, Personal Lines, Income Insurance, Cik Annie Chua. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Cik Chua berkata: "Jika anda mengambil atau membeli anak anjing dan kucing, saya menyarankan untuk terus membeli insurans supaya boleh mendapat perlindungan untuk semuanya."

"Ini kerana selalunya, keadaan sedia ada (perubatan) hanya dapat disedari dalam tahun-tahun kemudiannya, jadi mereka boleh mendapat perlindungan dari awal."

"Jadi kami menerima pendaftaran untuk anak anjing dan kucing seawal usia 16 minggu. Namun, kita tidak menerima pendaftaran baharu untuk kucing dan anjing berusia sembilan tahun ke atas."

LIBERTY INSURANCE SAKSIKAN LEBIH RAMAI DAPATKAN PERLINDUNGAN PALING TINGGI

Ketua Produk, Kemalangan dan Kesihatan, Liberty Insurance, Jennie Tan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Sebuah lagi syarikat yang menyaksikan trend yang sama ialah Liberty Insurance.

Ia menawarkan pelan insurans 'Petcare' sejak 2014, antara yang pertama yang menawarkan khidmat itu di Singapura, dan mendapati semakin ramai klien yang mendapatkan insurans dengan perlindungan paling tinggi sejak kebelakangan ini.

"Pemilik kucing lebih rela untuk berbelanja lebih untuk menyediakan yang terbaik untuk kucing kesayangan mereka, sama ada untuk jagaan kesihatan, makanan, penjagaan atau latihan," kongsi Ketua Produk, Kemalangan dan Kesihatan, Liberty Insurance, Jennie Tan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Pemilik haiwan juga lebih bersedia untuk mengeluarkan biaya yang lebih tinggi untuk melindungi haiwan peliharaan mereka dengan perlindungan insurans yang lebih baik, di mana kita dapat melihat lebih ramai pemilik haiwan yang mendapatkan perlindungan paling tinggi yang ditawarkan di bawah produk PetCare kita," tambahnya.

Syarikat itu menawarkan lima pelan di bawah PetCare dengan premium setiap tahun dalam lingkungan lebih S$390 kepada lebih S$1,470.

PELBAGAIKAN PELAN INSURANS

Liberty Insurance mempelbagaikan pelan insurans mereka. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Bagi memenuhi permintaan yang meningkat dan perlindungan tambahan, syarikat itu juga mempelbagaikan pelan insurans mereka.

"Dengan peraturan baharu yang membenarkan kucing-kucing di HDB, kami baru-baru ini mempertingkatkan lagi produk PetCare pada 10 Januari tahun ini, dan menambah dua lagi pelan kepada produk PetCare, meningkatkan had manfaat dan memperkenalkan manfaat Perbelanjaan Akhir dan Penjagaan Kesejahteraan untuk memenuhi permintaan keperluan pemilik haiwan," jelas Cik Tan.

"Penjagaan Kesejahteraan termasuk perlindungan bagi pemeriksaan doktor haiwan, vaksinasi, pembersihan gigi, pengembiri. Manfaat Perbelanjaan Akhir termasuk yuran pengurusan mayat menyusuli kematian tidak sengaja haiwan peliharaan yang dilindungi dengan insurans," tambah beliau.

Oleh itu, penting untuk para pemilik haiwan untuk mempertimbangkan dahulu dan meneliti jenis perlindungan dan manfaat yang ditawarkan sebelum membuat keputusan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan